Sunday, December 5, 2010

dilema...



Saat itu hadir tanpa diduga
Ah, bisanya seakan menusuk dalam…
Terlalu pedih untuk ditelan
Namun tak upaya untuk dibuang
Antara mengundang sinar bahagia
atau pengorbanan yang merelakan derita…




“… dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”

Monday, November 15, 2010

"AKU MAHU BEBAS"

Petang itu, selesai jongging mengelilingi tasik dua pusingan, kami berusrah di atas “pangkin” yang dibina pada satu sudut. Niat asal untuk berkayak terpaksa ditunda dek kayak digunakan bagi sesi latihan, untuk wakil UM barangkali.



Masih terkesan dengan penangan buah tangan novelis terkenal, Habiburrahman El-Shirazy, saya membawa persoalan yang dikupas halus dalam “BUMI CINTA”. Novel ini berlatar belakangkan Rusia, negara indah yang mengamalkan konsep kebebasan tanpa sempadan. Kisah-kisah yang dihidangkan juga cuba mengungkap erti KEBEBASAN sebenar, seterusnya menjadi tarikan untuk mematangkan pemikiran.

Sebelum terus menilai dengan pandangan hati dan akal, beberapa persoalan saya utarakan menjadi mukaddimah perbincangan kami petang itu.

“Apa erti kebebasan sebenarnya?”

“Ehm… Maksudnya kita bebas melakukan sesuatu. Tak ada sekatan,”
ada yang cuba-cuba menjawab
.

“Maksudnya kita ni tak bebas la ye?”

“Kenapa pulak akak?”

“Iyelah, akak ambil contoh kita sebagai Muslim. Kita kena pakai tudung, jaga pergaulan, solat, puasa… Kalau kita bebas, maksudnya ikut suka hati kitalah nak buat apa pun. Ha, bukan sikit orang kat luar sana yang mempertikaikan. Pakai tudung panaslah, bukankah lebih bebas namanya kalau buat apa yang kita rasa selesa? Mahkota yang Tuhan cipta untuk diperagakan. Peraturan-peraturan agama yang ada dicipta untuk mengongkong kebebasan!”


Nauzubillah…

“Er… tak boleh la cakap macam tu. Tapi em… macam mana ye pasal tu?” ada sedikit keraguan dan resah bila apa yang menjadi pegangan selama ini mula dipersoalkan.


BUMI CINTA: MENUTURKAN HAKIKAT KEBEBASAN

Kembara Muhammad Ayyas ke Rusia ternyata bukan sekadar melengkapkan keperluan menyiapkan tesisnya. Walaupun mendapat pendidikan di Madinah sebelum itu, ternyata pemuda ini tetap tidak dapat lari daripada fitrah yang menjadi ujian dirinya. Pesona wanita-wanita yang mewarisi kecantikan Tsarina Rusia hampir saja menggoyahkan iman yang selama ini cuba dijaga serapi mungkin.

“Hai orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh),
maka berteguh-hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebnyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar”
(Al-Anfal: 45-46)

Selain kisah mujahadah Ayyas berhadapan “musuh-musuh” imannya, keindahan dan sejarah Rusia yang dinukilkan membuatkan siapa yang membacanya seolah-olah larut dalam permandangan musim sejuk yang indah. Kisah kekejaman dan keganasan pada zaman Lenin dan Stalin juga mampu membuatkan jiwa tersentap. Selain itu, pengkisahan Sabra dan Shatila turut diterjemah dalam erti kata sebuah kehidupan dan perjuangan.

Di sebalik segala konflik yang berlaku, pertikaian dan pencarian erti kebebasan di awal cerita telah berjaya dirungkaikan pada pengakhirannya.

Ayyas yang terpaksa berjuang menghadapi segala cabaran-cabaran “kebebasan” yang di bumi Rusia…

Devid yang pada awalnya merupakan pelajar hebat semasa di SMP dan SMA Indonesia, akhirnya hanyut ditelan arus “kebebasan” di Rusia...

