Wednesday, March 17, 2010

CRP 2: A picture can tell thousand of words

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat ALLAH) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat ALLAH). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah." (Al-A'raf:179)


















Friday, March 12, 2010

CRP 1: ALKISAH POTRET KEHIDUPAN

Dua minggu berkampung di Manjung, Perak. Ternyata Community Residential Program (CRP) yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar perubatan mengenai kualiti kesihatan penduduk luar bandar; memberi pengalaman berharga, jauh melebihi objektif yang digariskan.

Banyak yang saya belajar tentang warna-warni kehidupan semasa membuat soal selidik di sebuah perkampungan nelayan dan tentunya 3 kisah ini yang paling berbekas…

HINGGA HUJUNG NYAWA



Menapak di rumah seorang atuk dan nenek, hati bagaikan tersentuh melihat kedaifan teratak ini. Walaupun begitu, ramah sahaja nenek melayan saya dan seorang lagi teman. Nenek kurus sahaja orangnya, sedikit bongkok dan berbakat menganyam tikar mengkuang.

Nenek ini, duduknya berdua bersama atuk, beberapa anak mereka tinggal berjauhan di ibu kota. Sedari awal nenek memberitahu, atuk tidak boleh bercakap kesan strok yang dihidapi sejak beberapa tahun lepas. Namun, atuk masih mampu berjalan dan bergerak seperti biasa tetapi atuk lebih selesa berada di rumah.

Jadi secara tidak langsung, kehidupan mereka banyak bergantung kepada nenek. Biasanya nenek akan berbasikal ke kedai berhampiran untuk membeli barang keperluan atau mengharapkan anak saudara mereka yang tinggal beberapa kilometer dari teratak usang itu.

“Nak kata sunyi tu memanglah. Anak-anak pun tinggal jauh. Nak berbual pun tak ada orang,” terluah isi hati nenek tatkala kami bertanya sama ada nenek terasa keseorangan di rumah, yang selalunya menjadi punca tekanan psikologi tanpa disedari terutamanya bagi warga emas.

Namun saya percaya, nenek akan terus setia bersama atuk. Dengan sisa umur yang masih berbaki, nenek dan atuk berjaya membuktikan sesuatu yang jarang dikecapi anak muda sekarang. Walaupun secara kasarnya nenek dan atuk kekurangan dari sudut material, jalinan mereka tetap mekar dan utuh. Mungkin di sinilah tersingkap nilai baraqah yang semakin dilupakan generasi sekarang. Jangan dilupa hukum alam, “Hidup tak selalunya indah, Langit tak selalunya cerah”.

CERAMAH DI TENGAH HARI



Tengah hari itu cuaca amat panas, rasa-rasa muka hampir sahaja bertukar warna, maklumlah di kampung nelayan berdekatan laut ditambah lagi dengan keadaan sekarang yang sudah lama tidak hujan. Melangkah ke sebuah rumah yang menjalankan perusahaan ikan masin, sepasang suami isteri lebih setengah abad melayan kami dengan penuh ramah.

Soal selidik yang sepatutnya hanya setengah jam menjadi hampir dua jam! Masakan tidak, kami dihidang dengan ilmu-ilmu baru oleh pak cik bekas bilal ini.

“Dulu ada juga budak-budak datang soal-soal macam ni. Dema minta pada pak cik pesanan yang boleh dibawa balik ke universiti. Ni lah yang pak cik nak pesan pada kome juga.”

“Satunya bila nak baca Basmillah, bunyinya macam ni, Bismillahirrahmanirrahim. Biasanya orang akan baca BismillahirrahmaNnirrahim. Tengok, mana ada sabdu kat situ tapi ini lah yang selalunya orang baca kat masjid-masjid pun. Kalau kome tak percaya nanti cuba lah dengar. Sama juga masa baca fatihah yang Arrahmanirrahim… bukannya ArrahmaNnirrahim… Salah kita baca fatihah yang rukun ni, tak tahulah solat kita diterima ke tak.”

