Ketiadaan televisyen di teratak ini juga memberi kelebihan
pada saya untuk tidak “marathon” cerita-cerita dan drama yang mampu membuatkan
seseorang bertapa di depannya dari pagi hingga ke malam. Satu nikmat yang perlu
sangat-sangat disyukuri bila dikelilingi buku-buku yang seperti sentiasa
memanggil dan meronta-ronta untuk dihadam. Beberapa bulan sebelum final exam
sebelum ini terlalu mencengkam waktunya hingga payah untuk mencuri-curi masa
untuk membaca buku non-medical. Jadi, masa yang ada sekarang ini tentunya sangat
perlu untuk “memanfaatkan sebaik mungkin waktu yang ada”! Buku-buku yang telah
disusun mengikut tema dan bahagiannya masing-masing hanya menunggu untuk
ditelaah daripada sirah, ulum Quran dan hadith, haraki, tarbiyyah, fiqh, dakwah
hinggalah ilmu baitul muslim, motivasi dan koleksi resepi. Sungguh, terasa
kerdilnya diri dengan ilmu di dada yang setitis cuma…
Walaupun mungkin tidak tercapai tahap seperti ilmuwan-ilmuwan
suatu ketika dahulu yang mampu menguasai pelbagai cabang ilmu, pastinya saya
tidak mahu membataskan diri dengan hanya ilmu perubatan yang terisi di dada.
Selain ilmu-ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari sebagai seorang Muslim,
sekalipun tidak sampai tahap membahaskan ilmu-ilmu tersebut, saya optimis untuk
meneroka sekurang-kurangnya asas dalam cabang-cabang ilmu lain. Ilmu itu
cahaya. Tanpanya, layaklah seorang manusia itu digelar “jahil”. Kepentingannya
juga amat dituntut Islam dalam melahirkan umat bertaqwa yang kompeten. Jika
tidak, masakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW berkisar
tentangnya:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang
Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa
yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq: 1-5)
TEGUH DAN AMANAH DALAM PENCARIAN ILMU
Antara koleksi buku-buku yang tersusun di rak perpustakaan
mini teratak Baitul Haraki saya dan suami, saya amat terkesan dengan sebuah
nukilan berkenaan Imam Syafie. Buku yang bertajuk “Kisah Imam Syafie Dalam
Pencarian Ilmu” walaupun tidaklah dihurai secara lengkap dan teliti kesemua
kembara ilmu beliau sepanjang hayatnya, namun perjalanan hidup yang dipaparkan
mampu menerangkan bagaimana perihal pembentukan hidup Imam Syafie, pengasas
mazhab Syafie yang menjadi ikutan umat Islam sehingga masa kini.
Sejak kecil lagi Imam Syafie mempunyai impian dan cita-cita
untuk mempelajari ilmu agama hinggakan belum pun mencapai usia 14 tahun, beliau
telah meminta izin daripada ibunya untuk mengembara dalam mencari ilmu. Ibu
Imam Syafie merupakan seorang ibu tunggal yang telah lanjut usia dan Imam
Syafie merupakan satu-satunya anak yang dimiliki. Setelah menyampaikan
hajatnya, Imam Syafie sedar raut wajah ibunya berubah seolah-olah ada kekusutan
yang bertandang.
Lalu berkatalah si anak, “Ibu sayang, kalau keinginan saya
untuk pergi ini membuatkan ibu berasa risau, saya akan menarik kembali hajat
ini, dan akan berpuas hati dengan apa saja ilmu yang akan dapat saya belajar
dari kawasan tempatan. Jadi saya dapat berada di sisi ibu dan sentiasa
menghambakan diri kepada ibu.”
Tiba-tiba air mata mula menitis dari kelopak mata si ibu.
“Tidak anakku, bukanlah itu maksudku. Sebenarnya apa yang engkau minta adalah
jawapan kepada impianku dan doaku selama ini terhadapmu. Ibu sentiasa berjaga
malam, memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada anak kesayangan ibu
kemahuan untuk belajar tentang Rasulullah SAW, supaya Dia kurniakan kepadamu
keinginan menuntut ilmu yang akan menerangi jalan makhlukNya. Cuma, yang
merisaukan ibu, ibu tidak ada apa-apa untuk diberikan kepadamu sebagai bekal.
Tiada apa di rumah ini dapat ibu berikan untuk memenuhi keperluan
perjalananmu.”