Yelena, seorang pelacur kelas atasan di Moskow yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, yang kononnya bahagia di sebalik perhatian dan kecantikan yang menjadi kebanggaan, akhirnya terpaksa mengakui dirinya ralit dalam dunia yang penuh dengan “kebebasan” itu…

Linor, wanita cantik tetapi penuh dingin, yang menjadi agen Zionis, akhirnya terpaksa mencari dan memilih “kebebasan” yang dulunya dipandang sinis setelah mengetahui kisah perit asal-usulnya…


Ternyata, hamparan KEBEBASAN itu menuntut setiap manusia untuk mencari hakikatnya, namun terpulanglah pada hati, akal dan nafsu masing-masing untuk MEMILIH.

“Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar,juga dipersilakan.”
(Al-Kahf: 29)

“maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”
(Asy-Syams: 8-10)


Tiada paksaan, terpulanglah untuk membuat PILIHAN.

ERTI KEBEBASAN DALAM BERTUHAN


Apabila seseorang itu mengakui dan menjiwai sepenuhnya hakikat ‘ubudiyyah (perhambaan diri) dalam jiwa, maka hakikatnya dialah “hamba yang paling BEBAS DAN MERDEKA.”

Masakan tidak, jika seluruh kehidupan diserahkan dengan pengabdian kepada Yang Maha Menciptakan, tiada suatu pun di dunia ini mampu menundukkannya. Dia hamba Allah yang merdeka daripada kezaliman pemikiran atau perlakuan mana-mana manusia, juga merdeka deripada belenggu nafsu, pangkat, kemewahan harta dan sifat-sifat mazmumah yang membinasakan.

Segala ketetapan dalam Islam itu bukan satu sekatan bahkan merupakan jalan kepada hakikat kebebasan sebenar. Tiada satu pun syariatullah atau sunnatullah yang digariskan bersalahan dengan fitrah seorang insan.
Solat sebagai tanda pengabdian diri seorang hamba misalnya, berperanan mewariskan ketaqwaan setiap kali jika dilakukan dengan penuh khusyu’ dan penangannya turut dijamin mampu mencegah maksiat.

“Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

Hikmah solat yang turut dibongkar sains juga tidak perlu diperdebatkan lagi. Hasil kajian membuktikan bahawa sujud mampu membantu pengaliran darah dalam otak dan mengelakkan penyakit Tibi, solat jemaah mampu menyeimbangkan cas-cas dalam tubuh dan bermacam-macam lagi.

SETIAP AMALAN ADALAH DENGAN NIAT

“Jadi, macam mana dengan pakai tudung tu tadi? Kenapa cakap orang pakai tudung tu orang yang bebas?” Amira cuba berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan pada awal tadi.

“Ehm… Amal rasa macam ni. Cuba kita tengok balik kenapa orang tu tak pakai tudung? Mesti sebab dia rasa lebih selesa, dan gembira bila buat macam tu.”

“Tapi at last, cuba tengok apa yang terjadi hari ni. Adakah dia masih rasa selesa bila saban hari kes rogol banyak dilaporkan dalam surat khabar? Apakah dia gembira bila setiap inci tubuh dia dijamah lelaki yang bukan muhrim? Dan sebanarnya itu menampakkan harga diri yang rendah,”
agak sinis tetapi tembakan yang masih mengena.

Maka, dalam setiap perkara yang dilakukan yang kononnya mahu merealisasikan hasrat kebebasan diri, cuba tanya kembali, apakah TUJUAN yang mahu dicapai? Adakah kerana mahu gembira, selamat, atau bahagia? Dan seterusnya, tanyakan diri kembali, adakah tujuan itu BENAR-BENAR telah dicapai setelah melakukan perkara tersebut.

Jika ya, TAHNIAH, “mungkin” erti kebebasan sebenar itu telah ditemui!

Selamat merenung dan mencari HAKIKAT KEBEBASAN DAN KEMERDEKAAN SEBENAR…









Wednesday, November 3, 2010

Sindrom Munchausen: Merawat yang tersembunyi



“2212, bilik dua,” kedengaran suara memanggil pesakit untuk bertemu doktor di klinik ENT (ear, nose and throat) sebuah hospital kerajaan.

