Friday, June 22, 2012

MARI MENGEMBARA!

Subhanallah, sedar tak sedar rupa-rupanya sudah hampir 3 bulan saya menjadi suri rumah sepenuh masa di teratak Baitul Haraki ini. Menganggur atau yang lebih popular “tanam anggur”? Oh, tentu tidak! Kalau menganggur bunyinya seperti waktu yang ada hanya berlalu tanpa diisi. Bila dirisik-risik teman-teman yang lain, ada yang menjadi baby sitter, ada yang memasak sampai tercari-cari menu baru untuk dicuba, tak kurang juga ada yang study buka balik buku-buku medic(bakal houseman cemerlang ni!). Saya pula? Alhamdulillah, fitrah wanita dan amanah sebagai isteri saya terisi dengan kerja-kerja rumah, hati menjadi tenang bila rumah teratur kemas, pakaian tersusun rapi dan makanan siap dihidang. Mungkin ini yang dikatakan walau sehebat mana pun seorang wanita itu di luar, fitrahnya tetap bersama amanah di rumah.

Ketiadaan televisyen di teratak ini juga memberi kelebihan pada saya untuk tidak “marathon” cerita-cerita dan drama yang mampu membuatkan seseorang bertapa di depannya dari pagi hingga ke malam. Satu nikmat yang perlu sangat-sangat disyukuri bila dikelilingi buku-buku yang seperti sentiasa memanggil dan meronta-ronta untuk dihadam. Beberapa bulan sebelum final exam sebelum ini terlalu mencengkam waktunya hingga payah untuk mencuri-curi masa untuk membaca buku non-medical. Jadi, masa yang ada sekarang ini tentunya sangat perlu untuk “memanfaatkan sebaik mungkin waktu yang ada”! Buku-buku yang telah disusun mengikut tema dan bahagiannya masing-masing hanya menunggu untuk ditelaah daripada sirah, ulum Quran dan hadith, haraki, tarbiyyah, fiqh, dakwah hinggalah ilmu baitul muslim, motivasi dan koleksi resepi. Sungguh, terasa kerdilnya diri dengan ilmu di dada yang setitis cuma…

"Mini library" di teratak Baitul Haraki

Walaupun mungkin tidak tercapai tahap seperti ilmuwan-ilmuwan suatu ketika dahulu yang mampu menguasai pelbagai cabang ilmu, pastinya saya tidak mahu membataskan diri dengan hanya ilmu perubatan yang terisi di dada. Selain ilmu-ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari sebagai seorang Muslim, sekalipun tidak sampai tahap membahaskan ilmu-ilmu tersebut, saya optimis untuk meneroka sekurang-kurangnya asas dalam cabang-cabang ilmu lain. Ilmu itu cahaya. Tanpanya, layaklah seorang manusia itu digelar “jahil”. Kepentingannya juga amat dituntut Islam dalam melahirkan umat bertaqwa yang kompeten. Jika tidak, masakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW berkisar tentangnya:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq: 1-5) 

TEGUH DAN AMANAH DALAM PENCARIAN ILMU

Antara koleksi buku-buku yang tersusun di rak perpustakaan mini teratak Baitul Haraki saya dan suami, saya amat terkesan dengan sebuah nukilan berkenaan Imam Syafie. Buku yang bertajuk “Kisah Imam Syafie Dalam Pencarian Ilmu” walaupun tidaklah dihurai secara lengkap dan teliti kesemua kembara ilmu beliau sepanjang hayatnya, namun perjalanan hidup yang dipaparkan mampu menerangkan bagaimana perihal pembentukan hidup Imam Syafie, pengasas mazhab Syafie yang menjadi ikutan umat Islam sehingga masa kini. 

Sejak kecil lagi Imam Syafie mempunyai impian dan cita-cita untuk mempelajari ilmu agama hinggakan belum pun mencapai usia 14 tahun, beliau telah meminta izin daripada ibunya untuk mengembara dalam mencari ilmu. Ibu Imam Syafie merupakan seorang ibu tunggal yang telah lanjut usia dan Imam Syafie merupakan satu-satunya anak yang dimiliki. Setelah menyampaikan hajatnya, Imam Syafie sedar raut wajah ibunya berubah seolah-olah ada kekusutan yang bertandang.

Lalu berkatalah si anak, “Ibu sayang, kalau keinginan saya untuk pergi ini membuatkan ibu berasa risau, saya akan menarik kembali hajat ini, dan akan berpuas hati dengan apa saja ilmu yang akan dapat saya belajar dari kawasan tempatan. Jadi saya dapat berada di sisi ibu dan sentiasa menghambakan diri kepada ibu.”

