Thursday, May 28, 2009

PSIKONEUROIMMUNOLOGI: Suatu Pembuktian

Ketika itu baru sahaja selesai perbincangan secara berkumpulan dalam sesi PBL (Problem Based Learning), ketika membuat kesimpulan, tiba-tiba Prof Suresh dari Department of Parasitology melontarkan satu persoalan.

“Why some patients had been cured from certain terrible diseases such as cancer spontaneously?”

Kami semua terdiam. No idea…

“There is no specific investigation about this issue but when we as doctors make some statistical analysis, we found that patients who recovered spontaneously from their disease are the patients who faced their condition with positive thinking and always believed that they still have chance.”

Spontaneously? Betul ke?

Seringkali juga saya mendengar bagaimana pesakit yang dijangkakan tiada lagi harapan sembuh,tiba-tiba disahkan oleh doktor bebas daripada penyakit tersebut dan hal tersebut menimbulkan persoalan demi persoalan terutama kepada para doktor. Namun,kita harus ingat,bagaimana penyakit seperti kanser yang rata-ratanya berlaku secara spontan akibat mutasi secara spontan Gen Perencat Tumor (mutation of Tumor Supressor Gene) seperti Retinoblastoma(RB) gene, p53 gene dan lain-lain pada sel-sel organ yang menjadi sasaran. Maka tidak mustahil pula gen-gen tersebut kembali menjadi normal apabila mutasi berhenti secara spontan dan pertumbuhan sel-sel kanser yang tidak terkawal juga berhenti.

Namun, sebagai seorang Muslim yang mempunyai Aqidah, kita wajib mengimani bahawa tiada apa pun yang berlaku ini terjadi dengan sendirinya melainkan dengan izin ALLAH Yang Maha Kuasa. Bahkan secara fitrahnya juga,seorang manuasia yang berfikiran waras pasti mengakui ada satu kuasa yang menyebabkan sesuatu perkara itu terjadi.

Prof Suresh menyambung, “And from that we believe that are connection between emotional, mind`s control, psysiological and pathological process in our body or termed as
PSYCONEUROIMMUNOLOGY.”

Nah,saya tersentak. Sebenarnya saya baru sahaja menghabiskan satu buku terbitan PTS berkenaan PSIKONEUROIMMUNOLOGI hasil kajian seorang doktor daripada Indonesia dalam tesis phDnya.

Psikoneuroimmunologi

Secara ringkasnya,istilah ini mula digunakan pada 1975 oleh Robert Ader and Nicholas Cohen daripada University of Rochester. Mereka menjumpai hubungan antara ransanagn sistem saraf (nervous system) dan sistem pertahanan badan (immunological system).

“Solat tahajud dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan
daripada penyakit”-
riwayat Tarmizi

Dalam satu kajian lain oleh seorang doktor perubatan dari Indonesia,Prof Moh Sholeh. Beliau mengkaji secara khusus dalam aspek solat tahajjud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan(stress) dan immunti dalam badan melalui bilangan sel darah putih. Selepas 3 bulan melakukan solat secara konsisten,immuniti meningkat dan hormon Stress (Cortisol) pula menurun dan rumusan yang dibuat tahajjud mampu merawat barah.

Sepertimana yang kita sedia maklum, Islam sendiri amat menggalakkan solat tahajjud yang dapat memberi kekuatan rohani dan telah dibuktikan mampu memberi kekuatan fizikal. Ketenangan yang didapati daripada melakukan solat tahajjud ternyata mempunyai kelebihan bukan sahaja dalam bentuk spiritual bahkan mampu meningkatkan sistem pertahanan badan.

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk bersolat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu
sedikit”.(
al- Muzammil:1-3)

“Dan, pada sebahagian malam hari, bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji”.(al-Isra`:79)

Tuesday, May 26, 2009

KENAPA MEREKA BERSATU??

“Marni, tengok tu, budak-budak Chinese tengah belajar PE (physical examination) dengan senior diorang. Lepas tu kawan-kawan yang lain boleh je ikut sekali. Kenapa ya nampak mereka ni bersatu, kita yang Muslim sendiri pun tak macam tu?”

“Emm,sebab bangsa diorang sama agaknya.”

Bangsa yang sama? Tapi kalau nak kata mereka bersatu atas title bangsa, bukankah kita juga berbangsa yang sama? Bukan sekadar bangsa,malah sama berdiri di atas satu aqidah yang sama dan sering diajar erti persaudaraan ataupun UKHUWAH.