Tetapi ternyata wanita itu mempunyai ketegasan dan kekuatan
dalamam yang amat tinggi. “Baik anakku, janganlah dirimu takut. Allah SWT akan
membekalkan kepadamu dengan secukup bekalan dan akan sentiasa memenuhi
keperluanmu. Pergilah anakku, ibu menyerahkanmu kepada pemeliharaan Allah SWT.
Ibu yakin Dia tidak akan mensia-siakan dirimu.”
Subhanallah, betapa besar pengorbanan si ibu, sebesar
cita-citanya yang menginginkan si anak menjadi seorang yang berilmu. Lalu
bergeraklah Imam Syafie dengan hanya berbekalkan semangat menuntut ilmu yang
tinggi bersama redha ibu tercinta.
Ternyata, perjalanan ilmu yang ikhlas itu suatu yang berkat.
Perjalanan Imam Syafie dipermudahkan Allah SWT apabila seorang tua sudi untuk
menumpangkannya dari Mekah ke Madinah. Dan di Madinah Imam Syafie menuntut ilmu
daripada Imam Malik dan selepas beberapa bulan beliau meneruskan kembara
ilmunya ke Iraq, Iran dan Baghdad serta berguru dengan ramai lagi tokoh-tokoh
ulama’ yang terkenal.
KEKURANGAN BUKANLAH ALASAN
Antara kisah yang terkenal dalam kembara beliau, ketika
pertama kali di Madinah, Imam Syafie yang ketika itu berada di Masjid Nabawi
telah mendengar pengajaran hadith oleh Imam Malik. Secara diam-diam Imam Syafie
duduk di satu sudut lalu mengambil seutas rami dan setiap kali Imam Malik meriwayatkan
hadith, Imam Syafie akan membasahkan rami itu dengan mulutnya lalu menulisnya
di atas tapak tangan kiri. Setelah sesi pengajaran itu tamat, Imam Malik yang
telah memperhatikannya memanggil Imam Syafie.
Berkatalah Imam Malik, ”Kamu seperti orang baik, tetapi ada
satu kelakuanmu yang pada saya kurang baik untuk dilakukan. Semasa saya
meriwayatkan hadith Rasulullah SAW, kamu terus bermain dengan rami dan tidak
mendengar dengan penuh hormat.”
Lalu dengan hormat dan rendah diri Imam Syafie menerangkan,
”Saya bukanlah bermain-main. Sebenarnya saya telah menggunakan rami itu untuk
menulis di atas tangan saya supaya saya dapat menghafal apa yang telah diajar.
Saya tidak ada apa-apa alat untuk menulis dan dakwat, jadi saya telah
membasahkan rami itu dengan mulut saya dan selepas menulis ia pun kering dan
tiada apa yang dapat dibaca lagi. Alhamdulillah saya telah dapat menghafal
kesemua hadith-hadith tadi.”
Hal ini telah memeranjatkan Imam Malik, maka Imam Malik meminta
Imam Syafie mengulangi hadith-hadith yang diajarkannya tadi dan ternyata beliau
telah menghafal kesemuanya!
Sepanjang kembara
ilmunya, Imam Syafie telah ditawarkan dengan pelbagai jawatan-jawatan penting
dan harta kekayaan, namun segalanya ditolak agar fokusnya untuk menuntut ilmu
tidak lari. Sehinggalah ketika beliau kembali semula ke Madinah untuk bertemu
gurunya, Imam Malik yang dikasihinya. Imam Malik yang ketika itu dilimpahi rezeki
hadiah daripada anak muridnya serata dunia, menghadiahkan Imam Syafie pelbagai
“buah tangan” mewah, daripada kuda-kuda Khurasan, keldai-keldai Mesir,
pakaian-pakaian berharga, makanan-makanan sehinggalah kepada beg-beg yang
dipenuhi wang ringgit.
KASIH MENUJU AKHIRAT: PERANAN IBU DALAM MENDIDIK ILMUWAN
HEBAT
Setibanya di Mekah dengan perasaan yang terlalu rindu kepada
ibu tercinta yang telah ditinggalkan selama bertahun-tahun, Imam Syafie lantas
mendapatkan si ibu yang telah berusia. Orang ramai yang berkerumun kelihatan
sungguh gembira namun insan yang dirindui ternyata tiada senyuman pun terlukis.
