Saturday, October 3, 2015

CORETAN UMMI

Alhamdulillah... Allahuakbar...

Lama sungguh saya tinggalkan laman ini. Post terakhir ketika masih dalam cuti bersalin selepas melahirkan Insyirah Faqehah, dan sekarang Insyirah dah berumur 3 tahun dan dah ada seorang lagi adik Muhammad yang soleh. Allah... Cepat betul masa berlalu! Niat nak kembali menulis sentiasa ada. Sebetulnya password blog ini saya dah terlupa. Kali ini cuma mencuba-cuba. Banyak coretan di kepala sekadar terluah di Facebook. Namun di sini auranya berbeza, lebih bebas menulis perasaannya. Cubaan menukilkan sesuatu dalam bentuk buku pernah diusahakan. Entah baru habis 2 bab, tergendala pula. Doakan, doakan. Niat saya ingin dedikasikan sesuatu buat ummah, buat kehidupan. Sebagai perkongsian kisah seorang yang telah "berhijrah", seorang pelajar perubatan yang kenal Islam di kampus, dan seorang doktor Muslimah juga seorang isteri dan ummi... Andai kata tak terjual sekalipun, warkah itu ingin saya simpan buat tatapan anak-anak saya satu masa kelak.

Semalam Alhamdulillah berpeluang ke sebuah majlis ilmu, usai menemankan suami ke UPSI untuk berbincang mengenai proposal phDnya. Banyak sangat catatan ilmu yang dapat daripada murabbi kesayangan suami itu. Antara yang masih berbekas peringatannya, betapa Rasulullah saw insan sempurna dan paling berakhlak mulia, namun tetap menerima ujian menghadapi tentangan dari luar dan dalam dalam menyebarkan Islam. Jadi ujian-ujian dalam perjuangan itu lumrah bagi setiap pejuang.

Beransur pulang seusai liqo' malam semalam, suami memberitahu niatnya mahu bertemu seketika murabbi tersebut yang banyak mempengaruhi hidupnya. Saya sangat rasa bersyukur dan beruntung dapat nasihat-nasihat berguna secara langsung darinya. Antara pesanannya, rumahtangga yang terlibat dalam perjuangan Islam itu satu nikmat kurniaan Allah. Namun pasti ada ujian yang Allah datangkan, seperti Rasulullah saw kekasih Allah tetap menerima ujian yang besar. Mesti sentiasa sabar dan banyakkan berdoa. Sebagai isteri pejuang pula perlu menjadi perisai serta tulang belakang buat suami yang berjuang dilapangan dakwah.

Hakikatnya seorang wanita iti sangat beruntung kerana selain kewajipan yang digariskan iaitu solat, puasa dan mentaati suami, selainnya adalah ibadah. Jaga anak ibadah, masak untuk keluarga ibadah, basuh baju ibadah, buat air untuk suami juga ibadah (Subhanallah... muhasabah untuk diri sendiri). Bila suami keluar berjuanfisteriambil peranan suami di rumah. Bila suami balik, jadikan rumah sebagai tempat yang menenangkan dan merehatkan. Ustaz juga berpesan, biasa isteri terlepas cakap dan terlepas berbuat sesuatu sebab itu cuma untuk meluahkan, jadi suami perlu sabar. Ustaz juga sempat mendoakan Muhammad supaya sihat dan menjadi anak soleh dan berilmu (kebetulan Muhammad mula demam semalam...). Pesanan lain yang penting adalah perlu sentiasa doakan yang baik-baik buat anak sebab doa ibu bapa doa yang makbul. Jika mahu anak soleh dan solehah, ibu bapa perlu jadi soleh serta solehah dahulu.

Alhamdulillah banyak ibrah yang dapat. Suami sendiri menyatakan kagumnya pada semangat juang ustaz yang berseorangan memandu dari Melaka ke Perak untuk menyampaikan ilmu dan kemudian terus balik ke Melaka semula. Contoh yang memberi semangat buat kami generasi muda yang perlu lebih gigih berjuang dan istiqamah.

"Ya Allah... istiqamahkan kami serta zuriat keturunan kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu."

Allah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami,
Al-Qur'an pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi.

Tuesday, October 9, 2012

BUAT ANAKKU SAYANG...


“Allah… Allah… Allah…,” hanya kalimah itu yang mampu dilafazkan saat contraction pain datang semakin kerap. Syukur suami tersayang setia menunggu di sisi, setiap kali sakit itu datang, tangannya digenggam erat-erat, “Sabar sayang, ingat Allah, banyakkan zikir. Insyaallah dengan setiap kesakitan Allah gugurkan dosa-dosa dan datangkan pahala.”

Tak hairanlah kalau sebelum ini semasa menunggu saat menyambut baby ketika Obstectric posting, pelbagai reaksi ibu-ibu yang sedang bertarung nyawa, ada yang menjerit, menangis dan ada juga yang cuba menahan sambil dahi berkerut-kerut. Subhnallah, tak pernah sakit seperti itu dirasakan.


Namun hati ini sentiasa berbisik, “Be strong Atikah! Insyallah seorang mujahidah pejuang Islam akan lahir. Ummi mujahidah kena kuat!” Alhamdulillah, berkat doa dan redha suami tersayang serta ibu ayah dan semua yang sentiasa mendoakan, sakit yang dirasakan tidak lama berbanding kebiasaan melahirkan anak pertama dan proses melahirkan juga dipermudahkan Allah.

Tanggal 23 Ogos 2012 bersamaan 5 Syawal 1433Hijrah, hari Khamis, pada jam 3.17 pagi…

“Uwek, uwek, uwek…,” kedengaran seorang bayi comel melafazkan syukur saat dilahirkan ke bumi.

“Alhamdulillah…,” air mata syukur si ibu jatuh mengiringi.


…dan hari ini, Alhamdulillah, cahaya mata penyejuk hati ummi dan abi sudah 48 hari bergelar khalifah di muka bumi…


Khas buat anak ummi, Insyirah Faqehah binti Mohd Hafez…

Ahlan Wasahlan anakku sayang,
Insyirah Faqehah…
Kegembiraan dan kecerdikan…
Semoga maksud indah yang terukir disebalik nama itu cerminan dirimu
Berkat surah al-Insyirah dalam kalamullah yang menjadi penguat hati
“Selepas kesusahan pasti ada kesenangan…”
Moga dirimu terus tegar dalam mengharungi arus kehidupan kelak…
Moga dirimu terus sabar menempuh ujian jalan dakwah suatu hari nanti…

Anakku sayang,
Ingat janjimu dulu dihadapan Allah Yang Maha Esa ketika di alam roh,
Tunaikan amanah khalifah di muka bumi yang telah dipateri,
Bukan pangkat, harta kekayaan dan pujian manusia yang dikejar,
Tapi redha Allah yang paling utama…

Anak solehahku sayang,
Jadikan Al-Quran sebagai panduan,
Surah Luqman yang ummi perdengarkan sejak di alam roh dulu
Jadikan nasihat-nasihat didalamnya sebagai pedoman…

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
…(surah Luqman:13-19)

 Anakku mujahidah sayang,

Jangan pernah lelah di jalan dakwah,
Jangan pernah gentar di medan perjuangan,
Hadirkan ikhlas dalam dirimu tatkala memikul amanah,
Jalan ini tidak dihampar karpet merah
Penuh liku pengorbanan dan cabaran
Namun usah gusar
Selagi redha Allah matlamat utama
Manisnya berjuang akan sentiasa terasa
Dan pengakhirannya hanyalah di akhirat sana…
“mengharungi samudera kehidupan
kita ibarat para pengembara
hidup ini adalah perjuangan
tiada masa untuk berpangku tangan
setiap titis peluh dan darah
tak akan sirna ditelan masa
segores luka di jalan Allah
kan menjadi saksi pengorbanan…”
Tanpa rasa penat jemu, teruskan perjuangan mujahidahku…



Walaupun Insyirah masih seorang bayi saat kalam ini dinukil, semoga nasihat yang penuh harapan ini menjadi doa buat anak solehah bakal mujahidah pejuang Islam ini, Insyaallah… Insyaallah abi dan ummi akan berusaha yang terbaik untuk mendidik Insyirah… Sebagaimana Sultan Murad optimis anakandanya Sultan Muhammad al-Fateh adalah bakal pembuka Kota Konstantinopal sejak kecil lagi, abi dan ummi juga optimis anak solehah abi ummi akan menjadi tokoh pejuang Islam masa depan, Ameen…

Friday, June 22, 2012

MARI MENGEMBARA!