Tidak lama kemudian pintu dikuak. Masuk seorang wanita Cina pertengahan abad.

“Selamat pagi. Sila duduk,” Dr Syafiq menegur sambil tersenyum.

“ Boleh saya tahu apa masalah puan?”

“Oh doktor, sudah satu minggu, saya rasa telinga ini ada masalah.”

“Kenapa ya dengan telinga puan?”

“Errr… Hmm… Kadang-kadang saya rasa telinga ada sakit.”

“Ada keluar nanah? Sebelum ni ada selesema atau demam? Ada pening-pening?”

“Errr… Semua tak pernah. Tapi itu darah pernah keluar la doktor… Aduh! Banyak sakit ma…”


“Sabar ya puan, saya periksa dulu. Nanti saya tengok kalau perlu bersihkan dan bagi ubat.”

Setelah memeriksa menggunakan otoskop, wanita cina tersebut dibawa ke sebuah bilik mikroskop telinga untuk diperiksa dengan lebih lanjut.

“Ehm… Pelik, telinga auntie ni bersih je… Tak ada tanda-tanda trauma, jangkitan atau sebarang ketumbuhan,” Dr Syafiq mula berbisik sendiri.

“Kita pergi balik saya tadi, untuk buat pemeriksaan seterusnya ya puan.”

Wanita Cina itu hanya mengangguk. Akur…

Sedang memeriksa untuk melengkapkan pemeriksaan rutin, Dr Syafiq terus sahaja bertanya soalan. Iyalah, bukan sedikit pesakit yang sedang menunggu giliran di luar. Dirinya harus bijak menggunakan setiap kesempatan agar bukan sahaja perlu memeriksa dengan cepat tetapi juga mendiagnosis dengan tepat, agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.

“Puan tinggal di mana ya?” Dr Syafiq bertanya sambil matanya sempat melirik ke arah payung dan bakul kecil berisi sayur-sayuran di sisi pesakitnya itu.

“Oh, saya duduk taman depan hospital sini saja. Naik basikal doktor. Malang sungguh nasib saya… Huh…” wanita Cina itu melepaskan keluhan, bagaikan ada beban berat yang sedang terpendam. Dr Syafiq terus setia mendengar.

“Anak saya ada dua orang, doktor. Tapi sama macam tak ada anak. Suami sudah lama mati. Saya tinggal seorang, nasib baik ada duit pencen suami, boleh saya hidup juga. Tinggal rumah, tak tahu mahu buat apa.” Air mata seorang wanita itu akhirnya tumpah juga.

Dr Syafiq mengangguk tanda mengerti, memahami luahan perasaan tanda kecewa seorang ibu dan juga yang lebih penting, sebab wanita itu datang ke klinik hari ini.
Nah! Sudah terang lagi bersuluh, dengan gaya wanita Cina itu menerangkan simptom yang dihadapai dengan agak ragu-ragu, keputusan pemeriksaan yang normal dan rasa kesunyian yang diadukan dengan begitu ‘bersungguh-sungguh’.

“MUNCHAUSEN SYNDROME”



Ini bukan kali pertama Dr Syafiq ‘dikunjungi’ pesakit-pesakit yang secara fizikalnya langsung tidak sakit! Tetapi mereka seringkali berkunjung ke hospital dengan pelbagai simptom yang kadang-kadang membingungkan doktor yang merawat. Masakan tidak, dengan semua simptom yang diadukan, hasil pemeriksaan langsung tidak bertemu jawapan bagi diagnosis yang tepat. Semua buntu, malah kadang-kadang tidak kurang juga simptom yang diadukan agak tidak masuk akal.

Tujuannya hanya satu, INGINKAN PERHATIAN… Atas sebab-sebab tertentu seperti kesunyian, mereka akan “berlagak” seperti orang sakit sedangkan hakikatnya mereka adalah normal. Tambah menerukkan keadaan jika mereka mempunyai latar belakang pengajian bidang berkaitan perubatan di mana mereka “berkebolehan berlakon” dengan sempurna sehingga kadang-kadang tubuh mereka terpaksa menjalani prosedur-prosedur yang berisiko untuk mengesan punca sebenar yang “misteri” itu.

