Sunday, May 16, 2010

Menghirup hikmah di dunia kanak-kanak

Alhamdulillah, akhirnya! Setelah lebih dua bulan tidak mencoretkan sesuatu di sini. Banyak yang hendak dinukilkan, tapi apabila menghadap laptop di tengah malam setelah seharian berhempas pulas di dunia kanak-kanak, lain pula jadinya. Tanpa minta izin kepada pemilik diri, mata terus mengambil peranan badan yang meronta minta berehat seketika. Akhirnya, terpaksa merelakan coretan-coretan itu bermain dalam mimpi sahaja.



BERBALIK KEPADA YANG ASAS

Terlalu banyak yang saya belajar semasa berpencak di ‘alam kanak-kanak’ kali ini tapi bukan sedikit rakan-rakan yang menjadi trauma dengan badi paediatrics. ‘Cover bed’, ‘ward-round’, tutorial, ‘visit’, ‘presentation’ etc… Segalanya perlu sentiasa bersedia… Hingga makan dan tidur menjadi agenda keempat, lima atau mungkin keenam… Waktu petang dan hujung minggu pula hampir semuanya penuh dengan ‘meeting’ dan program. Hinggakan satu ketika, rasa tak tertahan dan hampir sahaja putus asa menguasai diri, mujur iman masih ada untuk mengingatkan,

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
(Az-Zariyat: 56)


Saat ini juga saya merasakan tak hairanlah jika ada kes doktor memarahi pesakit tatkala emosi tidak stabil lantaran kepenatan yang tak tertahan. Namun, hanya satu yang menjadi benteng, dengan niat apa kita melakukan semua ini. Jika wang, pangkat dan galmor yang dikejar, habuan penat pasti membawa kepada tindakan luar kawal.

Tetapi jika niat dipasakkan, “Dengan jalan inilah, aku mahu mencari redha-Nya, juga membawa sinar harapan buat hamba-hambanya yang lain”, insyaallah, sebaris kata-kata “ERTI HIDUP PADA MEMBERI” itu akan jadi sangat berbekas dalam melahirkan tindakan.

Ya, kuncinya NIAT yang betul dalam tindakan.

NIKMAT TEKANAN

Tatkala ini juga, saya merenung, manusia seringkali beralasan dan berkeluh kesah apabila dihimpit tugasan yang banyak lagi menyesakkan. Rahsia apakah pula yang membuatkan Rasulullah SAW cemerlang sebagai rasul ikutan umat, sebagai pemimpin negara, panglima perang, seorang suami dan bapa?

“Tanggungjawab melebihi masa yang kita ada”- As-Syahid Hassan Al-Banna

Ternyata, bukan dengan duduk bersenang-lenang, kecemerlangan itu dapat digapai dan amanah itu dapat ditunaikan. Semua itu memerlukan PENGORBANAN dan tentunya pengorbanan hanya datang apabila adanya TEKANAN.



Dengan tekanan, masa 5 minit itu akan dirasakan amat berharga. Buktinya, semasa musim peperiksaan, berapa ramai yang sanggup bersengkang mata atau langsung tidak tidur gara-gara buku belum habis dibaca? Makan minum juga mampu ditolak tepi.

Hakikatnya tekanan ibarat pedang, mampu berubah peranan mengikut si pemakainya. Ia mampu mengubah, daripada malas kepada rajin; daripada membuang masa kepada menghargai masa; dan daripada gagal kepada cemerlang! Tapi, hati-hati… Pedang juga mampu membunuh tuannya sendiri. Tak sedikit juga kecundang dek tekanan. Pokoknya, uruslah tekanan itu dengan baik, jangan biar tekanan yang mengurus diri anda!

p/s: Walaupun dengan tekanan-tekanan yang kadang-kadang agak 'memeritkan' untuk mencari hikmahnya semasa posting ini, insyaallah 'cinta' saya masih di sini.
Dr Shanti:"Atikah, continue your aim to become paediatrician."
>>Kata-kata peransang daripada 'my inspiring lecturer' sebelum berakhirnya posting Paediatrics yang memekarkan lagi cita-cita diri ini.

1 comment:

  1. Go on my dear...B one of the most glittering stars in yr Ibu's heart..I'll reserve some of the doa 4 u always..:)

    ReplyDelete