Subhanallah, sedar tak sedar rupa-rupanya sudah hampir 3 bulan saya menjadi suri rumah sepenuh masa di teratak Baitul Haraki ini. Menganggur atau yang lebih popular “tanam anggur”? Oh, tentu tidak! Kalau menganggur bunyinya seperti waktu yang ada hanya berlalu tanpa diisi. Bila dirisik-risik teman-teman yang lain, ada yang menjadi baby sitter, ada yang memasak sampai tercari-cari menu baru untuk dicuba, tak kurang juga ada yang study buka balik buku-buku medic(bakal houseman cemerlang ni!). Saya pula? Alhamdulillah, fitrah wanita dan amanah sebagai isteri saya terisi dengan kerja-kerja rumah, hati menjadi tenang bila rumah teratur kemas, pakaian tersusun rapi dan makanan siap dihidang. Mungkin ini yang dikatakan walau sehebat mana pun seorang wanita itu di luar, fitrahnya tetap bersama amanah di rumah.

Ketiadaan televisyen di teratak ini juga memberi kelebihan pada saya untuk tidak “marathon” cerita-cerita dan drama yang mampu membuatkan seseorang bertapa di depannya dari pagi hingga ke malam. Satu nikmat yang perlu sangat-sangat disyukuri bila dikelilingi buku-buku yang seperti sentiasa memanggil dan meronta-ronta untuk dihadam. Beberapa bulan sebelum final exam sebelum ini terlalu mencengkam waktunya hingga payah untuk mencuri-curi masa untuk membaca buku non-medical. Jadi, masa yang ada sekarang ini tentunya sangat perlu untuk “memanfaatkan sebaik mungkin waktu yang ada”! Buku-buku yang telah disusun mengikut tema dan bahagiannya masing-masing hanya menunggu untuk ditelaah daripada sirah, ulum Quran dan hadith, haraki, tarbiyyah, fiqh, dakwah hinggalah ilmu baitul muslim, motivasi dan koleksi resepi. Sungguh, terasa kerdilnya diri dengan ilmu di dada yang setitis cuma…

"Mini library" di teratak Baitul Haraki

Walaupun mungkin tidak tercapai tahap seperti ilmuwan-ilmuwan suatu ketika dahulu yang mampu menguasai pelbagai cabang ilmu, pastinya saya tidak mahu membataskan diri dengan hanya ilmu perubatan yang terisi di dada. Selain ilmu-ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari sebagai seorang Muslim, sekalipun tidak sampai tahap membahaskan ilmu-ilmu tersebut, saya optimis untuk meneroka sekurang-kurangnya asas dalam cabang-cabang ilmu lain. Ilmu itu cahaya. Tanpanya, layaklah seorang manusia itu digelar “jahil”. Kepentingannya juga amat dituntut Islam dalam melahirkan umat bertaqwa yang kompeten. Jika tidak, masakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW berkisar tentangnya:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq: 1-5) 

TEGUH DAN AMANAH DALAM PENCARIAN ILMU

Antara koleksi buku-buku yang tersusun di rak perpustakaan mini teratak Baitul Haraki saya dan suami, saya amat terkesan dengan sebuah nukilan berkenaan Imam Syafie. Buku yang bertajuk “Kisah Imam Syafie Dalam Pencarian Ilmu” walaupun tidaklah dihurai secara lengkap dan teliti kesemua kembara ilmu beliau sepanjang hayatnya, namun perjalanan hidup yang dipaparkan mampu menerangkan bagaimana perihal pembentukan hidup Imam Syafie, pengasas mazhab Syafie yang menjadi ikutan umat Islam sehingga masa kini. 

Sejak kecil lagi Imam Syafie mempunyai impian dan cita-cita untuk mempelajari ilmu agama hinggakan belum pun mencapai usia 14 tahun, beliau telah meminta izin daripada ibunya untuk mengembara dalam mencari ilmu. Ibu Imam Syafie merupakan seorang ibu tunggal yang telah lanjut usia dan Imam Syafie merupakan satu-satunya anak yang dimiliki. Setelah menyampaikan hajatnya, Imam Syafie sedar raut wajah ibunya berubah seolah-olah ada kekusutan yang bertandang.

Lalu berkatalah si anak, “Ibu sayang, kalau keinginan saya untuk pergi ini membuatkan ibu berasa risau, saya akan menarik kembali hajat ini, dan akan berpuas hati dengan apa saja ilmu yang akan dapat saya belajar dari kawasan tempatan. Jadi saya dapat berada di sisi ibu dan sentiasa menghambakan diri kepada ibu.”

Tiba-tiba air mata mula menitis dari kelopak mata si ibu. “Tidak anakku, bukanlah itu maksudku. Sebenarnya apa yang engkau minta adalah jawapan kepada impianku dan doaku selama ini terhadapmu. Ibu sentiasa berjaga malam, memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada anak kesayangan ibu kemahuan untuk belajar tentang Rasulullah SAW, supaya Dia kurniakan kepadamu keinginan menuntut ilmu yang akan menerangi jalan makhlukNya. Cuma, yang merisaukan ibu, ibu tidak ada apa-apa untuk diberikan kepadamu sebagai bekal. Tiada apa di rumah ini dapat ibu berikan untuk memenuhi keperluan perjalananmu.”

Tetapi ternyata wanita itu mempunyai ketegasan dan kekuatan dalamam yang amat tinggi. “Baik anakku, janganlah dirimu takut. Allah SWT akan membekalkan kepadamu dengan secukup bekalan dan akan sentiasa memenuhi keperluanmu. Pergilah anakku, ibu menyerahkanmu kepada pemeliharaan Allah SWT. Ibu yakin Dia tidak akan mensia-siakan dirimu.”

Subhanallah, betapa besar pengorbanan si ibu, sebesar cita-citanya yang menginginkan si anak menjadi seorang yang berilmu. Lalu bergeraklah Imam Syafie dengan hanya berbekalkan semangat menuntut ilmu yang tinggi bersama redha ibu tercinta.

Ternyata, perjalanan ilmu yang ikhlas itu suatu yang berkat. Perjalanan Imam Syafie dipermudahkan Allah SWT apabila seorang tua sudi untuk menumpangkannya dari Mekah ke Madinah. Dan di Madinah Imam Syafie menuntut ilmu daripada Imam Malik dan selepas beberapa bulan beliau meneruskan kembara ilmunya ke Iraq, Iran dan Baghdad serta berguru dengan ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ yang terkenal.

KEKURANGAN BUKANLAH ALASAN

Antara kisah yang terkenal dalam kembara beliau, ketika pertama kali di Madinah, Imam Syafie yang ketika itu berada di Masjid Nabawi telah mendengar pengajaran hadith oleh Imam Malik. Secara diam-diam Imam Syafie duduk di satu sudut lalu mengambil seutas rami dan setiap kali Imam Malik meriwayatkan hadith, Imam Syafie akan membasahkan rami itu dengan mulutnya lalu menulisnya di atas tapak tangan kiri. Setelah sesi pengajaran itu tamat, Imam Malik yang telah memperhatikannya memanggil Imam Syafie.

Berkatalah Imam Malik, ”Kamu seperti orang baik, tetapi ada satu kelakuanmu yang pada saya kurang baik untuk dilakukan. Semasa saya meriwayatkan hadith Rasulullah SAW, kamu terus bermain dengan rami dan tidak mendengar dengan penuh hormat.”

Lalu dengan hormat dan rendah diri Imam Syafie menerangkan, ”Saya bukanlah bermain-main. Sebenarnya saya telah menggunakan rami itu untuk menulis di atas tangan saya supaya saya dapat menghafal apa yang telah diajar. Saya tidak ada apa-apa alat untuk menulis dan dakwat, jadi saya telah membasahkan rami itu dengan mulut saya dan selepas menulis ia pun kering dan tiada apa yang dapat dibaca lagi. Alhamdulillah saya telah dapat menghafal kesemua hadith-hadith tadi.”

Hal ini telah memeranjatkan Imam Malik, maka Imam Malik meminta Imam Syafie mengulangi hadith-hadith yang diajarkannya tadi dan ternyata beliau telah menghafal kesemuanya!

Sepanjang kembara ilmunya, Imam Syafie telah ditawarkan dengan pelbagai jawatan-jawatan penting dan harta kekayaan, namun segalanya ditolak agar fokusnya untuk menuntut ilmu tidak lari. Sehinggalah ketika beliau kembali semula ke Madinah untuk bertemu gurunya, Imam Malik yang dikasihinya. Imam Malik yang ketika itu dilimpahi rezeki hadiah daripada anak muridnya serata dunia, menghadiahkan Imam Syafie pelbagai “buah tangan” mewah, daripada kuda-kuda Khurasan, keldai-keldai Mesir, pakaian-pakaian berharga, makanan-makanan sehinggalah kepada beg-beg yang dipenuhi wang ringgit.