Itulah sindrom Munchausen, satu keadaan psikiatrik di mana pesakit akan datang untuk menjalani rawatan bagi penyakit-penyakit yang dicipta sendiri dan tak kurang juga dengan simptom-simptom ciptaan yang sungguh dramatik.

Atas keperluan inilah yang menuntut seorang doktor bukan sehaja perlu merawat fizikal seorang pesakit, tetapi juga mental dan spiritualnya yang mana sering kali diabaikan. Bukan bermakna seseorang itu bukan ahli psikiatrik, dia menafikan kecelaruan mental pesakitnya. Dan tentu sahaja seorang doktor itu tidak perlu memegang “title” ustaz atau ustazah, untuk menenangkan seorang pesakit yang baru didiagnos kanser tahap keempat, supaya redha menerima takdir dan pasti adanya hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Oh ya, tetapi yang pasti, mereka yang datang dengan pelbagai “simptom rekaan” untuk mendapat MC (medical certificate), tidak termasuk dalam kategori di atas!

Untuk rujukan lanjut: http://www.emedicinehealth.com/munchausen_syndrome/article_em.htm

Wednesday, October 6, 2010

nota buat diri: RAHMAT UJIAN


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu



"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
(Al-Ankabut: 2)

"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu."
(Muhammad: 31)

Monday, October 4, 2010

HAKIKAT YANG SEAKAN DILUPAKAN


“Staf nurse, kami pertama kali oncall kat wad ni. Boleh tolong ajarkan kami nak bagi pesakit ubat IV?” seawal 6.50 pagi, saya dan Siti sampai di wad, niat kami datang awal supaya boleh belajar. Takut juga tak sempat habiskan tugas memberi ubat kepada pesakit, kelas akan bermula tepat pukul 8.

“I’ll lock the door at 8 o’clock. No excuse if u’re late even 1 minute!” masih teringang-ngiang lagi ‘amaran’ awal oleh Prof Ahmad semasa briefing session.

“Ehm… nantilah. Banyak kerja ni. Sister ni pun satu, kenapa la tak ajar budak-budak ni semua awal-awal,” reaksi yang diterima memberi petanda yang kurang enak.

Dan akhirnya, kami menunggu hampir 20 minit tanpa berbuat apa-apa, sehinggalah seorang lagi staf nurse yang mungkin agak kasihan melihat kami kebingungan, sudi menghulurkan bantuan mengajar cara menyediakan ubat yang akan diberikan kepada pesakit terus ke dalam darah.

Disebabkan kelewatan memulakan tugas, hanya kira-kira jam 7.30 pagi kami mula memberi ubat-ubat tersebut kepada pesakit. Jam hampir menunjukkan pukul 8 pagi tetapi ada 4 lagi pesakit yang belum diberikan ubat! ‘Mujur’ ada seorang staf nurse yang baik hati menawarkan diri menyambung tugasan kami dan terus saja kami bergegas menuju ke bilik konferens… Tanpa berfikir panjang natijah yang bakal menimpa.

2 missed called” tertera di skrin telefon. Segera saya menelefon kembali kerana doktor yang akan mengajar tidak sampai lagi ketika itu.

“Assalamualaikum…”

“Wa’alaikumussalam. This is a medical student who is oncall today and came to the ward this morning, right?” persoalan yang membuatkan dada ini mula berdegup kencang.

“Yes, I’m speaking.”

Ok, I’m Dr Fuad. How come you and your friend just left the ward without finish your work? You all just wasted all the medication. All had been thrown away because cannot be use anymore.”

“But doctor, we have class at 8 o’clock and one of the staff nurse said that she would continue our job.”

“You know u’ve class at 8 o’clock, so, you need to come to the ward early la!”

“I’m sorry doctor, we already there before 7 o’clock, but the staff nurse said that she is busy and asked us to wait there for about 15 minutes.”