Tiba-tiba air mata mula menitis dari kelopak mata si ibu. “Tidak anakku, bukanlah itu maksudku. Sebenarnya apa yang engkau minta adalah jawapan kepada impianku dan doaku selama ini terhadapmu. Ibu sentiasa berjaga malam, memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada anak kesayangan ibu kemahuan untuk belajar tentang Rasulullah SAW, supaya Dia kurniakan kepadamu keinginan menuntut ilmu yang akan menerangi jalan makhlukNya. Cuma, yang merisaukan ibu, ibu tidak ada apa-apa untuk diberikan kepadamu sebagai bekal. Tiada apa di rumah ini dapat ibu berikan untuk memenuhi keperluan perjalananmu.”

Tetapi ternyata wanita itu mempunyai ketegasan dan kekuatan dalamam yang amat tinggi. “Baik anakku, janganlah dirimu takut. Allah SWT akan membekalkan kepadamu dengan secukup bekalan dan akan sentiasa memenuhi keperluanmu. Pergilah anakku, ibu menyerahkanmu kepada pemeliharaan Allah SWT. Ibu yakin Dia tidak akan mensia-siakan dirimu.”

Subhanallah, betapa besar pengorbanan si ibu, sebesar cita-citanya yang menginginkan si anak menjadi seorang yang berilmu. Lalu bergeraklah Imam Syafie dengan hanya berbekalkan semangat menuntut ilmu yang tinggi bersama redha ibu tercinta.

Ternyata, perjalanan ilmu yang ikhlas itu suatu yang berkat. Perjalanan Imam Syafie dipermudahkan Allah SWT apabila seorang tua sudi untuk menumpangkannya dari Mekah ke Madinah. Dan di Madinah Imam Syafie menuntut ilmu daripada Imam Malik dan selepas beberapa bulan beliau meneruskan kembara ilmunya ke Iraq, Iran dan Baghdad serta berguru dengan ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ yang terkenal.

KEKURANGAN BUKANLAH ALASAN

Antara kisah yang terkenal dalam kembara beliau, ketika pertama kali di Madinah, Imam Syafie yang ketika itu berada di Masjid Nabawi telah mendengar pengajaran hadith oleh Imam Malik. Secara diam-diam Imam Syafie duduk di satu sudut lalu mengambil seutas rami dan setiap kali Imam Malik meriwayatkan hadith, Imam Syafie akan membasahkan rami itu dengan mulutnya lalu menulisnya di atas tapak tangan kiri. Setelah sesi pengajaran itu tamat, Imam Malik yang telah memperhatikannya memanggil Imam Syafie.

Berkatalah Imam Malik, ”Kamu seperti orang baik, tetapi ada satu kelakuanmu yang pada saya kurang baik untuk dilakukan. Semasa saya meriwayatkan hadith Rasulullah SAW, kamu terus bermain dengan rami dan tidak mendengar dengan penuh hormat.”

Lalu dengan hormat dan rendah diri Imam Syafie menerangkan, ”Saya bukanlah bermain-main. Sebenarnya saya telah menggunakan rami itu untuk menulis di atas tangan saya supaya saya dapat menghafal apa yang telah diajar. Saya tidak ada apa-apa alat untuk menulis dan dakwat, jadi saya telah membasahkan rami itu dengan mulut saya dan selepas menulis ia pun kering dan tiada apa yang dapat dibaca lagi. Alhamdulillah saya telah dapat menghafal kesemua hadith-hadith tadi.”

Hal ini telah memeranjatkan Imam Malik, maka Imam Malik meminta Imam Syafie mengulangi hadith-hadith yang diajarkannya tadi dan ternyata beliau telah menghafal kesemuanya!

Sepanjang kembara ilmunya, Imam Syafie telah ditawarkan dengan pelbagai jawatan-jawatan penting dan harta kekayaan, namun segalanya ditolak agar fokusnya untuk menuntut ilmu tidak lari. Sehinggalah ketika beliau kembali semula ke Madinah untuk bertemu gurunya, Imam Malik yang dikasihinya. Imam Malik yang ketika itu dilimpahi rezeki hadiah daripada anak muridnya serata dunia, menghadiahkan Imam Syafie pelbagai “buah tangan” mewah, daripada kuda-kuda Khurasan, keldai-keldai Mesir, pakaian-pakaian berharga, makanan-makanan sehinggalah kepada beg-beg yang dipenuhi wang ringgit.