KASIH MENUJU AKHIRAT: PERANAN IBU DALAM MENDIDIK ILMUWAN HEBAT

Setibanya di Mekah dengan perasaan yang terlalu rindu kepada ibu tercinta yang telah ditinggalkan selama bertahun-tahun, Imam Syafie lantas mendapatkan si ibu yang telah berusia. Orang ramai yang berkerumun kelihatan sungguh gembira namun insan yang dirindui ternyata tiada senyuman pun terlukis. Apabila ditanya, berkatalah si ibu, “Apakah dirimu masih ingat anakku, apabila engkau meninggalkan ibu, ibu tidak membekalkan apa-apa kecuali dua pakaian Yaman yang ibu berikan kerana semangatmu untuk menuntut ilmu. Dan ibu tetap menghantar kamu walaupun engkau adalah satu-satunya anakku dengan harapan engkau mengkayakan dirimu dengan pelajaran hadith Rasulullah SAW. Apakah engkau fikir ibu menghantarmu untuk kekayaan dunia? Apakah yang engkau bawa balik ini adalah untuk menunjuk-nunjuk kekayaanmu dan merendahkan sepupu-sepupumu?”

Imam Syafie tergamam. “Betapa zuhudmu pada harta kekayaan dunia dan betapa dalamnya penghormatan ibu kepada ilmu agama, betapa kepercayaanmu tiada hadnya kepada Allah SWT.” Lantas dengan izin ibunya, Imam Syafie menyedekahkan kesemua harta yang diperolehi beliau sehingga tidak berbaki waima satu dinar!

Berkatalah si ibu, “Sekarang ini, anakku, kamu akan memasuki teratak burukmu itu dengan keadaan sama seperti kamu meninggalkannya dahulu. Tetapi kini di sana akan ada satu cahaya yang mana belum pernah menyinari teratak itu sebelum ini. Anakku tersayang, Allah SWT telah pun memberi cahaya kepadamu dengan cahaya ilmu dan ibu tidak mahu cahaya itu nanti akan menjadi gelap gelita disebabkan oleh tarikan dan godaan kecantikan dunia yang sekejap ini.” 

KESUNGGUHAN, AKHLAK DAN PENDORONG


Menyantuni kisah Imam Syafie tadi, semahunya saya ingin jadikan sebagai penguat dan pembakar semangat untuk diri ini agar tetap tegar menuntut ilmu dengan penuh KESUNGGUHAN hingga akhir hayat. Title “Dr” dan MBBS yang dicapai bukanlah pengakhiran kembara ilmu diri ini, bahkan insyaallah amanah untuk terus kompeten dalam lapangan perubatan akan saya pegang sehingga menjadi seorang doktor pakar muslimah yang terus berkhidmat untuk perjuangan Islam dan ummah hingga akhir hayat. Dan tentunya selain ilmu perubatan, ilmu-ilmu lain perlu dilengkapkan sebagai pakej menjadi seorang Muslim yang bertaqwa.

Ikhlas, merendah diri dan zuhud merupakan pengajaran penting dalam cerminan AKHLAK seorang penuntut ilmu yang sebenar. Pangkat dan harta acap kali menyebabkan perjalanan ilmu yang sepatutnya menuju matlamat akhirat itu tersasar. Hanya kepada Allah SWT tempat memohon agar ditetapkan hati serta sentiasa meredhai kembara kehidupan ini.

“Barang siapa mengkehendaki keuntungan akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa mengkehendaki keuntungan dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (Asy-Syura: 20)

…Satu hari semasa minum petang di dapur, suami saya tiba-tiba meluahkan sesuatu, “Tadi dalam kereta semasa dalam perjalanan balik ke rumah abang terfikir berat sebenarnya amanah nak didik anak ni. Apa yang ibu ayah cakap semua doa. Dari dalam perut lagi sebenarnya anak ni dah dididik. Kalau kita ni buat maksiat, banyak buat benda lagho (sia-sia), ibadah pun biasa-biasa, layak ke nak pasang impian nak lahirkan tokoh pejuang Islam masa depan?”

Saya terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu tertunduk malu menginsafi diri…

Benar, besar peranan seorang bonda untuk menjadi PENDORONG dalam melahirkan insan-insan yang hebat, di mata masyarakat dan yang paling penting hebat sebagai mukmin bertaqwa pada pandangan Allah SWT. Semoga Allah memberikan kekuatan dan jalan untuk diri ini menjadi ibu solehah yang sentiasa dapat mendidik zuriat yang dilahirkan agar menjadi insan bertaqwa dan mujahid mujahidah yang tegar berjuang untuk Islam, insyaallah.

Sungguh, kembara ilmu itu tidak akan pernah berhenti, menuju akhirat destinasi abadi…

“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habis (dituliskan) kalimat-kalimat Allah (ilmuNya dan hikmahNya). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Luqman: 27)

Mari mengembara ilmu!!! 

Monday, May 7, 2012

ISTERI SEORANG PEJUANG

Hari ini seharian saya keseorangan lagi. Kerja-kerja rumah sudah dibereskan pada waktu pagi hingga tengah hari tadi. Petang pula mencari ruang membaca isu-isu terkini. Pada waktu malam seperti ini jika keluarga lain, mungkin si suami dan isteri sedang menikmati makan malam atau sudah pun sama-sama berehat sambil menonton televisyen. Namun itu bukan rutin bagi isteri seorang pejuang. Suami yang pulang tidak tentu masa bukanlah sebab untuk menjadi gundah gulana bahkan itulah nikmat yang perlu disyukuri! Sungguh...

Jadual suami yang sangat padat terutama masa-masa kritikal dengan pilihanraya yang semakin hampir, mengajar saya erti mujahadah. Hari bekerja dan hujung minggu sentiasa penuh dengan tugasan di pejabat, pengisian tamrin, kuliah di masjid, muktamar, konvensyen, mesyuarat dan pelbagai lagi. Walaupun sebelum ini 5 bulan lebih kami PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan saya berjihad di medan ilmu di Universiti Malaya KL manakala suami berdakwah di lapangan ummah di Ipoh, Perak, masa saya di rumah kini setelah tamat pengajian bukanlah masa “bermanja-manja”. Honeymoon kami pula adalah kenangan bersama ke tempat-tempat program tarbiyyah, mengemas teratak Baitul Haraki kami dan yang terbaru ke BERSIH 3.0.

Kenangan semasa BERSIH 3.0 tempoh hari. Terima kasih buat suami tercinta yang setia bersama, walaupun hanya mampu berlari-lari anak ketika terkena tear gas kerana membawa bersama mujahid kecil kita:)

Ini bukan rungutan, bukan juga luahan hati yang memberontak. Bahkan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk pengorbanan yang dibuat, terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan kisah-kisah hebat keluarga tokoh-tokoh pejuang Islam. Tapi inilah catatan permulaan kepada perjalanan baitul haraki yang sedang kami bina, moga ada keberkatan dengan setiap mujahadah walaupun mungkin terlalu kecil nilainya.

SAIDATINA KHADIJAH R.A. MODEL ISTERI TERBAIK

Sesungguhnya diri ini insan biasa. Kadang-kadang terselit juga rasa sebak dan cemburu melihat mereka yang lain mampu sentiasa menghabiskan masa bersama-sama. Namun, cepat-cepat perasaan itu ditepis. “Perjuangan tidak dihampar karpet merah!”, itu kata-kata keramat yang bukan asing lagi. Saya juga cepat-cepat menginsafi diri, betapa diri ini mahu menjadi seperti serikandi unggul role-model sepanjang zaman, Saidatina Khadijah RA, pendamping setia kepada perjalanan perjuangan Rasulullah SAW.

Masakan tidak, beliau bukan calang-calang manusia. Berasal daripada keturunan terpilih yang dihormati, kompetensinya dalam bidang perniagaan juga tak perlu dipertikaikan. Di sebalik sosok tubuh yang hebat, wanita ini sentiasa setia bersama suami tercinta. Liku-liku kesusahan perjuangan di awal penyebaran Islam terlalu dasyat tetapi semua ditempuh hingga ke titisan darah terakhir. Bahkan di akhir hayatnya Saidatina Khadijah berpesan agar digunakan tulang-belulangnya sebagai jambatan untuk perjuangan Islam. Subhanallah! Sampai begitu sekali manifestasi jihad Saidatina Khadijah dalam menyokong perjuangan suami tercinta.

BUKU “PERSEMBAHAN CINTA ISTERI HASAN AL- BANNA” 

Tertulis di muka surat pertama buku comel ini, Nur Atikah binti Razali: 6/8/2011. Puas saya mencarinya sebelum ini, hatta di pesta buku, jawapan yang diterima, “Maaf dik, buku tu habis stok.” Alhamdulillah setelah berbulan-bulan menanti, berjaya juga saya memilikinya lebih kurang sebulan sebelum bergelar seorang isteri. Melihat tajuknya saja, pasti sesiapa yang mahu menjadi isteri kepada seorang pejuang hebat meronta-ronta mahu membacanya (barangkali termasuk juga seorang pejuang yang mahu beristerikan seorang mujahidah yang setia mendokong perjuangannya).