Tapi mereka,mungkin perkataan ukhuwah pun tak pernah dengar. Mungkin ada tapi setakat ini tak pernah pula saya mendengar salah seorang daripada mereka mengingatkan yang lain supaya bersatu dan saling tolong-menolong. Sedang kita,acap kali isu ukhuwah ditimbulkan baik secara individu mahupun dalam sesebuah organisasi.

Pernah juga saya mendengar, strategi dalam bidang yang memang mereka monopoli di negara ini iaitu dalam berniaga. Mereka akan saling membantu antara satu sama lain, sehingga pemborong boleh menjual barang kepada peniaga yang `sama bangsa dengan mereka` dengan harga yang jauh lebih murah. Sedangkan manusia bergelar Muslim sendiri sanggup melingkupkan perniagaan saudara sendiri dengan pelbagai cara kerana takutkan persaingan.

Bukan niat saya menimbulkan sentimen, tapi sesuatu harus dipelajari dari mereka dalam mencari erti sebenar ukhuwah islamiyyah dan juga dalam kehidupan bermasyarakat.

KENAPA???

Saya sendiri masih tertanya-tanya. Setakat ini pada hemat saya,hal ini mungkin disebabkan oleh mereka terdesak dalam keadaan menjadi golongan MINORITI. Sedang kita pula selalunya hanyut berada dalam ZON SELESA.

Jika kita merenung kembali Sirah Rasulullah S.A.W. dan sejarah kerajaan Islam, bagaimana Rasulullah SAW menyebarkan risalah dalam keadaan ditekan dan senantiasa dihalang. Akhirnya Islam dapat ditegakkan dan terus tersebar. Namun, zaman kegemilangan Islam berakhir ketika itu,semasa zaman kerajaan Turki Uthmaniyyah kerana ramai yang meninggalkan ajaran Islam sebenar dan berasa dalam keadaan ZON SELESA.

Nah,betapa besar harga yang perlu dibayar dek title ZON SELESA.

Lihat juga bagaimana Saidina Umar al-Khattab,menjaga dirinya daripada berada dalam ZON SELESA, istiqamah dengan sifat zuhudnya waima setelah beliau menguasai Parsi dan Rom. Dikisahkan juga ketika detik Islam berjaya menguasai kembali Baitulmaqdis, Saidina Umar al-Khattab bergilir-gilir dengan pembantunya berjalan kaki untuk ke sana dan pakaian beliau pula tidak menggambarkan pakaian yang layak dipakai oleh seorang khalifah yang telah menguasai sepertiga dunia.

Justeru, BANGKITLAH!!
Bukan saya, awak atau mereka, tapi KITA yang akan kembali kepada ajaran Islam sebenar…..

Thursday, May 21, 2009

UKURAN KEFAHAMAN

Penat baru balik dari menjadi AJK sebuah program berbentuk kem belum lagi hilang. Tambahan lagi terpaksa berkemas-kemas barang di kolej dan jadual elektif di makmal serta klinik pula sangat padat. Tapi tentunya ada `buah tangan` berharga yang menjadi bekalan sepeninggalan saya daripada program itu.

Rata-rata komen yang diterima dalam penilaian kepada peserta terutama daripada bidang perubatan dan pergigian adalah "kurang thaqafah(ilmu)" yang semestinya merujuk kepada pemahaman peserta dalam erti kata dalam memberi hujah mahupun dalil.


Saya sendiri ada pengalaman berdiri di atas kerusi dalam satu program dek gagal memberi hujah berdasarkan dalil naqli(dalil daripada al-quran atau hadith).

Persoalannya,"Adakah kefahaman seseorang itu hanya didasari oleh sebanyak mana hujah yang boleh dilontarkan tatkala diasak dengan pertanyaan dan provokasi?"
Benar,saya tidak menolak keperluan dan kepentingannya namun acap kali praktikaliti itu dipandang enteng berbanding teoritikal.
"Bukankah itu namanya bersikap ekslusif?"

"Bukankah ilmu agama itu wajib bagi setiap orang yang bergelar muslim?"

Antara sedar atau tidak kita sebenarnya telah meletakkan kayu ukur seseorang itu dengan pandangan zahir kita sendiri. Itu belum dikira aspek penampilan yang seringkali juga menjadi topik hangat perbincangan dan dalam sesi luahan rasa.



Adakah kita lupa,Khalid al-Walid atau dikenali juga sebagai "sword of ALLAH", merupakan seorang panglima tentera yang hebat semasa zaman Rasulullah dan para sahabat sehingga Rom dan Parsi berjaya ditawan. Namun,beliau bukanlah seorang yang terkenal dalam meriwayatkan hadith walaupun beliau antara sahabat yang rapat dengan Rasulullah. Beliau adalah salah seorang sahabat hasil tarbiyyah Rasulullah yang juga contoh bagaimana dengan asas keimanan yang kukuh,beliau memaksimumkan kelebihannya yang dari kecil sememangnya dilahirkan sebagai seorang pahlawan,demi kemenangan Islam tercinta.

