Thursday, February 18, 2010

FEMINISME and MEDICINE



Berakhirnya posting obstectric and gynaecology (perbidanan dan sakit puan) baru-baru ini benar-benar membuka minda saya tentang banyak perkara, daripada amanah yang hakikatnya tergalas di bahu hinggalah kepada pencerahan mengenai perjuangan wanita.

MATLAMAT

“OK, can you tell me why you want to become a doctor?” lontar Prof Jamy ketika kelas posting ini yang pertama. Soalan yang sangat biasa untuk freshie first year ketika minggu orientasi tetapi agak pelik untuk kami yang sudah masuk tahun ketiga bergelumang dengan dunia yang serba mencabar ini.

“Yes, Atikah?”

Saya terkesima seketika. Tidak terjangka kiranya menjadi manusia terpilih dalam kelas itu untuk menjawab soalan yang biasa tetapi masa dan tempatnya luar biasa untuk kami pada keadaan sekarang. Now, for whatever reason, we still need to face the real journey of being a medical student and insyaallah, as a doctor!

“Hm… for me, I take it as amanah, Prof,” walaupun mulanya agak ragu-ragu apakah reaksi mereka, alhamdulillah, akhirnya terluncur juga ayat itu dari mulut saya.

“Oh, ok, what sort of amanah did you talking about?”

“Amanah as a muslim, as a daughter and as a sister.”

Beberapa pelajar lain turut ditanya. Ada yang menjawab kerana minat, kerana memang berfikir di sinilah jalan hidupnya dan tidak kurang juga kerana harapan ibu bapa malah ada yang terus termanggu tanpa sepatah jawapan.

Beberapa hari selepas itu, saya mula merenung kembali tuntutan kepada jawapan saya itu. Kalau AMANAH itu yang menjadi sandaran, bermakna perlu dilakukan sehabis baik.

Idealnya, penat, malas, tak minat wajib ditolak ke tepi. Namun, menyedari diri ini hanyalah insan biasa yang adakalanya turut tersungkur menyembah gelodak jiwa, saya mula merenung tamsilannya.

Pada awalnya tiada apa-apa tarikan bahagian obstectric and gynaecology (O&G) ini kepada saya. Hati lebih cenderung kepada surgery yang kritikal dan peadiatrik yang dapat bersama kanak-kanak comel.

Tapi, betullah kata orang. Tak kenal maka tak cinta. Kini ‘cinta’ saya berputik lagi di O&G. Tetapi kali ini mekarnya bersama AMANAH yang kian dirasakan.

Ah, masakan tidak, di sini sahaja rata-rata pakarnya adalah golongan Adam, tidak kurang juga MO (medical officer) yang bertugas. Khabarnya di PPUM juga begitu. Tidak tahulah mengapa, bidang yang sepatutnya perlu dimonopoli golongan hawa menjadi sebaliknya. Mungkin realiti bekerja tidak jejak di minda sedar saya.

Tentu sahaja O&G tersangat sibuk. Teringat kata-kata konsultan di sini, Dr Viji, ketika ditanya jadualnya bagi mengatur wardround bersama medical student,“I don’t know what I’m going to do tomorrow and even this evening. I have no specific time to eat, to sleep. You know, women can deliver their baby at any time.” Nah! Tak hairanlah ramai doktor wanita yang sudah berkeluarga lebih berkira-kira melanjutkan pelajaran di bidang kepakaran lain. Saya? Wallahu’alam, mungkin di situlah letaknya erti pengorbanan, dan mungkin kuncinya pada persefahaman.

“AKU INGIN MENYAMPAIKAN DAKWAH INI HINGGA KE JANIN DI DALAM PERUT IBUNYA”- Asy-syaheed Hassan Al-Banna.



Pernah dengar kata-kata ini,”Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencoraknya”?