Imam Hasan al-Banna adalah tokoh besar dalam gerakan dakwah. “Disebalik ketokohan seorang lelaki pasti ada wanita hebat disampingnya.” Benar sungguh kata-kata ini. Walaupun namanya kurang menjadi sebutan umum, ternyata sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Ustazah Lathifah, isteri kepada Imam Hasan al-Banna, tidak kurang hebatnya. Oleh sebab tugasan dakwah yang terlalu menghimpit masa yang ada, Imam Hasan al-Banna jarang-jarang berada di rumah. Namun urusan rumahtangga dan tangungjawab mendidik anak-anak ditampung oleh si isteri yang begitu memahami. Tetamu yang kerap kali bertandang ke rumah atas urusan dakwah juga diraikan sebaik mungkin.

Teringat saya sebuah hadith Rasulullah SAW, ”Bila seorang perempuan telah mengerjakan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadhan dan memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka kelak dikatakan kepadanya: masuklah dari pintu syurga mana saja yang engkau inginkan.”

JALAN DAKWAH BAITUL HARAKI KAMI

Satu pagi saya tiba-tiba mengidam roti canai, kebetulan cuti umum, jadi suami mengajak bersarapan saja di sebuah restoran berdekatan. Tanpa dijangka, waktu yang diluangkan pagi itu menjadi sungguh berharga. Masakan tidak, roti canai menjadi pembuka bicara untuk sesi muhasabah dan brain-storming masa depan baitul haraki kami.

Alhamdulillah resolusi kepada sesi hampir dua jam ini kami sepakat sama-sama beriltizam untuk istiqamah di jalan dakwah ini dan saling mendokong aspirasi perjuangan masing-masing. Saya meredhai dan sangat menyokong misi besar suami saya yang mahu komited dalam medan politik dengan jalan tarbawi. Saya pula insyaallah bercita-cita menjadi doktor pakar yang kompeten dengan lapangan dakwah ummah yang lebih fokus kepada bidang kesihatan, wanita dan keluarga (boleh saya bawa bersama mujahid mujahidah kecil kami ke tempat program nanti ^_^).

Ini aspirasi perjuangan kami yang sesungguhnya hanya menuju satu matlamat abadi, mencapai redha ALLAH SWT. Saya amat percaya, sunnatullah menentukan kejayaan tidak tercipta dalam satu hari, bahkan memerlukan usaha gigih berterusan, dan garis permulaannya adalah dengan sebuah IMPIAN.

Ketika menyelak sebuah buku haraki tulisan seorang pimpinan muslimat gerakan di Indonesia, beliau menukilkan “Pertama, ketika seorang isteri harus memutuskan untuk meninggalkan rumah kerana panggilan dakwah di luar rumah, maka keputusan ke luar rumah itu adalah pilihan hasil keputusan suami dan isteri. Semua akibat atas keluarnya isteri kerana urusan dakwah akan ditanggung dan diuruskan secara bersama. Kedua, ketika seorang perempuan keluar rumah, hendaknya dia tidak melupakan tugas utamanya sebagai isteri dan ibu. Di manapun kedudukan sosial politiknya, dia adalah seorang perempuan yang harus menjaga kehormatan diri dan martabat keperempuanannya.”

Semoga berhasil sinergi baitul haraki kami dalam membuahkan redha Ilahi…

Monday, April 9, 2012

MEREKA ANUGERAH TERINDAH DALAM HIDUPKU

ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH. ALLAHUAKBAR! Syukur ya ALLAH yang Maha Mengurniakan nikmat kejayaan buat hamba yang kerdil ini. Sungguh, tiada daya dan usaha melainkan dengan sandaran doa dan tawakal hanya kepadaMU, wahai Tuhan sekalian alam.



Alhamdulillah, titisan air mata penuh kesyukuran bergenang di kolam mata. Insyaallah diri ini bakal memikul amanah untuk berkhidmat di lapangan ummah sebagai seorang doktor dalam masa lebih kurang dua bulan lagi. Terima kasih ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui betapa nikmat ini disyukuri setelah mujahadah dalam berdepan dengan tarbiyyah daripada-Mu. Syukur juga ya Allah kerana mengurniakan insan-insan hebat berdampingan dengan diri ini.



Sepenuh penghargaan buat suami tersayang, Mohd Hafez bin Sabri, terima kasih atas segalanya. Alhamdulillah 7 April lepas juga genap 6 bulan diri ini bergelar seorang isteri kepada seorang pejuang. Segalanya menjadi memori indah yang sentiasa terpahat di hati; semangat yang dirimu lontarkan tatkala diri ini berdepan ujian, sokongan yang tak berbelah bahagi untuk diri ini terus berjihad di lapangan ilmu serta nasihat untuk terus kuat menggalas amanah-amanah yang terbentang. Walaupun sibuk dengan tugasan dan amanah yang menghimpit, jarak Ipoh-KL tak membataskan dirimu untuk saban minggu “menziarahi” diri ini yang tahap kesihatan sangat tak menentu. Terima kasih sayang… Insyaallah diri ini akan berusaha yang terbaik untuk menjadi isteri solehah dan serikandi yang bersama-sama dalam perjuangan.



Penghargaan yang tak terhingga juga buat ibu dan ayah yang membesarkan dan mendidik diri ini sejak kecil. Alhamdulillah hasrat ibu dan ayah untuk melihat along bergelar doktor tercapai. Ibu ayah yang setia mendengar rintihan dan memberikan sokongan tatkala diri bergelut dalam jihad di medan ilmu. Sejak di bangku sekolah lagi, mungkin along bukan seperti yang lain yang dikurniakan Allah kecerdasan luar biasa, namun Alhamdulillah, dengan berkat usaha dan berkat doa ibu ayah yang tak pernah putus, Allah permudahkan urusan dan kurniakan kejayaan. Terima kasih ibu ayah… Insyaallah diri ini akan berusaha yang terbaik untuk menjadi anak solehah dan aset buat kalian di akhirat kelak.

Terima kasih juga buat mak dan abah di Ipoh, Perak atas doa dan restu serta memahami diri ini. Juga buat adik-adik yang seramai 19 orang ^_^ Insyaallah kalian juga bakal melakar kejayaan-kejayaan buat Islam, keluarga dan ummah. Tak lupa juga buat saudara mara yang membantu dan mendoakan, terima kasih…

Buat guru-guru yang mendidik diri ini sejak kecil; di Pasti An-Nur Felda Besaut, Taski Al-Huda, SK Pintas Puding, SMK Tun Ismail serta para pensyarah di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Terlalu ramai untuk ditulis nama satu persatu namun insyaallah jasa kalian sentiasa terpahat di ingatan dan doa. Terima kasih cikgu, teacher, doktor dan prof… Doakan anak didikmu ini istiqamah dan ikhlas dalam menuntut ilmu serta akan terus melakar kecemerlangan dalam jihad di medan ilmu.

Seterusnya terima kasih tak terhingga khusus buat sahabat-sahabat seperjuangan di bumi Universiti Malaya yang memberikan sokongan, berkongsi ilmu dan nasihat. Untuk sahabat-sahabat study group yang sentiasa bersama terutama fasa-fasa genting bila kesihatan diri teruji, semoga kita akan bertemu lagi nanti sebagai pakar-pakar perubatan, insyaallah… Juga buat adik-adik usrah yang sentiasa mendoakan dan memberikan sokongan, terima kasih banyak, semoga ukhuwah yang terjalin kerana Allah ini berkekalan hingga ke syurga-Nya… Penghargaan juga buat seorang sahabat istimewa yang terjalinnya ukhuwah sejak di SMKTI, Kak Nazura, terima kasih atas sokongan dan doa. Maaf mungkin jarak dan kepadatan jadual membataskan perhubungan, namun insyaallah dirimu sentiasa dalam ingatan…

Last but not least, buat mujahid kecil yang masih belum melihat dunia, setia menanti di alam rahim untuk memikul amanah menjadi khalifah yang hakikatnya amat besar. Alhamdulillah, dengan kehadiranmu, ummi makin mengerti erti mujahadah. Walau ujian kesihatan datang tatkala ummi berdepan dengan final exam lepas dirasakan amat berat, namun ummi sedar amanah untuk mendidikmu menjadi hamba Allah yang bertaqwa, anak soleh dan mujahid pejuang Islam satu hari nanti, jauh lebih berat. Terima kasih kerana “menemankan” ummi menjadi wakil abi untuk study dan sama-sama berdepan final exam. Ahlan wasahlan mujahid kecilku ^_^ Semoga kehadiranmu membawa berkat serta menyuburkan lagi mawaddah dan rahmat buat bait haraki ummi dan abi, amen…

Wednesday, October 5, 2011

melangkah ke FASA BARU KEHIDUPAN...