“I don’t want to hear any excuse! You all must come back here after finish your class.”

Tepat jam 10 pagi, usai kelas, kami bergegas semula ke wad dan… sekali lagi menerima hamburan tanpa diberi peluang untuk kami menjelaskan keadaan sebenar.

“Ya Allah, kurniakan kami kekuatan… Insyaallah ada hikmahnya” hanya sebaris kata-kata itu yang mampu memujuk hati tatkala terhiris dengan punca yang entah di mana.

WHAT YOU GIVE, SOMETIMES YOU’LL NOT GET BACK

Kadang-kadang, dirasakan ‘dunia ini tidak adil’. Mengapa orang yang susah berterusan susah dan ada yang diuji lagi dengan pelbagai cabaran hidup? Dan yang zalim dan bersalah, kadang-kadang bersenang lenang tanpa sekelumit rasa resah.

Tak mampu untuk menafikan kata hati… Tatkala merasa telah membuat yang terbaik, berusaha ‘memberi’ dengan ‘senyuman’, namun apa yang mendatang selalunya menggusarkan dan mengecewakan. “Erti hidup pada memberi”, sedaya upaya untuk diperhalusi kata-kata itu setiap kali.

Namun, satu hari, tiba-tiba terasa bagai dipukul apabila ada yang mengingatkan, “Rasulullah SAW adalah kekasih Allah yang dikasihi-Nya. Namun hamparan perjalanan perjuangannya tidak terhias dengan kemewahan, jauh sekali dengan sanjungan semua orang ketika itu. Kata-kata kesat menjadi juadah harian, dipulau… namun tetap tegar berhadapan musuh. Semakin dekat seseorang itu dengan Allah, semakin hebat pula ujian yang mendatang. Itu tanda kasih Allah pada hambaNya, mahu hambanya setiasa tuduk dan untuk mematangkan menjadi yang lebih baik.”

Tanpa disedari, air mata mula membasahi. Insaf dengan khilaf diri.

IN THE MIDDLE OF DIFFICULTIES, LIES OPPORTUNITY

“Ya, manusia acap kali terlupa.” Diri ini cuba , merenung kembali. Disebalik ujian hebat yang diturunkan Allah buat kekasihnya, Rasulullah SAW, dikurnikan kepada baginda teman hidup yang menjadi penyokong setiap masa, para sahabat yang menjadi tunjang kepada perjuangan yang tiada nokhtah dan akhirnya, menjadi pemerintah di tanah kelahiran yang dulu menjadi saksi penentangan hebat terhadap baginda.

Ujian, amanah dan tanggungjawab yang tergalas di bahu hakikatnya tanda Dia tidak lupa kepada kita.

“Sang suria sentiasa ada di celah-celah mendung yang mendatang, dan jika hujan pula turun menimpa, nantikan saja pelangi yang bakal menjelma.”

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (surah Ar-Rahman)

Moga ada ruang untuk diri yang penuh noda ini menggapai kasihNya.

“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang, bantulah untuk kami mengenaliMu, bantulah untuk kami mendekatkan diri kepadaMu, bantulah untuk kami sentiasa mengingatiMu, bantulah untuk kami beramal hanya keranaMu, bantulah untuk kami mencapai cinta dan redhaMu…”

Sunday, August 15, 2010

MANUSIA BERHATI BINATANG!

Mungkin entri kali ini berbaur sedikit emosi. Ya, marah, geram, sedih, pelik, semuanya bercampur! ‘Mood’ menyambut Ramadhan juga turut terkena tempiasnya. Saban hari, kes-kes buang bayi terpampang di dada akhbar dan ‘menghiasi’ paparan berita di televisyen.


Tidak mahu berbicara panjang betapa berhati ‘binatang’nya manusia itu! Bayi comel tanpa sekelumit dosa menerima hukuman kerakusan si ibu (mungkin juga tak selayaknya dipanggil IBU!). Dilempar ke dalam tong sampah, tempat pelupusan sampah, longkang, dan paling menusuk, lubang tandas turut dihumban si kecil itu.