Semasa di labour room, biasanya jika tiada kes kecemasan, bayi akan diberikan susu ibu sejurus selepas lahir. Ini kerana, selain mewujudkan ikatan antara ibu dan anak, dipercayai jika bayi diberikan susu ibu dalam masa setengah jam pertama selepas lahir, maka akan mudahlah untuk bayi tadi menerima susu tersebut pada masa akan datang.

Sudah sedia maklum 1001 khasiat susu ibu berbanding susu formula. Antaranya membina sistem imun badan si anak untuk mengelak daripada penyakit dan juga sebagai sumber nutrien lengkap terbaik yang paling sesuai bagi bayi.
Mengapa mesti setengah jam pertama? Pasti ada hikmah tersirat di sebalik hasil kajian sains ini.

Maka, tidak hairanlah Islam mengajar supaya mengazankan bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan sejurus selepas lahir. Nampak mudah dan remeh, tapi saya percaya pasti ada kesan jika kalimah pertama yang kedengaran waktu si kecil mula mengenal kehidupan adalah kalimah yang mengagungkan kebesaran Tuhan yang Maha Esa, motivasi beribadah dan menuju kejayaan.

Oleh sebab keluasan tempat yang terhad, maka di sini bapa tidak dibenarkan ada bersama ketika proses kelahiran bayi. Maka, boleh dikatakan setakat ini tidak pernah pula saya melihat bayi diazankan atau diqamatkan.

Mungkin nampak pelik di sini, tetapi saya teruskan juga mencari-cari jantina bayi dan berbisik di telinga untuk mengazankan atau mengqamatkan. Mungkin agak terlewat waktunya kerana itupun setelah ditempatkan di bilik khas bayi, setelah mendengar pelbagai kata-kata, “Wah,tembamnya baby ni”, “Eh, kecilnya dia”.

WOMEN’S HEALTH CENTER



Idea ini apabila pensyarah saya, Dr Rosy, mengeluh memberitahu realiti betapa taraf kesihatan untuk ibu-ibu mengandung sebelum dan selepas bersalin di negara ini, masih jauh ketinggalan berbanding Barat.

Selain peruntukan yang terhad berbanding jabatan-jabatan lain, prasarana juga agak ketinggalan. Buktinya saya melihat sendiri, hanya apabila Cervical dilatation mencecah 8-9 cm baru dibawa ke labour room, atas alasan tempat bersalin yang terhad. Setidak-tidaknya ini scenario di hospital yang mendapat jolokan ‘Baby producing hospital’ yang statistik kelahiran mencecah 7000-8000 setahun.

Buktinya, kadar kematian wanita semasa bersalin dan akibat komplikasinya, masih berbeza dengan di negara ini. Komplikasi bersalin seperti post-partum hemorrhage (pendarahan selepas bersalin) yang masih menjadi igauan di negara ini telah dapat diminimumkan di negara-negara maju.

Jika masih ragu-ragu, lihat sahaja IJN (Institut Jantung Negara) yang diwujudkan khas bagi pesakit-pesakit jantung dengan kepakaran serta rawatan terkini. Maka, tidak mustahil jika diwujudkan pula Women’s Health Center khas bagi wanita.

Jika isu wanita gah diperjuangkan di pentas perundangan, politik, sosial, malah di peringkat kampus, mengapa tidak diberi perhatian pula dalam aspek kesihatan. Jangan dipandang enteng, Obstectric misalnya perlu ‘bermain’ dengan dua nyawa dan Gynaecology pula sebahagiannya menjadi permulaan pembentukan generasi pewaris ummah dan negara.

BERPIJAK DI BUMI NYATA

Merenung kembali impian dan harapan, kadang-kadang terasa masakan lautan luas terhampar mampu diduga dengan kail yang panjang sejengkal.

Jika, ya, Alhamdulillah. Jika tidak, Alhamdulillah juga, pasti ada hikmah tersirat.

Bukankah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh juga bermula dengan impian menjadi sebaik-baik raja seperti yang dinukilkan Rasulullah SAW?