HUH! Dah berbulan rupa-rupanya tak mencoret sesuatu… Sebenarnya macam banyak yang nak diluahkan terutama bila melalui posting psychiatric yang sangat “exciting” tapi entah, mungkin dek desakan perkara-perkara lain yang lebih menghimpit, butir-butir kata sekadar berlegar dalam kepala (Alasan??? Hm….). But “better late than never”=)

Teringat lagi dulu, beberapa hari sebelum diri ni bergelar pelajar perubatan, tiba-tiba termenung sendiri, cuba mencari sebab kenapa jalan ni yang dipilih? Sebab ayah suruh? Sebab dah dapat 4 flat? Atau sebab nak dipandang tinggi? Oh, Alhamdulillah, bukan sebab-sebab ini yang dipegang dari awal, kalau tak, mungkin saya akan jadi salah seorang yang mengeluh sekarang, “Kenapa aku pilih nak jadi doktor dulu?” Alhamdulillah, prinsip yang ditanam pada awal supaya meletakkan Allah di hadapan dan kejayaan akhirat sebagai destinasi abadi, menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Teringat juga cerita seorang doktor, tentang kepentingan meletakkan “the ultimate goal”. Kalau tujuan sekadar mahu bergelar doktor, selepas bergraduasi, apa pula matlamatnya? Kalau menjadikan doktor pakar itu sebagai matlamat utama, setelah bergelar konsultan dan gaji pula sehingga 6 angka, apa pula yang ingin dicapai dalam hidup? Yup! Kalau DUNIA yang diletakkan di hadapan, takkan ada kepuasan dengan apa yang dicapai, sebab pengakhiran yang terlalu objektif. Selepas mencapai segala yang digariskan, adakah hidup akan menjadi tak bererti? Atau sekadar menunggu mati? Atau akan menjadi sentiasa tak puas dalam segala apa yang dikecapi, membuatkan sentiasa ada yang diinginkan oleh hati?

Itu kisah dulu-dulu…

Insyaallah dalam beberapa hari lagi, satu lagi fasa baru dalam hidup ini akan bermula. Bukan sedikit yang mempersoalkan… Tak kurang juga amanah-amanah yang semakin menuntut supaya lebih fokus… Ada juga “kehilangan” yang masih lagi menimbulkan persoalan…

Tapi, Alhamdulillah, “the ultimate goal” atau “end of mind” itulah yang menjadi akar kekuatan, dan semestinya kali ini DIA mengajar sesuatu, supaya lebih berdikari!



Bukan SEKADAR mahu mengukir bahagia dunia,
Bukan SEKADAR mahu melengkapkan putaran hidup seorang manusia,
Bukan SEKADAR mengikut arus mereka,
Bukan SEKADAR perlu menjadi seorang pendamping setia,
Insyaallah ini jalan juang seorang HAMBA menuju redha-NYA

Walau apa pun yang menanti di hadapan, BERUSAHALAH memberikan yang TERBAIK.

BE STROGER, NEVER GIVE-UP AND STRIVE FOR EXCELLENCE!!!
For the sake of ummah~

p/s: Rata-rata pesakit psikiatrik yang menghadapi tekanan (Major Depressive Disorder, Adjustment Disorder) adalah kerana ketidakupayaan untuk berdepan dengan masalah, tekanan atau cabaran yang datang... So, learn to express yourself, your feeling and your thinking (should be in a appropriate way lah)... And this is my way ^_^

Sunday, June 12, 2011

ITULAH KEKUATAN!

“Well done Atikah. Good presentation! But in order to get distinction, you need to improve your knowledge, Ok?” komen Prof Aisyah, seorang breast surgeon yang juga lecturer, mengajar semasa Surgery posting ward-round sebelum ini.

“Insyaallah Prof.”

Oh, distinction?! Sebelum ni kalau ada yang mendengar istilah “distinction”, pasti akan terdetik dalam hati, “Tak payah distinction, lulus exam pun dah kira kena bersyukur sangat-sangat dalam medic ni.”


Ya, saya bukan seorang pelajar genius dan bukan orang yang dikurniakan daya ingatan yang cukup kuat, yang tentunya menjadi “nilai tambah berharga” bila menjadi seorang pelajar perubatan. Tetapi ALLAH mahukan saya menjadi seorang yang perlu berusaha sungguh-sungguh untuk saya mengecap kejayaan itu seperti yang lain. Tak kurang juga mind-set target LULUS itu jugalah yang menjadi mind-set selama ini, namun jika dapat keputusan yang lebih baik, itu satu lagi nikmat yang wajib disyukuri.

Tetapi kata-kata tadi benar-benar membuatkan satu semangat luar biasa muncul. Tugasan untuk surgery posting, exam yang semakin hamper, jadual yang penuh dengan program, “ujian-ujian kehidupan” yang selalu saja membuatkan saya hampir tersungkur dan berputus asa, saat ini, SAYA BENAR-BENAR PERLUKAN SATU MOMENTUM BARU! Alhamdulillah, terima kasih Allah…

Sampai di bilik, saya capai sehelai kertas kecil dan diatasnya saya coretkan kata-kata yang menjadi salah satu “kekuatan” untuk saya berusaha dengan lebih tekun: “Good presentation, but u need to improve ur knowledge- Prof Aisyah, 25th May 11 > GO ATIKAH, STRIVE FOR EXCELLENT!!”.

Dan malam itu juga saya nekad belajar kesemua mengenai “breast cancer”!

Itu salah satu kisah “motivasi” saya. Kata-kata peransang daripada Dr Shanti, my paediatric lecturer semasa posting di Klang, saya kepilkan bersama nota paediatric… Motivasi Prof Fatimah yang “mempelawa” saya menyertai team paediatric endocrinologist satu hari nanti, saya sematkan dalam diri supaya terus istiqamah berusaha mengejar cita-cita.

POSITIVE REINFORCEMENT!

Hati manusia akan terusik bila disentuh secara kasar atau secara lembut. Namun, yang mana lebih meninggalkan kesan dan yang lebih berkekalan penangannya, itulah apa yang dikatakan HIKMAH.

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik…”
(An-Nahl:16)
Dakwah juga perlu dilakukan secara hikmah. Antara memaksa orang yang tidak memakai tudung dan mengatakan dia berdosa, menghadiahkan dirinya sehelai tudung atau pun membawa hatinya mengenali Islam terlebih dulu, itu juga adalah seni dalam berdakwah. Tak ada siapa dapat menilai yang manakah cara terbaik, setiap orang ada cara tersendiri untuk diketuk hatinya.

"Motivasi" daripada seorang pesakit semasa paediatric posting!
Tapi, bukankah fitrah manusia itu lebih senang dengan penghargaan dan kebaikan? Akal yang sihat akan menterjemah hikmah atas setiap yang berlaku. Namun, emosi bakal mengambil alih bila diri ditekan atau bahasa mudahnya, “kena marah”! Akibatnya, dengan perasaan sedih, geram, takut, marah dan mungkin juga ingin memberontak, akhirnya tindakan yang dilahirkan bukan daripada kesedaran hati.

Ramai ibu bapa memilih untuk mendidik anaknya dengan alasan “pengajaran” ini. Tak hairanlah bila membelek surat khabar, kes dera anak selalu menjadi tatapan. Mendidik anak untuk solat misalnya. Daripada memilih untuk menceritakan azab neraka yang dasyat membakar, mungkin lebih molek kalau dikisahkan dulu nikmat syurga yang siapa mendengar pasti menyimpan cita untuk ke sana?

MEMBERI DAN MENCARI

Tak dinafikan, kadang-kadang kesabaran diuji, ego diri tercabar, hati pula resah menanti di mana hasilnya. Namun, itulah erti pada memberi. Tak rugi untuk terus “memberi” motivasi and kata-kata semangat. Mungkin dengan kata-kata sejangkal cuma, pujian itu tak berharga buat diri kita, tetapi bakal mengubah masa depan orang yang mendengarnya.

Namun, andai diri merasa tidak selalu dikunjung si “positive reinforcement” itu, tak adil untuk terus menunding jari kepada mereka yang lain. Hidup ini tidak sempit, teruskan “mencari” sesuatu yang akan menjadikan diri maju ke hadapan. Kalam Allah juga tak pernah mengecewakan memberi motivasi terbaik. Carilah kekuatan diri yang akan menjadi kepercayaan untuk terus melangkah!

Sunday, May 8, 2011

HEBATNYA DIA BUKAN SEKADAR PADA PANDANGAN MATA...

