Friday, February 20, 2009

ERTI KASIH MAKNA SAYANG


19 Februari 2009
Pagi ini,habis selesai sahaja lecture Neurophysio yang tidak dapat sangat saya memberi tumpuan lantaran tidur lewat malam tadi,saya segera meninggalkan Dewan Kuliah Jemerlang. Langkah diatur menuju library Fakulti Perubatan. Cuma sebelum itu,saya mahu singgah sebentar untuk solat Dhuha di surau PPUM berdekatan wad ICU. Agak hairan melihatkan seorang wanita kira-kira setengah abad umurnya saya meneka-neka,sedang khusyuk membaca Al-Quran. “Mungkin ada ahli keluarganya di ICU,”saya mula berbicara sendiri. Sempat juga kami saling menyapa.



Selesai solat,saya cuba merapati wanita itu yang saya selesa memanggilnya mak cik sahaja. Tidak pernah terjangka,salam perkenalan kami akhirnya membuahkan butir-butir ceritera pengalaman yang amat berharga. Mak cik memberitahu dia sedang menemankan suaminya yang sedang dirawad di wad Intensive Care Unit(ICU). Saya mula bertanya lebih lanjut,mengenai sakit suami mak cik tersebut dan bermulalah sebuah bingkisan buat pedoman semua……



“Dah lama sebenarnya,nak,pak cik sakit kencing manis. Alhamdulillah,sebelum ni penyakitnya terkawal. Segalanya bermula ketika kami sama-sama menunaikan haji baru-baru ni. Pada awalnya segalanya seperti biasa,sehinggalah hari ketiga kami di sana,pak cik terjatuh ketika di bilik air. Oleh sebab badan pak cik agak besar,kakinya mengalami masalah,mungkin terhentak semasa jatuh. Selepas itu pak cik terus dibawa ke klinik maktab. Namun,disebabkan keadaanya agak kritikal,pak cik dibawa ke Hospital Malaysia. Di sana,doktor yang merawat pak cik memberitahu,pak cik perlu dibawa ke Hospital King Aziz (kalau tak silap la namanya,tak sempat catat masa mak cik Jah cerita) kerana peralatan di hospital jemaah Malaysia terhad. Mak cik redha,andai itu yang terbaik.”



“Jadi mak cik bersiap-siap,merancang mengiringi pak cik,bersama seorang sister(ketua jururawat).Peraturan hospital di Arab Saudi agak ketat,mak cik dan sister yang ingin pergi dikehendaki memakai pakaian serba hitam bersama purdah. Namun akhirnya kami dikejutkan dengan larangan untuk turut bersama pergi kerana tiada muslimin bersama kami. Hati mak cik sebak bercampur risau,apa yang mampu mak cik lakukan hanyalah berdoa dan mengiringi perjalanan suami mak cik dengan pandangan mata sahaja.”



Mak cik terus bercerita,hanya sesekali saya menyampuk untuk bertanya dan mengangguk-angguk.Mak cik meneruskan cerita,setelah itu,mak cik disuruh pulang semula ke maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia. Sampai di sana,mak cik seolah-olah mak yang kehilangan anaknya. Segala yang dilakukan serba tak kena dek resah yang membelenggu diri menanti khabar suami tercinta. Mak cik bertanya kepada doktor-doktor di maktab itu,bagaimana keadaan suaminya namun hanya jawapan hampa yang terungkap, ”Saya tidak tahu.” Setelah beberapa ketika barulah mak cik mendapat sinar cahaya apabila Hospital Malaysia memintanya pergi ke Hospital Malaysia sebelum ke Hospital King Aziz pada pukul 3 petang.



“Di sana,mak cik dimarahi oleh seorang jururawat. Pelbagai alasan diberikan untuk membantutkan hasrat mak cik;tak ada kenderaan,tak ada muhrim untuk menemankan dan 1001 alasan lain lagi. Ketika itu perasaan mak cik bercampur baur,marah,risau ,sedih dan bermacam-macam lagi. Selepas itu mak cik menuju ke bilik air dan menangis sepuas-puasnya. Mak cik seorang yang berhati keras. Waima mak cik sedih sekalipun,mak cik tak akan tunjuk dihadapan orang lain. Biasanya mak cik akan menangis seorang diri,basuh muka dan keluar dengan senyuman. Selepas itu,mak cik terus naik ke tingkat atas untuk bertemu Dr Farah. Sampai sahaja dia atas,Dr Farah terus menghalakan jari telunjuknya kepada mak cik sambil berkata, “Mak cik pergi mana?Datuk Kamal(pengarah hospital Malaysia) dah tunggu di Hospital King Aziz dekat sejam dah! Penat kami cari mak cik merata-rata tempat.” Mak cik terdiam,air mata mak cik buat pertama kalinya mengalir di hadapan orang ramai.”



