Tuesday, July 6, 2010

MASIHKAH ADA SINAR?



Adam termenung jauh, entah sampai ke mana. Mengenang nasib badan yang seolah-olah tiadanya mentari muncul setelah hujan. Mungkin dia harus menerima, penderitaan itu tiada penghujungnya. Ah, siapa dia mahu mempersoal takdir? Biarlah, sekurang-kurangnya dengan iman yang masih tersisa ini, dia masih mampu menyelak hikmah di sebalik apa yang berlaku dalam diari hidupnya.

***************************************************************************
Sebelum ini, boleh dikatakan dialah manusia paling bahagia di dunia. Lakaran hidupnya penuh dengan warna-warni, semuanya dipermudahkan, baik keluarga, kerjaya mahupun kewangan. Namun, kira-kira sejak setahun lalu, bermulanya kisah duka. Kelam dan kelabu mengganti warna-warna ceria hidupnya dahulu.

Masih terbayang saat itu. Terlalu pedih untuk ditelan. Masakan tidak, tatkala dia berniat membuat kejutan dengan pulang secara tiba-tiba dari ‘out-station’, dirinya hampir saja rebah melihat isterinya bersama lalaki lain di atas katil.

“Minta maaf abang, saya janji tak buat lagi,” masih terngiang-ngiang esakan dan rayuan Rosnah. Namun, saat itu juga Adam melafazkan talak terhadap isterinya. Bukan kerana tiada lagi sayang buat wanita itu, tapi hati lelakinya terasa amat perit bila dikhianati sebegitu rupa.

Alhamdulillah, tidak lama tempoh dia keseorangan. Beberapa bulan selepas itu, dia bertemu Aliah. Walaupun wanita itu sudah agak berumur berbanding dirinya dan sudah mempunyai 3 orang anak, Adam tidak pernah menyesal. Dia bersyukur wanita itu boleh menerima dirinya dan lebih penting lagi, boleh menerima anak keduanya yang disahkan menghidapi kecacatan mental akibat demam panas semasa kecil.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Selang beberapa bulan, sekali lagi Adam menerima tamparan hebat. Awalnya dia menyangkakan keadaan dirinya yang cepat penat adalah gejala biasa dek terlampau penat bekerja. Sehingga suatu hari, penglihatannya terjejas kerana kelopak matanya tidak dapat diangkat ke atas dan tidak berapa lama kemudian, dia dikejarkan ke hospital kerana pengsan di tempat kerja.

Setelah beberapa hari terlantar di hospital, Adam dikejutkan dengan khabar mengenai dirinya yang cukup memeranjatkan. Myasthenia Gravis… Menyebutnya sahaja hampir membuatkan lidah terbelit. Dan rupa-rupanya semua gejala yang dihadapi seperti cepat penat, payah membuka mulut dan menelan makanan, tidak dapat mengangkat kelopak mata, sehinggalah kemuncaknya apabila dia pengsan kelmarin, merupakan tanda-tanda penyakit ini.



“Penyakit ini mempunyai beberapa tahap, tetapi boleh menjadi normal semula setelah menjalani rawatan tetapi ada juga yang boleh menjadi lebih teruk secara berterusan. Berdasarkan pemerhatian kami, mengikut kondisi encik sekarang, kemungkinan besar keadaan ini akan berterusan dan ubat yang akan kami bagi adalah untuk mengelakkan keadaan encik menjadi lebih teruk,” seorang doktor perempuan Cina menerangkan.

Tiba-tiba dunia terasa berpusing dan gelap gelita. Payah untuk dirinya menerima hakikat ini. Sepanjang di hospital, dia lebih gemar mengasingkan diri dan tidak betah untuk berkata-kata dengan sesiapa. Ada ketika, gugur juga air mata lelakinya tatkala memikirkan masa depan yang akan ditempuhi.

Lebih memeritkan, adik beradiknya yang dulu kerap mengadu kepadanya akibat ketiadaan wang, kini semuanya lesap entah kemana. Bukan mahu mengungkit, tapi itu hakikatnya. Habis madu, sepah dibuang. Jangankan hendak menjenguk di hospital, telefon bertanya khabar pun mereka tidak sudi. Mungkin malu ‘berabangkan’ seorang yang cacat sepertinya.