Begitulah, Allah menetapkan keupayaan,kelebihan, dan keistimewaan manusia berbeza-beza. Namun,yang paling penting bagaimana setiap posisi itu dioptimumkan peranannya dengan kefahaman yang jelas demi Islam tercinta.

Teori yang mudah,namun praktikalnya .......

Friday, May 8, 2009

pesona "SALJU SAKINAH"

"Kadangkala terasa mahu menyumpah seranah, malah sesekali terdetik juga kesal lantaran terlanjur menjalin tautan hati dan mengimpikan hari bahagia. Tetapi dia lekas sedar,itu karat mazmumah yang masih bersarang di jiwa. Sebagai seorang muslimah,dia wajib yakin,segala-galanya sudah ditentukan Allah. Dan hanya dengan mencintai Tuhan tidak akan ada sebarang penyesalan."

*******************************************

Sehari suntuk saya tekun `menelaah` novel yang baru dibeli.Mungkin kerana latar tempatnya Jordan dan Batu Pahat,tempat desa halaman saya yang sudah lama tak menjenguk,membuatkan lebih teruja selain garapan kisah yang sungguh menarik.

Jika Indonesia laris dengan garapan Habiburrahman Al-Shirazy, novel Ayat2 Cintanya yang mencetuskan fenomena, kita juga tak kalah dengan penangan karya Zaid Akhtar ini. Alahamdulillah,berbaloi rasanya,sengaja tidak mahu terus membeli walau sudah jatuh hati pandang pertama.Bukan apa,gusar kalau-kalau tersalah beli,bukan sedikit novel ala-ala islamik tetapi hanya persoalan cinta semata.

Bukan niat nak bercerita lebih mengenai petikan monolog `watak utama` cerita ini yang saya sengaja coretkan di atas. Cuma ada sesuatu yang lebih besar dan menarik dapat dicedok dari nukilan ini. Ketabahan Sumayyah menghadapi ranjau yang tidak pernah luput dalam diari kehidupannya membuatkan saya seolah-olah terpukul lantaran mudahnya tersungkur saat menghadapi ujian dari-Nya.Keakraban persahabatan juga sebenarnya sesuatu yang amat berharga.Bukankah ukhuwah itu indah jika terjalin kerana Allah?

Antara yang merangkul tarikan saya yang turut dinukilkan adalah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Hakim,
"Barangsiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah,maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia.Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakan (taqwa),maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya."

Akhir bicara,dalam meneruskan pelayaran dalam bahtera kehidupan ni,seringkali kita dirempuh badai yang melanda.Namun disebalik hujan yang menggusarkan,ada pelangi yang indah.Hanya kepada-Nya sepenuh pengharapan dan pergantungan.

Ya Allah Ya Muqit,Ya Allah Yang Maha Pemberi Kekuatan,kurniakanlah kami kekuatan...

Thursday, May 7, 2009

KU DAMBAKAN KASIHMU~

Hati ini merintih hiba
Acap kali pabila mengenangkanmu
Daku sebak
Sukar dimengertikan dengan bait kata
Walau daku tak pernah ketemu denganmu
Jiwa ini makin cinta kepadamu
Ya RASULULLAH….

Engkau junjungan mulia utusan Yang Esa
Ketabahanmu memancarkan sinar Islam
Cintamu kepada umat ini tak tergambar
Liku-liku kehidupan dirimu tempuh dengan tegar
Waima ranjau berduri terhambur
Dirimu hadapi tanpa sekelumit resah
Gema perjuangan teguh dipalu

Tidak luput dari kotak benakku
Kisah tatkala dirimu tika ajal datang menjemput
Begitu gusar dirimu
Mengenangkan nasib umatmu tercinta
“Ummati,Ummati,Ummati”
Kasih kepada umatmu
Persis seluas lautan dirimu hamparkan
Namun bagai setitis embun daku balaskan

Sungguh
Rinduku padamu sudah tidak tertahan
Namun ku malu melantunkan cintaku padamu
Dek alpanya diri ini beramal dengan sunnahmu
Dek jahilnya menyulusuri sirahmu
Kerna lesunya diri ini menjulang panji kebenaran yang diwariskan
Gusar diriku
Apakah punya ruang bertemu denganmu di akhirat kelak
Sedang diriku lemas terpalit noda dan dosa
Ya ALLAH
Izinkan daku bertemu kekasih Mu di syurga abadi…..

Atikah_mujahidah
10 april 09