KASIH MENUJU AKHIRAT: PERANAN IBU DALAM MENDIDIK ILMUWAN HEBAT

Setibanya di Mekah dengan perasaan yang terlalu rindu kepada ibu tercinta yang telah ditinggalkan selama bertahun-tahun, Imam Syafie lantas mendapatkan si ibu yang telah berusia. Orang ramai yang berkerumun kelihatan sungguh gembira namun insan yang dirindui ternyata tiada senyuman pun terlukis. Apabila ditanya, berkatalah si ibu, “Apakah dirimu masih ingat anakku, apabila engkau meninggalkan ibu, ibu tidak membekalkan apa-apa kecuali dua pakaian Yaman yang ibu berikan kerana semangatmu untuk menuntut ilmu. Dan ibu tetap menghantar kamu walaupun engkau adalah satu-satunya anakku dengan harapan engkau mengkayakan dirimu dengan pelajaran hadith Rasulullah SAW. Apakah engkau fikir ibu menghantarmu untuk kekayaan dunia? Apakah yang engkau bawa balik ini adalah untuk menunjuk-nunjuk kekayaanmu dan merendahkan sepupu-sepupumu?”

Imam Syafie tergamam. “Betapa zuhudmu pada harta kekayaan dunia dan betapa dalamnya penghormatan ibu kepada ilmu agama, betapa kepercayaanmu tiada hadnya kepada Allah SWT.” Lantas dengan izin ibunya, Imam Syafie menyedekahkan kesemua harta yang diperolehi beliau sehingga tidak berbaki waima satu dinar!

Berkatalah si ibu, “Sekarang ini, anakku, kamu akan memasuki teratak burukmu itu dengan keadaan sama seperti kamu meninggalkannya dahulu. Tetapi kini di sana akan ada satu cahaya yang mana belum pernah menyinari teratak itu sebelum ini. Anakku tersayang, Allah SWT telah pun memberi cahaya kepadamu dengan cahaya ilmu dan ibu tidak mahu cahaya itu nanti akan menjadi gelap gelita disebabkan oleh tarikan dan godaan kecantikan dunia yang sekejap ini.” 

KESUNGGUHAN, AKHLAK DAN PENDORONG


Menyantuni kisah Imam Syafie tadi, semahunya saya ingin jadikan sebagai penguat dan pembakar semangat untuk diri ini agar tetap tegar menuntut ilmu dengan penuh KESUNGGUHAN hingga akhir hayat. Title “Dr” dan MBBS yang dicapai bukanlah pengakhiran kembara ilmu diri ini, bahkan insyaallah amanah untuk terus kompeten dalam lapangan perubatan akan saya pegang sehingga menjadi seorang doktor pakar muslimah yang terus berkhidmat untuk perjuangan Islam dan ummah hingga akhir hayat. Dan tentunya selain ilmu perubatan, ilmu-ilmu lain perlu dilengkapkan sebagai pakej menjadi seorang Muslim yang bertaqwa.

Ikhlas, merendah diri dan zuhud merupakan pengajaran penting dalam cerminan AKHLAK seorang penuntut ilmu yang sebenar. Pangkat dan harta acap kali menyebabkan perjalanan ilmu yang sepatutnya menuju matlamat akhirat itu tersasar. Hanya kepada Allah SWT tempat memohon agar ditetapkan hati serta sentiasa meredhai kembara kehidupan ini.

“Barang siapa mengkehendaki keuntungan akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa mengkehendaki keuntungan dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (Asy-Syura: 20)

…Satu hari semasa minum petang di dapur, suami saya tiba-tiba meluahkan sesuatu, “Tadi dalam kereta semasa dalam perjalanan balik ke rumah abang terfikir berat sebenarnya amanah nak didik anak ni. Apa yang ibu ayah cakap semua doa. Dari dalam perut lagi sebenarnya anak ni dah dididik. Kalau kita ni buat maksiat, banyak buat benda lagho (sia-sia), ibadah pun biasa-biasa, layak ke nak pasang impian nak lahirkan tokoh pejuang Islam masa depan?”

Saya terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu tertunduk malu menginsafi diri…

Benar, besar peranan seorang bonda untuk menjadi PENDORONG dalam melahirkan insan-insan yang hebat, di mata masyarakat dan yang paling penting hebat sebagai mukmin bertaqwa pada pandangan Allah SWT. Semoga Allah memberikan kekuatan dan jalan untuk diri ini menjadi ibu solehah yang sentiasa dapat mendidik zuriat yang dilahirkan agar menjadi insan bertaqwa dan mujahid mujahidah yang tegar berjuang untuk Islam, insyaallah.

Sungguh, kembara ilmu itu tidak akan pernah berhenti, menuju akhirat destinasi abadi…

“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habis (dituliskan) kalimat-kalimat Allah (ilmuNya dan hikmahNya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Luqman: 27)

Mari mengembara ilmu!!!