“Along, jangan minum ais tu, batuk lagi nanti.”

“Sikit je ibu, dah lama dah along tak minum air sejuk. Sikit je ye, please ibu.”

Dan selang beberapa hari kemudian… “Ha tu la, kan ibu dah cakap jangan minum ais, along tu tak tahan. Tengok sekarang dah batuk, cakap ibu tak nak dengar. Nanti susah nafas pulak.”

Rasa bersalah dan menyesal mula menyelubungi anak itu. Kalaulah dari awal dia mendengar kata ibu. Tapi ini bukan pertama kali. Setiap kali simptom asma itu datang, dia bernekad, no more cold water, no more ice-cream. Tapi, bak kata orang Melayu, taubat sambal belacan! Masa pedas, oh, inilah kali terakhir aku menjamah sambal belacan, tapi esoknya disambarnya lagi dek terliur dengan penangan makanan tradisi itu.

Batuk makin hari makin teruk. Tiba-tiba ibu datang bersama satu cawan air berwarna kekuningan, “Nah, minum air serai ni along. Ibu dah reneh lama tadi. Minum perlahan-lahan, panas tu.”

Itu kisah dulu-dulu…

Sekarang pula, jalan cerita agak berbeza tapi pengakhirannya masih sama. Kadang-
kadang sebabnya adalah kerana perubahan cuaca yang terlampau panas atau dek seharian berkurung kesejukan dalam operation theater.

“Ibu, along batuk lagi. Tadi masa tutorial terpaksa keluar banyak kali sebab tak tahan. Ibu doakan ya. Kesian kawan-kawan along, along batuk tak berhenti, takut yang lain rasa terganggu pula. Masa ward-round pun batuk teruk jugak.”

“Pergilah klinik dulu along.”

“Tak sempat ibu. Kelas penuh. Nak keluar tak ada transport. Tapi kalau tak baik-baik lagi insyaallah nanti along try.”

Maka, tiap-tiap hari ibu akan telefon atau sekurang-kurangnya sms, ”Along, batuk dah baik?"

Kasih seorang ibu… Ada satu masa, ibu datang jauh dari Johor ke UM, semata-mata untuk menghantar air serai, madu dan lemon. Selepas jumpa beberapa minit, ibu bertolak balik semula ke Johor. Air serai ubat batuk tradisional yang dikongsi khasiatnya oleh jiran kami yang berbangsa Cina lebih 10 tahun dulu. Walaupun masih tak dapat mencari “evidence-based medicine” tentang khasiat air serai dan tak ada tersenarai dalam senarai ubat yang dipelajari, hingga sekarang air itu masih menjadi “gold standard treatment” untuk batuk anak itu.

Thanks ibu, for being such a great mum!

CINTA TANPA SYARAT

Paediatrics posting yang sudah sebulan berlalu juga meyakinkan saya, ternyata manusia yang bergelar ibu ini mempunyai kekuatan dan pesona tersendiri. Rata-rata pesakit kanak-kanak bersama ibu mereka di sisi. Tak kurang juga yang ambil cuti dalam tempoh yang lama malah ada yang berhenti kerja untuk menjaga anak yang sakit.

Kenangan paediatrics posting: Hadiah daripada seorang pesakit. Thanks adik =)

Tapi betullah kata orang juga, ibu mampu membesarkan dan menjaga ramai anak, tapi anak-anak yang ramai itu belum tentu dapat menjaga ibu yang seorang. Wad geriatrik (untuk pesakit warga emas) membuktikan tak ramai ibu bertemankan si anak.

Kasih seorang ibu… Bila ditanya rata-rata menyatakan,”Tak apalah, anak-anak mak cik semua kerja, mak cik tak nak susahkan mereka.” Nilai memberi mereka tak pernah mengharap untuk menerima.

MELAHIRKAN GENERASI HEBAT

Teringat satu kidah dalam satu talk yang disampaikan oleh Syeikh Tawfique Chawdhury. Siapa tak kenal dengan Imam al-Bukhari, periwayat hadith yang sungguh mahsyur. Diceritakan sebenarnya beliau buta semenjak lahir. Alhamdulillah, dengan berkat doa ibunya yang tak putus-putus, beliau dapat melihat ketika berumur 16 tahun. Dan bila ditanya bilakah masanya beliau paling banyak menghafal hadith, rupanya-rupanya, sebanyak 500 000 hadith dihafal ketika beliau masih buta.

Tapi, macam mana pula beliau dapat membaca? Subhanallah! Ibunya yang membacakan hadith-hadith itu untuk Imam Bukhari menghafal.

Begitu juga didikan hebat insan yang bergelar ibu buat Salahudin al-Ayubi sehingga tokoh itu berjaya membebaskan kembali Baitulmaqdis daripada tangan tentera Salib. Baliau juga ada kisah tersendiri.

Hebatnya seorang pemuda itu rupa-rupanya kerana berdiri di belakangnya seorang serikandi yang hebat. Dia mungkin tak dikenali… Tapi pesonanya mencorakkan si kecil hingga menjadi mutiara yang berharga buat perjuangan Islam membuatkan seorang ibu itu luar biasa peranannya.



“Raise your children to be great leaders for the sake of UMMAH”

Kepada semua yang bergelar ibu, HAPPY MOTHER’S DAY ^_^

Sunday, February 13, 2011

Revolusi kebangkitan… AYUH, TERUSKAN MELANGKAH!!!

Setelah 30 tahun, akhirnya pemerintah kuku besi Hosni Mubarak akur juga dengan suara rakyat. Aura kebangkitan yang mencetuskan revolusi baru yang bermula di Tunisia, terus marak di Mesir, dan beberapa negara lain tak kurang juga turut menyambut penangannya.

Dengan pelbagai pihak mula berkira-kira kemungkinan yang akan berlaku, tetapi apa yang diharapkan, ini adalah satu permulaan kepada sebuah episod kebangkitan perjuangan.



Aura revolusi yang tak terhenti di sana turut melebarkan tempiasnya ke sini. Insyaallah esok bermulanya satu lagi helaian baru dalam kamus kehidupan diri ini apabila melangkah bergelar “final year medical student”.

Hari-hari esok menjanjikan sebuah harapan, tak kurang juga cabaran dan ujian untuk ditempuh. Ya, itu PASTI! Tatapi inilah harga dan makna pada sebuah kehidupan. Bukankah Rasulullah SAW adalah kekasih Allah SWT, tetapi baginda adalah orang yang paling banyak diuji? Yakinlah wahai diri, walau apa yang menunggu dirimu di sana nanti, itu hadiah dari Allah yang mematangkan dan untuk menjadi lebih kuat. Dengan amanah-amanah yang tergalas, lakukanlah yang terbaik…hanya untuk mencari redha-Nya. “Jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama dirimu”.

“Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu, dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama… Maka laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”
(Al-Hajj:78)


Allah…
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula
meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan
Agar mimpi jadi nyata
padaMu ku meminta

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu




Ayuh, TERUSKAN MELANGKAH!!!

Sunday, December 5, 2010

dilema...



Saat itu hadir tanpa diduga
Ah, bisanya seakan menusuk dalam…
Terlalu pedih untuk ditelan
Namun tak upaya untuk dibuang
Antara mengundang sinar bahagia
atau pengorbanan yang merelakan derita…




“… dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu; Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.”

Monday, November 15, 2010

"AKU MAHU BEBAS"

Petang itu, selesai jongging mengelilingi tasik dua pusingan, kami berusrah di atas “pangkin” yang dibina pada satu sudut. Niat asal untuk berkayak terpaksa ditunda dek kayak digunakan bagi sesi latihan, untuk wakil UM barangkali.



Masih terkesan dengan penangan buah tangan novelis terkenal, Habiburrahman El-Shirazy, saya membawa persoalan yang dikupas halus dalam “BUMI CINTA”. Novel ini berlatar belakangkan Rusia, negara indah yang mengamalkan konsep kebebasan tanpa sempadan. Kisah-kisah yang dihidangkan juga cuba mengungkap erti KEBEBASAN sebenar, seterusnya menjadi tarikan untuk mematangkan pemikiran.

Sebelum terus menilai dengan pandangan hati dan akal, beberapa persoalan saya utarakan menjadi mukaddimah perbincangan kami petang itu.

“Apa erti kebebasan sebenarnya?”

“Ehm… Maksudnya kita bebas melakukan sesuatu. Tak ada sekatan,”
ada yang cuba-cuba menjawab
.

“Maksudnya kita ni tak bebas la ye?”

“Kenapa pulak akak?”