“Dr,mak cik bukan bola. Bila mak cik jumpa nurse,dia kata tak ada orang akan bawa mak cik. Dari awal mak cik nak jumpa Dr tapi dia kata Dr orang baru,tak tahu keadaan di sini. Bila saya datang juga jumpa Dr,Dr marah saya. Saya cuma nak tahu keadaan suami saya Dr,cukuplah. Entah hidup ke,mati ke. Sejak suami saya dibawa pergi,saya tak tahu langsung keadaan dia,isteri mana yang tahan Dr. Kalau mak tak ada boleh lagi ada mak angkat,mak tiri,tapi ni suami Dr. Tak akan ada suami angkat,suami tiri,” luah mak cik sedang semua mata di situ memerhatikan,katanya.



“Akhirnya Dr Farah akur. Dia mohon maaf kepada mak cik kerana bertindak kasar, “ Maafkan saya mak cik.Saya sangat penat hari ni,dari tadi patient datang tak berhenti,saya tak sempat makan pun dari tadi.” Tapi sebenarnya mak cik pun belum menjamah apa-apa sejak pak cik dibawa ke Hospital King Aziz,mak cik kecewa Dr itu menghentam mak cik terus sedangkan tidak mengerti perkara sebenar.



Saya terdiam sejenak. Ini bukanlah kali pertama kes sepertinya,malahan pernah lebih dasyat lagi.Walaupun mungkin hanya segelintir,namun bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga selain perkara berkenaan attitude ini sedikit sebanyak telah merobek etika sebagai seorang pengamal perubatan. Malu untuk dinukilkan tapi semoga ini menjadi pengajaran,terutama buat bakal doktor,nurse dan medical staff lain,bila mana pernah kecoh lantaran seorang doktor menampar seorang pesakit di hospital yang amat hampir dengan saya,****. Persoalannya,mengapa hal ini boleh berlaku. Benar,saya tidak menyangkal kita semua juga manusia,punya perasaan. Namun,bila mana berhadapan pesakit atau ahli keluarganya,cuba letakkan kita dalam situasi tersebut. Hakikatnya apabila berhadapan situasi yang menekan,tika itulah kita perlu koreksi diri kembali,dengan meletakkan keredhaan ALLAH ta`ala sebagai matlamat utama kita. Insyaalah,waima diri terhimpit dek keletihan,kekuatan itu akan datang andai niat ikhlas dipasakkan dalam setiap pekerjaan kita.








“Alhamdulillah,akhirnya dapat juga mak cik bertemu suami mak cik. Walaupun sebak,mak cik tabahkan hati,gagahkan diri berhadapan pak cik. Mak cik cuba ceria di hadapan pak cik,mak cik tak mahu pak cik risau. Rupa-rupanya pihak hospital telah `membersihkan` kaki pak cik. Terdapat bahagian pada bahagian kaki pak cik yang sudah `dikorek` hingga nampak tulang. Tiba-tiba juga mak cik mendapat tahu kaki pak cik akan dipotong(leg amputation). Masa itu,dunia terasa gelap. Apa yang mak cik tahu,ada seorang doktor dari Turki yang beriya-iya mahu memotong kaki pakcik,sedangkan ada seorang doktor Arab memberitahu tidak perlu. Dengar kata doktor Turki itu mahukan kaki pak cik untuk dibuat kajian (saya terkesima sekali lagi.di manakah nilai dan etika seorang doktor yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kebajikan pesakit). Alhamdulillah,dipendekkan cerita,akhirnya di saat-saat akhir,pembedahan untuk memotong kaki pak cik dibatalkan. Memang mak cik sebelum itu merintih siang dan malam memohon agar Allah selamatkan pakcik dan dikurniakan anugerah kesihatan sehingga selesai menunaikan haji. Mak cik benar-benar merasakan kebergantungan kepada ALLAH adalah yang utama. Selagi mampu,mak cik akan terus berikhtiar. Mak cik tak akan tinggalkan pak cik,mak cik akan sentiasa menjaga pak cik. Mak cik redha andai itu takdir dari ALLAH…”



Begitulah sedikit perkongsian ceritera seorang isteri yang saya kira amat tabah (ada lagi sambungan setelah pak cik dan mak cik kembali ke Malaysia yang tak kurang pengajaran yang dapat diambil,tapi insyaallah next time sambung).. Semoga setiap tinta yang dititipkan membawa kita berfikir,di mana kita sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Esa,apakah nilai Islam itu benar-benar kita praktikkan sebelum ini waima kepada diri yang kononnya bergelar Muslim sejati?? TEPUK DADA,TANYA IMAN~



Sebelum beredar,saya sempat menziarahi pak cik yang masih belum sedarkan diri setelah menjalani pembedahan potong kaki di wad ICU bersama mak cik dan salah seorang anaknya. Semoga ALLAH memberi kekuatan kepada mereka, AL-FATIHAH….





