Friday, June 18, 2010

[Coretan dunia perubatan]: BANGKIT DARI DOSA SEMALAM

Malam ini dia on-call lagi. Empat on-call dalam seminggu ternyata amat memenatkan. Jasadnya meronta-ronta minta direhatkan. Kadang-kadang digagahkan juga hatinya untuk memujuk, supaya dapat menyesuaikan diri dengan dengan rutin kerja barunya itu.

Sedang mengelamun, tiba-tiba suara staff nurse Aliza mengejutkannya, “Dr Syafiah, ni ada seorang patient baru masuk, bed 15.”

“Oh, ok. Sekejap lagi saya jumpa dia,” lemah sahaja dia membalas.

Langkah diatur ke katil nombor 15.


“Assalamualaikum, pak cik. Saya Dr Syafiah, nak tanya tentang sakit pak cik ni.”

Seorang lelaki Melayu pertengahan abad hanya mengangguk.

Dr Syafiah membaca keterangan mengenai pesakit itu yang ditulis oleh doktor di bahagian trauma dan kecemasan.

“Hm… Pak cik ada sakit kaki dah seminggu ya. Tadi masa di bawah ada buat pemeriksaan, kemungkinan injap jantung pak cik ada jangkitan, yang mungkin juga jadi punca sakit kaki pak cik. Tapi kami masih perlu buat pemeriksaan lanjut. Sebelum ni, pak cik ada buat apa-apa pembedahan jantung untuk tukar injap ke?”

“Tak pernah pula. Ini kali pertama pak cik ke hospital, tak tahan sangat dah sakit kaki ni.”

Dr Syafiah agak hairan. Setahunya, jangkitan kuman pada injap jantung (infective endocarditis) biasanya pada pesakit yang pernah menjalankan pembedahan bagi menggantikan injap jantung sedia ada kepada injap jantung buatan (prosthetic valve), mempunyai masalah jantung sejak kecil (congenital heart disease) atau atas sebab-sebab lain, yang memerlukan dia sebagai doktor untuk bertanya lebih lanjut.

“Pak cik, saya nak tanya sikit. Pak cik pernah cucuk diri sendiri tak?” Dr Syafiah cuba bertanya dengan berhikmah, sama ada pesakit tadi pernah mengambil dadah (intravenous drug user, IVDU). Baginya, walaupun menjadi rutinnya sebagai doktor, bertanya tentang perkara penting yang dirasakan perlu dan kebiasaannya pesakit juga tanpa ragu akan menjawab sejujur mungkin, waima dalam perkara yang amat peribadi, sensitiviti pesakit juga perlu dihormati. Ya, baginya doktor perlu bijak, mengimbangi profesional dalam tindakan di samping menjaga sensitiviti pesakit.

“Adalah dulu, doktor. Masa zaman muda-muda dulu. Semua benda pun saya cuba. Tapi saya ambil kejap je, lepas kahwin saya tak ambil dah,” jujur sahaja lelaki ini menjawab walaupun kepada orang yang baru dikenalinya beberapa minit yang lalu. Semuanya dek percaya kepada sosok tubuh di depannya yang memakai kot putih itu.

“Hm… Bukan itu je doktor, masa dulu-dulu, beer pun saya minum. Tapi kadang-kadang la, bila ada function. Mula-mula tak mahu juga, tapi lepas ramai kawan-kawan ajak, saya ikut je.”
Dr Syafiah hanya mampu mengangguk. Dia tak dapat menipu, walaupun sebagai doktor dia tidak boleh ada sebarang prasangka kepada pesakit, ada sedikit kesal dan kecewa dalam hatinya, apabila mengetahui kisah saudara seaqidahnya ini.

Tiba-tiba matanya tertancap ke arah bahagian lengan kiri pak cik itu. “Pak cik, tatu ni bila pak cik buat ya?
“Oh, yang ni. Masa dalam penjara dulu.”

Dahi Dr Syafiah mula berkerut. “Dalam penjara? Kenapa pak cik masuk penjara? Boleh buat tatu pula, pak cik?”

“Haha! Doktor jangan tak tahu, kat dalam penjara ni semua ada. Jangan kata nak buat benda ni, nak dadah, rokok, semua boleh dapat. Caranya pandai-pandailah. Kenapa masuk? Sebab saya pukul orang, dah kereta dia langgar saya, tapi tak nak bertanggungjawab pulak. Apa lagi, geramlah saya!”

Hampir terlopong Dr Syafiah mendengar pengakuan itu. “Ah, macam tu apa ertinya kerajaan habiskan wang berjuta-juta ringgit setahun untuk biaya kos penjara kalau kesalahan-kesalahan itu masih bebas dilakukan?” Dr Syafiah berbisik sendiri. “Hm…keluarga pak cik tak datang sekali?”

“Mana pak cik ada keluarga, pak cik tinggal seorang. Pak cik dah bercerai 20 tahun dulu. Anak-anak tinggal dengan bekas isteri pak cik, tapi Alhamdulillah ada juga sesekali mereka lawat pak cik di rumah.”

“ALLAHUAKBAR… ALLAHUAKBAR…” Kedengaran azan Isya’ berkumandang dari masjid berhampiran.

“Maaf ye doktor, dah habis tanya ke? Pak cik ingat nak solat dulu.”

“Oh, dah pak cik. Pak cik tahu surau kat mana?”

“Ada pak cik nampak kat tepi pintu depan tu tadi. Tapi kalau ramai orang, solat kat tepi katil ni pun boleh. Islam tu mudah kan doktor?”

Dr Syafiah membalas dengan senyuman. Pertama kali kiranya ada pesakit yang meminta izin mahu bersolat sebaik mendengar seruan menghadap Sang Pencipta . Alhamdulillah, hatinya melafazkan syukur yang tak terhingga. Terubat juga penatnya hari itu.

Dia mula merenung, “Argh, manusia kerap kali menunding jari ke arah orang lain, cepat menghukum itu ini. Tapi siapa tahu, orang yang dulu hidupnya penuh dengan selut kejahilan mampu berubah, malah mungkin lebih baik daripada orang yang pernah memperlekehnya. Tiada siapa yang tak pernah lakukan kesilapan, tapi apabila datang hidayah mengetuk hati, terpulang pada diri sama ada tegar mahu memilih jalan yang membawa kepada redha Yang Maha Penyayang atau sebaliknya.”

Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh
rugi orang yang mengotorinya.
(Asy-Syams: 8-10)


Dia juga belajar sesuatu, sebagai doktor, penting baginya tidak menafikan kemungkinan untuk berubah itu. Walau siapa pun yang datang, hatta terlalu banyak kesilapan yang pernah mereka lakukan, siapa dirinya untuk menghukum. Mungkin dengan memberi rawatan terbaik akan membawa sinar harapan masa depan yang lebih cerah. Moga- moga mereka akan terbuka hati untuk lebih menghargai kehidupan dengan memilih jalan yang lebih baik kelak.

No comments:

Post a Comment