Sunday, December 27, 2009

kehidupan yang BUKAN REALITI

“Sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu, dan Dia tidak akan meminta hartamu”
(Surah Muhammad: 36)


Apakah benar kehidupan ini hanya fantasi? Apa pula buktinya dunia ini satu realiti?

“Tentulah, saya dapat lihat, dengar, rasa dan sentuh benda yang ada di sekeliling!”

Tapi, adakah itu suatu kepastian? Benar, berdasarkan neuroscientific research, kita dapat melihat dengan mata, dapat mendengar dengan telinga, dapat merasa dengan lidah, dapat menyentuh dengan tangan dan segala reseptor-reseptor yang dapat mengesan semua deria tadi akan melalui satu sistem yang dinamakan sistem saraf untuk menghantar segala maklumat dalam bentuk impuls elektrik ke pusatnya iaitu OTAK. Kemudian akan otak akan terjemah atau tafsir untuk diri kita faham dan membuat keputusan untuk bertindak kepada ransangan atau tidak.

Cuma, jika stuktur otak itu sendiri dibelah dan dilihat stuktur anatominya, adakah kita boleh melihat impuls ini berjalan??

Sebagai contoh, kita melihat sebatang pen, dan berdasarkan sains yang kita belajar hari ini kita percaya imej pen tersebut akan pergi ke otak dalam bentuk impuls melalui saraf dan otak akan menterjemah, “Ya, inilah sebatang pen, berwarna biru, dengan penutup berwarna merah.” Tetapi kalau kita cuba scan atau buka otak ketika itu, adakah kita dapat lihat imej pen biru itu berjalan-jalan dalam otak untuk diproses? Tentu sekali jawapannya , “TIDAK!!”

Atas fungsi otak yang satu inilah, bila mana seseorang itu otaknya tidak berfungsi lagi atau disebut juga sebagai ‘brain death’, keluarga pesakit tersebut akan diberitahu oleh doktor yang dia sebenarnya sudah tiada harapan lagi dan segala alat bantuan disekelilingnya perlu diberhentikan.

Kita lihat pula, seorang yang dilahirkan buta sejak kecil. Bagaimana tafsiran hidupnya? Apakah dia akan merasakan kehidupannya tak lengkap dek penglihatannya yang hilang? Atau dengan merasa, mendengar, menyentuh dirasakan inilah kehidupan sempurana baginya?

Maka, tidakkah ini menunjukkan kehidupan ini hanyalah apa sahaja yang kita fikirkan???

Dalam perubatan, konsep virtual di mana bahan dalam bentuk 2D diterjemahkan ke dalam bentuk 3D oleh otak ini popular di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, misalnya dalam latihan kepakaran bidang surgeri (pembedahan). Doktor yang sedang dilatih akan memasuki satu bilik kosong dan kemudian dipakaikan alat-alat khas di mata, telinga, tangan dan kaki. Kemudian semuanya akan diprogramkan dan doktor tersebut akan merasakan mereka sedang berhadapan seorang pesakit dan menjalankan pembedahan SEBENAR!!

Ingat lagi filem sekuel popular, MATRIX ? Filem ini berjaya menterjemahkan asimilasi virtual. Watak di dalamnya mengembara ke alam maya setelah alat khas dipasang di bahagian otak mereka. Walaupun hanya pengembaraan maya, ditonjolkan kesannya diinterpretasi ke ‘alam nyata’ sehingga digambarkan akan benar-benar mati jika kehilangan nyawa dalam alam virtual itu. Filem ini benar-benar menggambarkan fungsi otak yang mentafsir situasi sebagai realiti waima jasad langsung tidak bergerak.

Benarkah apa yang anda hadapi hari ini adalah realiti? Jika otak anda mentafsir objek di hadapan bulat, adakah orang lain melihat atau faham sama seperti yang anda percaya selama ini? Atau itu hanya dugaan tafsiran otak anda sendiri?

Jadi, jika semua ini hanya fantasi, apakah REALITI??

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”
(Surah Ar-Rum: 64)