“Iyelah, akak ambil contoh kita sebagai Muslim. Kita kena pakai tudung, jaga pergaulan, solat, puasa… Kalau kita bebas, maksudnya ikut suka hati kitalah nak buat apa pun. Ha, bukan sikit orang kat luar sana yang mempertikaikan. Pakai tudung panaslah, bukankah lebih bebas namanya kalau buat apa yang kita rasa selesa? Mahkota yang Tuhan cipta untuk diperagakan. Peraturan-peraturan agama yang ada dicipta untuk mengongkong kebebasan!”


Nauzubillah…

“Er… tak boleh la cakap macam tu. Tapi em… macam mana ye pasal tu?” ada sedikit keraguan dan resah bila apa yang menjadi pegangan selama ini mula dipersoalkan.


BUMI CINTA: MENUTURKAN HAKIKAT KEBEBASAN

Kembara Muhammad Ayyas ke Rusia ternyata bukan sekadar melengkapkan keperluan menyiapkan tesisnya. Walaupun mendapat pendidikan di Madinah sebelum itu, ternyata pemuda ini tetap tidak dapat lari daripada fitrah yang menjadi ujian dirinya. Pesona wanita-wanita yang mewarisi kecantikan Tsarina Rusia hampir saja menggoyahkan iman yang selama ini cuba dijaga serapi mungkin.

“Hai orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh),
maka berteguh-hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebnyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar”
(Al-Anfal: 45-46)

Selain kisah mujahadah Ayyas berhadapan “musuh-musuh” imannya, keindahan dan sejarah Rusia yang dinukilkan membuatkan siapa yang membacanya seolah-olah larut dalam permandangan musim sejuk yang indah. Kisah kekejaman dan keganasan pada zaman Lenin dan Stalin juga mampu membuatkan jiwa tersentap. Selain itu, pengkisahan Sabra dan Shatila turut diterjemah dalam erti kata sebuah kehidupan dan perjuangan.

Di sebalik segala konflik yang berlaku, pertikaian dan pencarian erti kebebasan di awal cerita telah berjaya dirungkaikan pada pengakhirannya.

Ayyas yang terpaksa berjuang menghadapi segala cabaran-cabaran “kebebasan” yang di bumi Rusia…

Devid yang pada awalnya merupakan pelajar hebat semasa di SMP dan SMA Indonesia, akhirnya hanyut ditelan arus “kebebasan” di Rusia...

Yelena, seorang pelacur kelas atasan di Moskow yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, yang kononnya bahagia di sebalik perhatian dan kecantikan yang menjadi kebanggaan, akhirnya terpaksa mengakui dirinya ralit dalam dunia yang penuh dengan “kebebasan” itu…

Linor, wanita cantik tetapi penuh dingin, yang menjadi agen Zionis, akhirnya terpaksa mencari dan memilih “kebebasan” yang dulunya dipandang sinis setelah mengetahui kisah perit asal-usulnya…


Ternyata, hamparan KEBEBASAN itu menuntut setiap manusia untuk mencari hakikatnya, namun terpulanglah pada hati, akal dan nafsu masing-masing untuk MEMILIH.

“Siapa yang mahu beriman, dipersilakan. Siapa yang mahu ingkar,juga dipersilakan.”
(Al-Kahf: 29)

“maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”
(Asy-Syams: 8-10)


Tiada paksaan, terpulanglah untuk membuat PILIHAN.

ERTI KEBEBASAN DALAM BERTUHAN


Apabila seseorang itu mengakui dan menjiwai sepenuhnya hakikat ‘ubudiyyah (perhambaan diri) dalam jiwa, maka hakikatnya dialah “hamba yang paling BEBAS DAN MERDEKA.”

Masakan tidak, jika seluruh kehidupan diserahkan dengan pengabdian kepada Yang Maha Menciptakan, tiada suatu pun di dunia ini mampu menundukkannya. Dia hamba Allah yang merdeka daripada kezaliman pemikiran atau perlakuan mana-mana manusia, juga merdeka deripada belenggu nafsu, pangkat, kemewahan harta dan sifat-sifat mazmumah yang membinasakan.

Segala ketetapan dalam Islam itu bukan satu sekatan bahkan merupakan jalan kepada hakikat kebebasan sebenar. Tiada satu pun syariatullah atau sunnatullah yang digariskan bersalahan dengan fitrah seorang insan.
Solat sebagai tanda pengabdian diri seorang hamba misalnya, berperanan mewariskan ketaqwaan setiap kali jika dilakukan dengan penuh khusyu’ dan penangannya turut dijamin mampu mencegah maksiat.

“Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

Hikmah solat yang turut dibongkar sains juga tidak perlu diperdebatkan lagi. Hasil kajian membuktikan bahawa sujud mampu membantu pengaliran darah dalam otak dan mengelakkan penyakit Tibi, solat jemaah mampu menyeimbangkan cas-cas dalam tubuh dan bermacam-macam lagi.

SETIAP AMALAN ADALAH DENGAN NIAT

“Jadi, macam mana dengan pakai tudung tu tadi? Kenapa cakap orang pakai tudung tu orang yang bebas?” Amira cuba berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan pada awal tadi.

“Ehm… Amal rasa macam ni. Cuba kita tengok balik kenapa orang tu tak pakai tudung? Mesti sebab dia rasa lebih selesa, dan gembira bila buat macam tu.”

“Tapi at last, cuba tengok apa yang terjadi hari ni. Adakah dia masih rasa selesa bila saban hari kes rogol banyak dilaporkan dalam surat khabar? Apakah dia gembira bila setiap inci tubuh dia dijamah lelaki yang bukan muhrim? Dan sebanarnya itu menampakkan harga diri yang rendah,”
agak sinis tetapi tembakan yang masih mengena.

Maka, dalam setiap perkara yang dilakukan yang kononnya mahu merealisasikan hasrat kebebasan diri, cuba tanya kembali, apakah TUJUAN yang mahu dicapai? Adakah kerana mahu gembira, selamat, atau bahagia? Dan seterusnya, tanyakan diri kembali, adakah tujuan itu BENAR-BENAR telah dicapai setelah melakukan perkara tersebut.

Jika ya, TAHNIAH, “mungkin” erti kebebasan sebenar itu telah ditemui!

Selamat merenung dan mencari HAKIKAT KEBEBASAN DAN KEMERDEKAAN SEBENAR…









Wednesday, November 3, 2010

Sindrom Munchausen: Merawat yang tersembunyi



“2212, bilik dua,” kedengaran suara memanggil pesakit untuk bertemu doktor di klinik ENT (ear, nose and throat) sebuah hospital kerajaan.

Tidak lama kemudian pintu dikuak. Masuk seorang wanita Cina pertengahan abad.

“Selamat pagi. Sila duduk,” Dr Syafiq menegur sambil tersenyum.

“ Boleh saya tahu apa masalah puan?”

“Oh doktor, sudah satu minggu, saya rasa telinga ini ada masalah.”

“Kenapa ya dengan telinga puan?”

“Errr… Hmm… Kadang-kadang saya rasa telinga ada sakit.”

“Ada keluar nanah? Sebelum ni ada selesema atau demam? Ada pening-pening?”

“Errr… Semua tak pernah. Tapi itu darah pernah keluar la doktor… Aduh! Banyak sakit ma…”


“Sabar ya puan, saya periksa dulu. Nanti saya tengok kalau perlu bersihkan dan bagi ubat.”

Setelah memeriksa menggunakan otoskop, wanita cina tersebut dibawa ke sebuah bilik mikroskop telinga untuk diperiksa dengan lebih lanjut.

“Ehm… Pelik, telinga auntie ni bersih je… Tak ada tanda-tanda trauma, jangkitan atau sebarang ketumbuhan,” Dr Syafiq mula berbisik sendiri.

“Kita pergi balik saya tadi, untuk buat pemeriksaan seterusnya ya puan.”

Wanita Cina itu hanya mengangguk. Akur…

Sedang memeriksa untuk melengkapkan pemeriksaan rutin, Dr Syafiq terus sahaja bertanya soalan. Iyalah, bukan sedikit pesakit yang sedang menunggu giliran di luar. Dirinya harus bijak menggunakan setiap kesempatan agar bukan sahaja perlu memeriksa dengan cepat tetapi juga mendiagnosis dengan tepat, agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.

“Puan tinggal di mana ya?” Dr Syafiq bertanya sambil matanya sempat melirik ke arah payung dan bakul kecil berisi sayur-sayuran di sisi pesakitnya itu.

“Oh, saya duduk taman depan hospital sini saja. Naik basikal doktor. Malang sungguh nasib saya… Huh…” wanita Cina itu melepaskan keluhan, bagaikan ada beban berat yang sedang terpendam. Dr Syafiq terus setia mendengar.

“Anak saya ada dua orang, doktor. Tapi sama macam tak ada anak. Suami sudah lama mati. Saya tinggal seorang, nasib baik ada duit pencen suami, boleh saya hidup juga. Tinggal rumah, tak tahu mahu buat apa.” Air mata seorang wanita itu akhirnya tumpah juga.