“Mak, apa lagi yang ditunggu. Suami mak tu tak mampu nak urus diri sendiri pun. Dah la tak boleh bekerja, mak pula yang kena tanggung dia. Cukuplah anak dia yang cacat tu susahkan hidup mak selama ni. Sekarang dia pula, esok lusa entah apa lagi. Mak berpisah je la, bukan kami tak mampu nak tanggung setakat mak seorang.”

Hati Adam bagai ditusuk sembilu ketika terdengar secara tak sengaja perbualan Aliah dan anak tirinya pada suatu hari. Sampai begitu sekali anak-anak tirinya bencikan dirinya. Dia cuba untuk memahami andai mereka tidak merestui perkahwinan ibu mereka dengan dirinya, tetapi untuk sekarang… Dia sendiri tidak pernah meminta untuk jadi begini!

Atas dasar itulah, walaupun doktor menasihatinya agar banyak berehat, dia tetap menggagahkan diri membantu isterinya berniaga secara kecil-kecilan kerana tiada siapa lagi yang mahu mengambil dia bekerja. Ya, dia perlu kuat, sekurang-kurangnya untuk anak-anaknya yang dua orang itu. Tetapi yang menyedihkan, Aliah akan memukul mereka apabila dia tertekan.

Sebagai seorang lelaki yang bergelar ketua keluarga, dia merasakan dirinya sungguh tak berguna! Fitrah perempuan adalah dilindungi, dan fitrah lelaki pula untuk melindungi. Tentu sahaja dia tidak keruan bila fitrah itu tak mampu dia penuhi, bahkan dia pula yang perlu dilindungi. Sehingga satu ketika, dek tertekan dengan belenggu itu, pernah terdetik dalam hatinya untuk meminta sedekah di jalanan.

“Kalau awak dah tak tahan lagi, hantar anak-anak balik kampung, biar mak ayah saya jaga mereka. Saya pula awak hantar la ke rumah kebajikan mana-mana,” pernah dia berbicara kepada isterinya itu, melihatkan keadaan diri yang saban hari semakin teruk . Namun sehingga kini isteri barunya itu masih bertahan. Sampai bila, entah… Dia sendiri masih tidak pasti.

Saat ini dia benar-benar terasa keseorangan. Terasa rendah diri, pedih dan kecewa, semuanya bercampur. Namun, dia bersyukur, dirinya masih mampu menumpang kasih Yang Maha Esa. Sekurang-kurangnya dirinya masih ada Dia Yang Maha Penyayang dan anak-anaknya. Kepada Dialah dirinya merintih saban malam, mohon agar diberi kekuatan menempuhi ranjau kehidupan ini.

Adam redha dengan takdir hidupnya. Hanya terselit satu harapan, agar anak-anaknya mendapat yang terbaik dan itulah yang menjadi kekuatan untuk Adam bertahan sehingga kini…

****************************************************************************
“Assalamualaikum… Pak cik, maaf mengganggu, kami pelajar perubatan. Boleh kami tanya sikit soalan tentang penyakit pak cik?” satu suara lembut menyapa, membiarkan lamunannya tergantung tanpa tali.

“Insyaallah, boleh. Cuma mata ni tak boleh angkat, cakap pun kena perlahan-lahan.” Walaupun sudah kerap kali dia di`serbu’ dan di`temuramah’ sejak dimasukkan ke hospital, dia masih betah untuk bercerita. Moga-moga dengan sedikit perkongsian ini ada manafaatnya buat mereka untuk bergelar doktor kelak…

Biasanya di akhir bicara, pasti Adam akan menitipkan sedikit pesanan, “Nak, walau apa ujian yang berlaku dalam hidup ni, jangan sesekali putus asa, itu tanda Allah masih sayangkan kita. Kalau rasa susah, ada orang lagi susah dari kita. Kalau ada orang bersama dan sokong kita, Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Tapi kalau tak ada, ingatlah yang kita tak berseorangan, Allah sentiasa bersama-sama.”




Rujukan lanjut:
http://www.ninds.nih.gov/disorders/myasthenia_gravis/detail_myasthenia_gravis.htm