Apabila ditanya, berkatalah si ibu, “Apakah dirimu masih ingat anakku, apabila
engkau meninggalkan ibu, ibu tidak membekalkan apa-apa kecuali dua pakaian
Yaman yang ibu berikan kerana semangatmu untuk menuntut ilmu. Dan ibu tetap
menghantar kamu walaupun engkau adalah satu-satunya anakku dengan harapan
engkau mengkayakan dirimu dengan pelajaran hadith Rasulullah SAW. Apakah engkau
fikir ibu menghantarmu untuk kekayaan dunia? Apakah yang engkau bawa balik ini
adalah untuk menunjuk-nunjuk kekayaanmu dan merendahkan sepupu-sepupumu?”
Imam Syafie tergamam. “Betapa zuhudmu pada harta kekayaan
dunia dan betapa dalamnya penghormatan ibu kepada ilmu agama, betapa
kepercayaanmu tiada hadnya kepada Allah SWT.” Lantas dengan izin ibunya, Imam
Syafie menyedekahkan kesemua harta yang diperolehi beliau sehingga tidak
berbaki waima satu dinar!
Berkatalah si ibu, “Sekarang ini, anakku, kamu akan memasuki
teratak burukmu itu dengan keadaan sama seperti kamu meninggalkannya dahulu.
Tetapi kini di sana akan ada satu cahaya yang mana belum pernah menyinari
teratak itu sebelum ini. Anakku tersayang, Allah SWT telah pun memberi cahaya
kepadamu dengan cahaya ilmu dan ibu tidak mahu cahaya itu nanti akan menjadi
gelap gelita disebabkan oleh tarikan dan godaan kecantikan dunia yang sekejap
ini.”
KESUNGGUHAN, AKHLAK DAN PENDORONG
Menyantuni kisah Imam Syafie tadi, semahunya saya ingin jadikan sebagai penguat dan pembakar semangat untuk diri ini agar tetap tegar menuntut ilmu dengan penuh KESUNGGUHAN hingga akhir hayat. Title “Dr” dan MBBS yang dicapai bukanlah pengakhiran kembara ilmu diri ini, bahkan insyaallah amanah untuk terus kompeten dalam lapangan perubatan akan saya pegang sehingga menjadi seorang doktor pakar muslimah yang terus berkhidmat untuk perjuangan Islam dan ummah hingga akhir hayat. Dan tentunya selain ilmu perubatan, ilmu-ilmu lain perlu dilengkapkan sebagai pakej menjadi seorang Muslim yang bertaqwa.
Ikhlas, merendah diri dan zuhud merupakan pengajaran penting
dalam cerminan AKHLAK seorang penuntut ilmu yang sebenar. Pangkat dan harta acap
kali menyebabkan perjalanan ilmu yang sepatutnya menuju matlamat akhirat itu
tersasar. Hanya kepada Allah SWT tempat memohon agar ditetapkan hati serta
sentiasa meredhai kembara kehidupan ini.
“Barang siapa mengkehendaki keuntungan akhirat akan Kami
tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa mengkehendaki keuntungan
dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia
tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (Asy-Syura: 20)
…Satu hari semasa minum petang di dapur, suami saya
tiba-tiba meluahkan sesuatu, “Tadi dalam kereta semasa dalam perjalanan balik
ke rumah abang terfikir berat sebenarnya amanah nak didik anak ni. Apa yang ibu
ayah cakap semua doa. Dari dalam perut lagi sebenarnya anak ni dah dididik.
Kalau kita ni buat maksiat, banyak buat benda lagho (sia-sia), ibadah pun
biasa-biasa, layak ke nak pasang impian nak lahirkan tokoh pejuang Islam masa
depan?”
Saya terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu
tertunduk malu menginsafi diri…
Benar, besar peranan seorang bonda untuk menjadi PENDORONG
dalam melahirkan insan-insan yang hebat, di mata masyarakat dan yang paling
penting hebat sebagai mukmin bertaqwa pada pandangan Allah SWT. Semoga Allah
memberikan kekuatan dan jalan untuk diri ini menjadi ibu solehah yang sentiasa
dapat mendidik zuriat yang dilahirkan agar menjadi insan bertaqwa dan mujahid
mujahidah yang tegar berjuang untuk Islam, insyaallah.
Sungguh, kembara ilmu itu tidak akan pernah berhenti, menuju
akhirat destinasi abadi…
“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan
(menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya,
nescaya tidak akan habis-habis (dituliskan) kalimat-kalimat Allah (ilmuNya dan
hikmahNya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Luqman: 27)
Mari mengembara ilmu!!!