Masih terkesan dengan penangan buah tangan novelis terkenal, Habiburrahman El-Shirazy, saya membawa persoalan yang dikupas halus dalam “BUMI CINTA”. Novel ini berlatar belakangkan Rusia, negara indah yang mengamalkan konsep kebebasan tanpa sempadan. Kisah-kisah yang dihidangkan juga cuba mengungkap erti KEBEBASAN sebenar, seterusnya menjadi tarikan untuk mematangkan pemikiran.
Sebelum terus menilai dengan pandangan hati dan akal, beberapa persoalan saya utarakan menjadi mukaddimah perbincangan kami petang itu.
“Apa erti kebebasan sebenarnya?”
“Ehm… Maksudnya kita bebas melakukan sesuatu. Tak ada sekatan,” ada yang cuba-cuba menjawab.
“Maksudnya kita ni tak bebas la ye?”
“Kenapa pulak akak?”
“Iyelah, akak ambil contoh kita sebagai Muslim. Kita kena pakai tudung, jaga pergaulan, solat, puasa… Kalau kita bebas, maksudnya ikut suka hati kitalah nak buat apa pun. Ha, bukan sikit orang kat luar sana yang mempertikaikan. Pakai tudung panaslah, bukankah lebih bebas namanya kalau buat apa yang kita rasa selesa? Mahkota yang Tuhan cipta untuk diperagakan. Peraturan-peraturan agama yang ada dicipta untuk mengongkong kebebasan!”
Nauzubillah…
“Er… tak boleh la cakap macam tu. Tapi em… macam mana ye pasal tu?” ada sedikit keraguan dan resah bila apa yang menjadi pegangan selama ini mula dipersoalkan.
BUMI CINTA: MENUTURKAN HAKIKAT KEBEBASAN
Kembara Muhammad Ayyas ke Rusia ternyata bukan sekadar melengkapkan keperluan menyiapkan tesisnya. Walaupun mendapat pendidikan di Madinah sebelum itu, ternyata pemuda ini tetap tidak dapat lari daripada fitrah yang menjadi ujian dirinya. Pesona wanita-wanita yang mewarisi kecantikan Tsarina Rusia hampir saja menggoyahkan iman yang selama ini cuba dijaga serapi mungkin.
“Hai orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh),
maka berteguh-hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebnyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar” (Al-Anfal: 45-46)
Selain kisah mujahadah Ayyas berhadapan “musuh-musuh” imannya, keindahan dan sejarah Rusia yang dinukilkan membuatkan siapa yang membacanya seolah-olah larut dalam permandangan musim sejuk yang indah. Kisah kekejaman dan keganasan pada zaman Lenin dan Stalin juga mampu membuatkan jiwa tersentap. Selain itu, pengkisahan Sabra dan Shatila turut diterjemah dalam erti kata sebuah kehidupan dan perjuangan.
Di sebalik segala konflik yang berlaku, pertikaian dan pencarian erti kebebasan di awal cerita telah berjaya dirungkaikan pada pengakhirannya.
Ayyas yang terpaksa berjuang menghadapi segala cabaran-cabaran “kebebasan” yang di bumi Rusia…
Devid yang pada awalnya merupakan pelajar hebat semasa di SMP dan SMA Indonesia, akhirnya hanyut ditelan arus “kebebasan” di Rusia...
Yelena, seorang pelacur kelas atasan di Moskow yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, yang kononnya bahagia di sebalik perhatian dan kecantikan yang menjadi kebanggaan, akhirnya terpaksa mengakui dirinya ralit dalam dunia yang penuh dengan “kebebasan” itu…
Linor, wanita cantik tetapi penuh dingin, yang menjadi agen Zionis, akhirnya terpaksa mencari dan memilih “kebebasan” yang dulunya dipandang sinis setelah mengetahui kisah perit asal-usulnya…
Ternyata, hamparan KEBEBASAN itu menuntut setiap manusia untuk mencari hakikatnya, namun terpulanglah pada hati, akal dan nafsu masing-masing untuk MEMILIH.
“Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar,juga dipersilakan.”
(Al-Kahf: 29)
“maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”
(Asy-Syams: 8-10)
Tiada paksaan, terpulanglah untuk membuat PILIHAN.
ERTI KEBEBASAN DALAM BERTUHAN
Apabila seseorang itu mengakui dan menjiwai sepenuhnya hakikat ‘ubudiyyah (perhambaan diri) dalam jiwa, maka hakikatnya dialah “hamba yang paling BEBAS DAN MERDEKA.”
Masakan tidak, jika seluruh kehidupan diserahkan dengan pengabdian kepada Yang Maha Menciptakan, tiada suatu pun di dunia ini mampu menundukkannya. Dia hamba Allah yang merdeka daripada kezaliman pemikiran atau perlakuan mana-mana manusia, juga merdeka deripada belenggu nafsu, pangkat, kemewahan harta dan sifat-sifat mazmumah yang membinasakan.
Segala ketetapan dalam Islam itu bukan satu sekatan bahkan merupakan jalan kepada hakikat kebebasan sebenar. Tiada satu pun syariatullah atau sunnatullah yang digariskan bersalahan dengan fitrah seorang insan.
Solat sebagai tanda pengabdian diri seorang hamba misalnya, berperanan mewariskan ketaqwaan setiap kali jika dilakukan dengan penuh khusyu’ dan penangannya turut dijamin mampu mencegah maksiat.
“Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”Hikmah solat yang turut dibongkar sains juga tidak perlu diperdebatkan lagi. Hasil kajian membuktikan bahawa sujud mampu membantu pengaliran darah dalam otak dan mengelakkan penyakit Tibi, solat jemaah mampu menyeimbangkan cas-cas dalam tubuh dan bermacam-macam lagi.
SETIAP AMALAN ADALAH DENGAN NIAT
“Jadi, macam mana dengan pakai tudung tu tadi? Kenapa cakap orang pakai tudung tu orang yang bebas?” Amira cuba berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan pada awal tadi.
“Ehm… Amal rasa macam ni. Cuba kita tengok balik kenapa orang tu tak pakai tudung? Mesti sebab dia rasa lebih selesa, dan gembira bila buat macam tu.”
“Tapi at last, cuba tengok apa yang terjadi hari ni. Adakah dia masih rasa selesa bila saban hari kes rogol banyak dilaporkan dalam surat khabar? Apakah dia gembira bila setiap inci tubuh dia dijamah lelaki yang bukan muhrim? Dan sebanarnya itu menampakkan harga diri yang rendah,” agak sinis tetapi tembakan yang masih mengena.
Maka, dalam setiap perkara yang dilakukan yang kononnya mahu merealisasikan hasrat kebebasan diri, cuba tanya kembali, apakah TUJUAN yang mahu dicapai? Adakah kerana mahu gembira, selamat, atau bahagia? Dan seterusnya, tanyakan diri kembali, adakah tujuan itu BENAR-BENAR telah dicapai setelah melakukan perkara tersebut.
Jika ya, TAHNIAH, “mungkin” erti kebebasan sebenar itu telah ditemui!
Selamat merenung dan mencari HAKIKAT KEBEBASAN DAN KEMERDEKAAN SEBENAR…
No comments:
Post a Comment