Saturday, September 12, 2009

Bukan sekadar mengerti, tapi perlu untuk MEMAHAMI

Bismillahirrahmanirrahim...

"Alahmdulillah,"sejuk hati saya melihat beberapa orang yang saya kira merupakan sukarelawan daripada Nisa` dan Unit Amal berdasarkan tag yang tertera pada baju mereka,baru sekejap tadi. Namun bagai ada satu yang tidak kena. Ketika itu saya baru saja selesai mengambil `history` daripada seorang pesakit wanita, berusia 80-an.



Senario ini dah lama saya perhatikan dan ia kembali berulang. Datang dengan niat mahu menziarah,mungkin juga turut sama ingin berdakwah. Namun yang kerap saya perhatikan kebanyakannya hanya datang bertemu pesakit, bertanya khabar beberapa saat, memberi cenderahati yang dibawa dan kemudiannya terus pulang.

Sedikit perkongsian yang saya perhatikan,yang baru menjejakkan kaki di alam klinikal ini,satu perkara yang dapat disimpulkan, pesakit-pesakit ini(terutamanya golongan emas) tidak mengharapkan bungkusan-bungkusan makanan dan sebagainya (mungkin kerana kebanyakannya tidak selera makan). Pada saya,kebanyakan mereka memerlukan teman untuk meluahkan rasa mereka, yang boleh memahami dan seterusnya dapat menteteramkan mereka dalam menghdapi ujian ini.

Pernah saya bertemu seorang pesakit, juga warga emas, tidak mahu pulang ke rumah sementara menunggu keputusan biopsy untuk mengesahkan penyakitnya. Puas dipujuk dan diterangkan keadaan sebenar oleh anaknya, namun si ibu tetap menolak untuk pulang.

Saya cuba mendekati, kebetulan mahu meminta tolong seorang rakan berketurunan India untuk menjadi translator kepada seorang pesakit lain. Wanita yang tidak mahu pulang itu kelihatan merengek tetap tidak mahu pulang.

Setelah dipujuk, wanita tersebut mula meluahkan rasa hatinya, "Mak cik keliru nak. Mak cik sakit tapi semua suruh mak cik balik. Kalau balik pun mesti sakit juga, sekarang pun tak baik lagi."

Saya cuba memahami.Wanita tersebut perlu balik dahulu dan hanya selepas 2 minggu baru keputusan biopsy untuk memastikan penyakitnya dapat diketahui. Maka sementara menunggu, lebih baik baginya untuk pulang dahulu, sekurang-kurangnya dapat berehat di rumah dan tempat di hspital yang sememangnya terhad dapat diisi oleh pesakit-pesakit lain yang lebih memerlukan rawatan segera.

Akhirnya setelah diterangkan berkali-kali oleh anaknya, dan sekali-kali saya menambah untuk menyokong, si ibu mula mengalah.

Berbalik kepada menziarahi pesakit,bagi saya perlu untuk mengetahui serba sedikit keadaan diri pesakit selain cuba merasa empati dan bukan sekadar menunjuk simpati, serta memberi kata-kata peransang. Bagi pesakit Muslim pula, amat baik jika sempat bertanyakan mengenai solat pesakit kerana bukan sedikit pesakit yang saya jumpa sebelum ini tidak solat di hospital kerana tidak mengetahui rukhsah yang ada.



Bertemu pesakit bukan sekadar memberi ubat, menjalankan terapi, bahkan rohani dan emosi juga perlu dirawat. Dan kuncinya adalah memahami.

"Dan jika ALLAH menimpakan sesuatu bencana kepadamu, tidak ada yang dapat menghilangkannya selain Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Mahakuasa atas segala sesuatu." (AL-AN`AM:17)

Wednesday, September 9, 2009

ANTARA DUA

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama benar rasanya tidak mencoret sesuatu di sini. Keterbatasan masa agak mencengkam sejak menapak di alam klinikal kini. Lontaran yang ligat berputar di kepala terpaksa dibiarkan begitu sahaja tanpa seraut coretan di sini. Moga-moga ini satu permulaan kembali, insyaallah.

Mungkin lembaran kali ini lebih berbentuk perkongsian...

Sewaktu `ward round` bersama doktor dan ahli kumpulan yang lain, kira-kira 2 minggu lepas, kami bertemu seorang wanita pertengahan umur yang menderita akibat kanser (breast cancer TMN Stage IV) yang dijangka sudah merebak ke sistem peredaran darah dan seterusnya merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Namun wanita tersebut tidak datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan untuk penyakit kansernya, tetapi untuk rawatan melecur kulit akibat `dicurah` air panas semasa menjalani rawatan tradisional.

Yang agak menyedihkan,wanita tersebut juga menolak dengan prosedur bagi mengesahkan kondisi kansernya (trucut biopsy of breast) atas alasan sedang menjalani rawatan tradisional. Menurut doktor yang bersama-sama kami, dengan kondisi sekarang, mungkin wanita tersebut hanya mempunyai lebih kurang 4 bulan tanpa rawatan atau 6 bulan dengan rawatan intensif.

Ketika agak jauh dari tempat wanita tersebut, doktor mula berkata, “ If me, I prefer to have happy ending of my life which means I `ll decide to go to holiday all over the world for 4 months with my lovely family members, rather than feeling bad undergoing all the massive treatment to live for 6 months.”

Saya terkesima seketika. Berfikir bagaimana pula jika saya di tempat itu. Mungkin tidaklah pergi `bersuka-ria`,holiday dan sebagainya, tetapi lebih kepada memencilkan diri beribadah menghabiskan sisa-sisa masa yang ada untuk melakukan persiapan terbaik untuk bertemu dengan-Nya.

Ataupun berusaha berhabis-habisan dengan pelbagai rawatan, bukankah Allah mengatakan Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri?( perlu juga diketahui rawatan untuk kanser seperti kemoterapi atau radioterapi menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti hilang selera makan, panas badan, mulut merekah, rambut gugur dan banyak lagi).

Mungkin membayangkannya tidak seberat yang menghadapinya. Mungkin satu persoalan atau pilihan yang dianggap remeh namun jika tidak mampu untuk merasa empati, apa pula peranan sebagai seorang doktor dalam memberi nasihat terbaik? Tetapi sudah tentu pilihan masih di tangan pesakit…

“Barangsiapa mengerjakan kebajikan dan dia beriman maka usahanya tidak akan diingkari (disia-siakan), dan sungguh, Kamilah yang mencatat untuknya.”
(Al-Anbiya`:94)


Analoginya mudah,seperti peperiksaan, katakanlah seorang pelajar itu ditakdirkan gagal dalam peperiksaan pertengahan semester. Bagi menghadapi peperiksaan akhir semester akan datang, adakah dia akan duduk bergoyang kaki sambil meratapi dan menyesali keputusannya yang sudah berlalu? Atau menerima takdirnya dengan lebih berusaha lebih bersungguh-sungguh dengan rasa redha pada apa hasil tuaiannya pada peperiksaan kelak.

Tafsiran redha dengan menerima ketentuan dengan meyakini ada hikmah tersirat serta tanpa putus asa berusaha supaya lebih baik pada masa akan datang dan sedia menerima apa jua ketentuan. Alangkah indahnya... Mudah diukir di bibir tapi hanya yang diberi kekuatan dari-Nya mampu menghadapi.