Dr Syafiq mengangguk tanda mengerti, memahami luahan perasaan tanda kecewa seorang ibu dan juga yang lebih penting, sebab wanita itu datang ke klinik hari ini.
Nah! Sudah terang lagi bersuluh, dengan gaya wanita Cina itu menerangkan simptom yang dihadapai dengan agak ragu-ragu, keputusan pemeriksaan yang normal dan rasa kesunyian yang diadukan dengan begitu ‘bersungguh-sungguh’.

“MUNCHAUSEN SYNDROME”



Ini bukan kali pertama Dr Syafiq ‘dikunjungi’ pesakit-pesakit yang secara fizikalnya langsung tidak sakit! Tetapi mereka seringkali berkunjung ke hospital dengan pelbagai simptom yang kadang-kadang membingungkan doktor yang merawat. Masakan tidak, dengan semua simptom yang diadukan, hasil pemeriksaan langsung tidak bertemu jawapan bagi diagnosis yang tepat. Semua buntu, malah kadang-kadang tidak kurang juga simptom yang diadukan agak tidak masuk akal.

Tujuannya hanya satu, INGINKAN PERHATIAN… Atas sebab-sebab tertentu seperti kesunyian, mereka akan “berlagak” seperti orang sakit sedangkan hakikatnya mereka adalah normal. Tambah menerukkan keadaan jika mereka mempunyai latar belakang pengajian bidang berkaitan perubatan di mana mereka “berkebolehan berlakon” dengan sempurna sehingga kadang-kadang tubuh mereka terpaksa menjalani prosedur-prosedur yang berisiko untuk mengesan punca sebenar yang “misteri” itu.

Itulah sindrom Munchausen, satu keadaan psikiatrik di mana pesakit akan datang untuk menjalani rawatan bagi penyakit-penyakit yang dicipta sendiri dan tak kurang juga dengan simptom-simptom ciptaan yang sungguh dramatik.

Atas keperluan inilah yang menuntut seorang doktor bukan sehaja perlu merawat fizikal seorang pesakit, tetapi juga mental dan spiritualnya yang mana sering kali diabaikan. Bukan bermakna seseorang itu bukan ahli psikiatrik, dia menafikan kecelaruan mental pesakitnya. Dan tentu sahaja seorang doktor itu tidak perlu memegang “title” ustaz atau ustazah, untuk menenangkan seorang pesakit yang baru didiagnos kanser tahap keempat, supaya redha menerima takdir dan pasti adanya hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Oh ya, tetapi yang pasti, mereka yang datang dengan pelbagai “simptom rekaan” untuk mendapat MC (medical certificate), tidak termasuk dalam kategori di atas!

Untuk rujukan lanjut: http://www.emedicinehealth.com/munchausen_syndrome/article_em.htm

Wednesday, October 6, 2010

nota buat diri: RAHMAT UJIAN


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu



"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
(Al-Ankabut: 2)

"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu."
(Muhammad: 31)

Monday, October 4, 2010

HAKIKAT YANG SEAKAN DILUPAKAN


“Staf nurse, kami pertama kali oncall kat wad ni. Boleh tolong ajarkan kami nak bagi pesakit ubat IV?” seawal 6.50 pagi, saya dan Siti sampai di wad, niat kami datang awal supaya boleh belajar. Takut juga tak sempat habiskan tugas memberi ubat kepada pesakit, kelas akan bermula tepat pukul 8.

“I’ll lock the door at 8 o’clock. No excuse if u’re late even 1 minute!” masih teringang-ngiang lagi ‘amaran’ awal oleh Prof Ahmad semasa briefing session.

“Ehm… nantilah. Banyak kerja ni. Sister ni pun satu, kenapa la tak ajar budak-budak ni semua awal-awal,” reaksi yang diterima memberi petanda yang kurang enak.

Dan akhirnya, kami menunggu hampir 20 minit tanpa berbuat apa-apa, sehinggalah seorang lagi staf nurse yang mungkin agak kasihan melihat kami kebingungan, sudi menghulurkan bantuan mengajar cara menyediakan ubat yang akan diberikan kepada pesakit terus ke dalam darah.

Disebabkan kelewatan memulakan tugas, hanya kira-kira jam 7.30 pagi kami mula memberi ubat-ubat tersebut kepada pesakit. Jam hampir menunjukkan pukul 8 pagi tetapi ada 4 lagi pesakit yang belum diberikan ubat! ‘Mujur’ ada seorang staf nurse yang baik hati menawarkan diri menyambung tugasan kami dan terus saja kami bergegas menuju ke bilik konferens… Tanpa berfikir panjang natijah yang bakal menimpa.

2 missed called” tertera di skrin telefon. Segera saya menelefon kembali kerana doktor yang akan mengajar tidak sampai lagi ketika itu.

“Assalamualaikum…”

“Wa’alaikumussalam. This is a medical student who is oncall today and came to the ward this morning, right?” persoalan yang membuatkan dada ini mula berdegup kencang.

“Yes, I’m speaking.”

Ok, I’m Dr Fuad. How come you and your friend just left the ward without finish your work? You all just wasted all the medication. All had been thrown away because cannot be use anymore.”

“But doctor, we have class at 8 o’clock and one of the staff nurse said that she would continue our job.”

“You know u’ve class at 8 o’clock, so, you need to come to the ward early la!”

“I’m sorry doctor, we already there before 7 o’clock, but the staff nurse said that she is busy and asked us to wait there for about 15 minutes.”

“I don’t want to hear any excuse! You all must come back here after finish your class.”

Tepat jam 10 pagi, usai kelas, kami bergegas semula ke wad dan… sekali lagi menerima hamburan tanpa diberi peluang untuk kami menjelaskan keadaan sebenar.

“Ya Allah, kurniakan kami kekuatan… Insyaallah ada hikmahnya” hanya sebaris kata-kata itu yang mampu memujuk hati tatkala terhiris dengan punca yang entah di mana.

WHAT YOU GIVE, SOMETIMES YOU’LL NOT GET BACK

Kadang-kadang, dirasakan ‘dunia ini tidak adil’. Mengapa orang yang susah berterusan susah dan ada yang diuji lagi dengan pelbagai cabaran hidup? Dan yang zalim dan bersalah, kadang-kadang bersenang lenang tanpa sekelumit rasa resah.

Tak mampu untuk menafikan kata hati… Tatkala merasa telah membuat yang terbaik, berusaha ‘memberi’ dengan ‘senyuman’, namun apa yang mendatang selalunya menggusarkan dan mengecewakan. “Erti hidup pada memberi”, sedaya upaya untuk diperhalusi kata-kata itu setiap kali.

Namun, satu hari, tiba-tiba terasa bagai dipukul apabila ada yang mengingatkan, “Rasulullah SAW adalah kekasih Allah yang dikasihi-Nya. Namun hamparan perjalanan perjuangannya tidak terhias dengan kemewahan, jauh sekali dengan sanjungan semua orang ketika itu. Kata-kata kesat menjadi juadah harian, dipulau… namun tetap tegar berhadapan musuh. Semakin dekat seseorang itu dengan Allah, semakin hebat pula ujian yang mendatang. Itu tanda kasih Allah pada hambaNya, mahu hambanya setiasa tuduk dan untuk mematangkan menjadi yang lebih baik.”

Tanpa disedari, air mata mula membasahi. Insaf dengan khilaf diri.

IN THE MIDDLE OF DIFFICULTIES, LIES OPPORTUNITY

“Ya, manusia acap kali terlupa.” Diri ini cuba , merenung kembali. Disebalik ujian hebat yang diturunkan Allah buat kekasihnya, Rasulullah SAW, dikurnikan kepada baginda teman hidup yang menjadi penyokong setiap masa, para sahabat yang menjadi tunjang kepada perjuangan yang tiada nokhtah dan akhirnya, menjadi pemerintah di tanah kelahiran yang dulu menjadi saksi penentangan hebat terhadap baginda.

Ujian, amanah dan tanggungjawab yang tergalas di bahu hakikatnya tanda Dia tidak lupa kepada kita.

“Sang suria sentiasa ada di celah-celah mendung yang mendatang, dan jika hujan pula turun menimpa, nantikan saja pelangi yang bakal menjelma.”

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (surah Ar-Rahman)

Moga ada ruang untuk diri yang penuh noda ini menggapai kasihNya.

“Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang, bantulah untuk kami mengenaliMu, bantulah untuk kami mendekatkan diri kepadaMu, bantulah untuk kami sentiasa mengingatiMu, bantulah untuk kami beramal hanya keranaMu, bantulah untuk kami mencapai cinta dan redhaMu…”