20 Februari 2009- 2.50 am

Saturday, February 14, 2009

TAUBAT HAMBA~


"SESUNGGUHNYA,BERUNTUNGLAH ORANG YANG MENSUCIKAN JIWA ITU DAN SESUNGGUHNYA RUGILAH ORANG YANG MENGOTORINYA"

(asy-syams:9-10)

Friday, January 30, 2009

muhasabah MUJAHIDAH

Wahai mujahidahku
Tinggalkan ulit lenamu
Hapuskan angan-angan kosongmu
Jauhkan racun nafsu yang bisa membunuhmu
Masakan dirimu punya waktu sebegitu
Sedang bertimbun amanah tergalas di bahu
Adakah kau lupa mujahidahku?

Apakah isi dunia yang kau damba?
Atau redha ILLAHI yang lebih utama?
Ingatkah suatu masa dulu
Kau pernah menyulam kata
Mahu menjadi mujahidah sejati
Mahu menjadi ansarullah terbilang
Mahu menjadi syahidah agung
Namun
Kenapa saat ini kau goyah
Kau persiakan sisa-sisa masa yang ada
Bukankah al-banna pernah berkata
Tugas yang tersedia melebihi masa yang ada
Andai kau terus melayan gelodak jiwamu
Fikirkan
Apa yang kau akan jawab
andai disoal akhirat kelak
berkenaan bai`ahmu dulu kepada-Nya

Jikalau Umar Abdul Aziz menolak dunia
Menyanjung amanah sebagai khalifah
Andai Salahudin al-Ayubi tegar berjuang
Demi menawan kembali Baitulmaqdis
Waima Zainab al-Ghazali tegar bertahan
Tawakal menghadap pemerintah durjana
Mengapa pula kau goyah mujahidahku….

Ayuh!!!
Bangkitlah mujahidahku
Kibarkan semula panji-panji perjuangan
Tegakkan kembali semangat mujahid
Laungkan kembali teriakan jihad
Untuk suburkan Islam tercinta di seantero dunia
Antara panji kemenangan atau syahid
Kuatkan aqidahmu
Pasakkan iltizam mu
Andai diri rebah kerana Allah
Semoga mahar yang dibayar
dapat dititip demi kasih-Nya

Thursday, January 22, 2009

The Oath of Muslim Doctor

Ikrar Doktor
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani
Saya bersumpah demi Allah Yang Agung
Bahawa saya akan mengingati Allah di dalam menjalankan tugas saya
Bahawa saya akan melindungi nyawa manusia disemua peringkat dan di dalam semua keadaan, melakukan dengan seberapa daya saya untuk menyelamatkannya dari maut, penyakit, kesakitan dan kegelisahan.
Bahawa saya akan menjaga kehormatan semua orang, melindungi perkara-perkara peribadi dan mengunci rahsia mereka.
Bahawa saya akan sepanjang masa memperhambakan diri kepada belas kasihan Allah, memberikan khidmat perubatan saya kepada yang dekat dan yang jauh, yang baik dan yang berdosa serta kawan dan lawan. Bahawa saya akan berusaha di dalam mengejar pengetahuan dan menggunakannya untuk manafaat dan bukan untuk merosakkan manusia.
Bahawa saya akan menghormati guru saya, mengajar doktor dibawah saya dan menjadi saudara kepada pengamal perubatan lain dan bekerjasama di dalam semangat ketaqwaan dan kebajikan.
Bahawa saya akan menghidupkan keimanan saya semasa berseorangan atau dikhalayak ramai, mengelakkan perkara yang boleh mencemarkan saya pada pandangan Allah, RasulNya dan orang beriman yang lain. Semoga Allah menjadi saksi kepada ikrar ini.

Kredit kepada website Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia, http://www.papisma.org/

Tuesday, January 20, 2009

DETIK KEMENANGAN


ALLAHUAKBAR!! Kira-kira jam 4 pagi tanggal 20 Januari 2009 menjadi detik bersejarah dengan laungan takbir menjadi teriakan keramat di DTC atas kemenangan Islam di UM.Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata perasaan ketika itu.Terasa nikmat daripada-Nya yang tak terkira.Terasa sangat puas,Alhamdulillah...