“Ni lagi satu nak tahu makhraj huruf (tempat keluar huruf) yang betul. Kome tanya la kat rumah-rumah lain ke kat tempat kome ramai tak tahu formulanya. Bunyikan alif tanda atas, bawah dan depan dengan huruf yang dimatikan. Contoh makhraj untuk ‘Ba’, bunyinya Ab, Ib, Ub. Mesti sama tempat bunyinya, kalau tak salah le tu.”

“Ha, ni pak cik dah ajar, sebar-sebarkan le kat kawan-kawan tu. Ilmu ni tak boleh simpan seorang-seorang.”

BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL



Mulanya hampir tidak percaya saya disebalik pokok-pokok kelapa sawit itu terdapat sebuah lagi teratak usang. Mata saya liar memerhatikan keadaan rumah yang sangat-sangat menyedihkan. Bekalan elektrik hanyalah generator, bekalan air disambung daripada jiran di hadapan dan tandas juga menumpang rumah hadapan!

Namun, keletah enam orang kanak-kanak penghuni rumah ini menjadi seri menutup kedhaifan mereka sekeluarga. Tatkala melangkah masuk ke dalam, hati saya lekas terusik apabila melihat seorang kanak-kanak sekitar umur 4 tahun berselera menikmati hidangan nasi yang hanya berlaukkan kicap.

Perbualan saya dan seorang teman bersama pak cik yang merupakan ketua keluarga di rumah ini semakin rancak apabila berkisar mengenai pemakanan.

“Hah, walaupun keluarga pak cik ni tidaklah berkemampuan sangat, tapi pak cik amat menjaga bab makanan ni. Nasi sudah mesti, tapi lauk-lauk yang lain tu biasanya ikan yang pak cik tangkap di laut.”

“Sayur pun kami makan yang tanam sendiri, tak makan sayur beli ni, terutama sawi. Jangan kome tak tahu berjenis-jenis racun disemburnya pada sayur tu. Cili pun sama. Jadi ulam-ulam pahit inilah yang pak cik makan setiap hari”

“Kalau nak tahu lagi, kami tak makan Ajinomoto ni. Benda-benda tambahan macam inilah sebenarnya yang sebabkan penyakit. Sebab tu kalau nak tengok, nenek moyang kita dulu mana ada sakit-sakit ni, sekarang ni usah cakap, kalau ke klinik tanya, kebanyakannya mesti kencing manis dan darah tinggi.”

Benar, fakta yang tidak dapat disangkal. Jika dulu majoritinya penyakit berjangkit, kini penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, strok dan sakit jantung menjadi igauan ngeri.

Mungkin keluarga ini kekurangan dari segi materialnya untuk membeli bahan makanan yang ‘bersalut’ racun serangga, penuh dengan MSG apatah lagi makanan segera yang ‘berisiko tinggi’ seperti KFC dan McDonald, tetapi sekurang-kurangnya mereka sedikit terselamat daripada trio penyakit semakin popular di Malaysia; kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Kita pula bagaimana? Tidak sanggup pula membayangkan itulah yang menjadi santapan sehari-hari?

Sebelum berangkat pulang, pak cik dengan murah hatinya menghadiahkan kami ranting kayu tongkat ali yang pak cik dapatkan sendiri. Menurut pak cik, walaupun rasanya amat pahit apabila diminum air rebusan ranting tersebut, insyaallah khasiatnya jauh lebih baik daripada yang telah diproses seperti yang ada di pasaran.

Dan harga sebenar ranting tongkat ali ini di pasaran mencecah lebih RM100 dengan kuantiti satu beg plastic yang kami bawa! (p/s: sempat juga pak cik membetulkan salah tanggapan bahawa tongkat ali hanya untuk lelaki dan kacip Fatimah untuk wanita. Hakikatnya kedua-duanya baik diamalkan untuk lelaki dan perempuan).

~Kredit buat teman bersoal-selidik merangkap driver berhemah, roommate di UniKL dan ketua kampung, Cik Hakimah (insyaallah doctor to be) yang tekun bersama-sama bekerja sehari suntuk, jasamu dikenang~