Tatkala ini juga, mulalah ramai yang melatah. Kononnya mencari penyelesaian di sebalik ‘musibah’ yang berlaku. Diri ini cuma mampu tersenyum sinis bila terdengar cadangan “hukuman mati mandatori atau penjara 30 tahun jika sabit kesalahan”, “pembukaan pusat penjagaan bayi tanpa ibu bapa”, “ujian DNA akan dilakukan untuk mengenalpasti individu bertanggungjawab”. Bukan memperlekehkan usaha ini tapi lebih melihatnya akan jadi isu bermusim jika langkah pencegahan sekadar bermain lingkungan ‘menghukum dan menjaga’.

TREAT THE CAUSE

Seorang lelaki separuh abad yang menghidap penyakit darah tinggi sejak 10 tahun lalu, dihantar ke Unit Trauma dan Kecemasan sebuah hospital akibat bahagian kanan kaki dan tangannnya lemah secara tiba-tiba berserta mulut herot, air liur meleleh dan kesukaran untuk menelan. Diagnosis utama, pastinya stroke! Plain CT scan segera dilakukan dan didapati pendarahan dalam otak (hemorrhagic stroke). Dalam perubatan, langkah untuk menguruskan pesakit strok terbahagi 3:

1. Merawat punca (treat the underlying cause)
2. Mengelakkan berlaku strok yang seterusnya (prevent further stroke)
3. Mengelakkan dan merawat komplikasi (prevent and treat complications of stroke)

Dalam kes ini, tekanan darah yang mencecah 200++mmHg merupakan punca berlakunya pendarahan dalam otak. Maka, pesakit diberikan ubat bagi menurunkan tekanan darah (tetapi perlu secara perlahan-lahan dan tidak drastik supaya tidak berlakunya strok akibat kekurangan darah ke otak pula). Kemudian, setelah tekanan darah pesakit kembali stabil, barulah pesakit akan menjalani fisioterapi bagi mengembalikan semula fungsi kaki dan tangan yang lemah secara beransur-ansur. Dalam masa yang sama juga, bahagian yang lemah juga perlu digerakkan dalam selang masa tertentu supaya tidak mendapat luka (pressure sore).

Berbalik kepada isu buang bayi, bukan pula saya katakan hukuman kepada ‘manusia yang berhati binatang’ itu tidak perlu, bahkan cadangan pembukaan pusat jagaan bayi terbuang ini juga satu langkah yang mencerminkan pihak-pihak bertanggungjawab memandang serius isu ini. Cuma, langkah ketiga digembar-gemburkan tetapi bagaimana pula untuk merawat punca dan mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian seperti ini pada masa akan datang?

BERBALIK SEMULA KEPADA ISLAM SEBENAR

Melihat senario yang semakin memualkan ini, pasti ramai turut ligat berfikir, apa puncanya?

Mungkin ini satu peringatan dari Yang Maha Kuasa buat kita semua. Tatkala akal manusia buntu memikirkan punca dan solusi terbaik kepada ‘musibah’ ini, jangan sombong untuk merujuk kepada Yang Maha Menciptakan.

“Dan milik-Nya meliputi segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan kepada-Nyalah (ibadah dan) ketaatan selama-lamanya. Mengapa kamu takut kepada selain Allah? Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan. Kemudian apabila Dia telah menghilangkan bencana dari kamu, malah sebahagian kamu mempersekutukan Tuhan dengan (yang lain), Biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka; bersenang-senanglah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya).”
An-Nahl: 52-55




Betapa kita kini menerima amaran demi amaran. Banjir, tanah runtuh, puting beliung, keruntuhan akhlak remaja… Ada mesej yang perlu direnung.

Solusi berbalik kepada ISLAM bukan retorik atau idealistik. Institusi kekeluargaan dan media massa perlu mengambil peranan. Sistem pendidikan negara seharusnya mampu mencorakkan generasi yang mampu memimpin dan membangunkan ummah.Nah! Akhir sekali… bertemu kepada kuncinya, SISTEM PEMERINTAHAN itu sendiri!