Memori PRK 08/09.Walaupun inilah pertama kalinya diri ini melibatkan secara langsung dalam gerak kerja dalam menuju kemenangan Islam di kampus tercinta ini(tahun lalu hanya sebagai penyokong setia),terasa tarbiyyah dan impaknya sangat besar.Banyak pengalaman baru yang dapat dikutip,dari buat 'survey' untuk manifesto,mengecat banner,terjah dari kolej ke kolej untuk menggempur sehingga kemuncaknya pada hening pagi PRK berlangsung,kami bersama-sama bermunajat di dataran DTC memohon ALLAH meredhai perjuangan ini serta menagih keampunan agar diampunkan segala dosa.Agar jangan kerana noda yang terpalit menahan kemenangan dari yang Maha Esa.


Teringat kata-kata Saidina Umar,"Muslimin hanya mendapat pertolongan daripada Allah lantaran maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka.Sekiranya mereka(musuh) tidak berbuat demikian,kita tidak dapat mengalahkan mereka,kerana bilangan kita tidak sebanyak bilangan mereka dan kelengkapan kita tidak setanding dengan kelengkapan mereka.Kalau kita sama-sama membuat maksiat,tentulah mereka lebih kuat."



PRK kali ini juga mengajar dan menguji erti ukhuwah.Biasalah,saat badan minta direhatkan,detik mata meronta agar dilelapkan,waktu tugas-tugas lain juga perlu disiapkan,hati kadang-kadang teruji dengan nilai ukhuwah.Ada yang saling menyalahkan,minta difahami tetapi kurang sekali untuk memahami,dengan masalah timbul saat-saat akhir,terasa ada sesuatu yang perlu dimuhasabahkan.Alhamdulillah,malam sebelum PRK,saya dan sahabat seperjuangan(walaupun tidak semua) yang lain duduk bersama-sama melontarkan segala yang terbuku di hati.Kami sepakat,merenung kembali niat dan nilai perjuangan ini.


Selain medan jihad dan tarbiyyah(ops...ada yang mengingatkan PRK juga medan dakwah),PRK juga satu rangkaian metodologi secara praktikalnya menguji tadhiyah.Tak pernah sebelum ini insan ini tak pergi ke kuliah (atau bahasa tersuratnya "ponteng kelas"),pada masa inilah 3 hari tak hadir kuliah dek timbalan dekan yang tak meluluskan permohonan cuti kami sebagai wakil calon.Terdetik juga rasa bersalah tapi cepat-cepat diperingatkan tentang niat (azamku nak catch-up balik lepas selesai segalanya.chaiyok!!)...


Last but not least,hakikat mengisi kemenangan itu jauh lebih payah dari menggapainya.Semoga kemenangan ini merupakan sinar dan langkah untuk Islam terus tertegak.


"Sungguh Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.Agar Allah memberikan ampunan kepadamu(Muhammad) atas dosamu yang lalu dan yang akan datang,serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan menunjukimu ke jalan yang lurus,dan agar Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat(banyak)"

~Al-Fath:1-3

Friday, January 2, 2009

PALESTIN BERDARAH >> amanat syeikh ahmad yassin

“ tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?
Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati ( lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku ( yang perlahan ini ) .
Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali jika mereka meggerakkan ( kerusi roda ) ku. Aku yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia, aku yang diserang pelbagai panyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan .
Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai bangsa arab , kalian diam membisu dan lemah , atau adakah kalian semua telah mati binasa.
Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadapa kami sehingga tiada satu golongan pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah… tiada satu pun kumpulan ( daripada kalangan kalian ) yang bangkit menentang musuh-musuh allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa keatas kami dan menukarkan kami dari golongan mulia kepada golongan yangn dianiaya dan dizalimi oleh pembunuh dan penjenayah serta pengganas… tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami.
Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemulian. Tidak malukah Negara-negara umat Islam membiarkan penjenayah zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringkan bebanan kami.
Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokok-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan:
“ ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatah-patahkan tulang-temulang mereka, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!”
Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar tentang peperangan besar keatas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis didahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati dengan keadaan melarikan diri. Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami , wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.
Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih, kerana ketahuilah bahawa kami tetap akan mati walaupun kami berbuat demikian ( menyerah ). biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahidin dan syuhada`.
Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian . kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan.
Kami juga berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi allah , jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini.”
“ Ya Allah kami mengadu kepadaMu … kami mengadu kepadaMu… kami mengadu kepadaMu… kami mengadu kepadaMu lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami dihadapan manusia. Engkaulah Tuhan kepada ornag-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa Enkau tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan meyerbu kami. Atau kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?
Ya Allah, kami mengadu kepadaMu darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa , kanak-kanak yang diyatimkan , wanita-wanita yang dijandakan , ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan , tanaman-tanaman yang dirosakkan.
Ya Allah, kami mengadu kepadaMu berseleraknya kesatuan ( umat ) kami, berpecahnya perpaduan kami , berbagai-bagainya haluan kami, terbelakangnya kami.
Kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kaum kami , betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh kami… “