Friday, February 20, 2009

ERTI KASIH MAKNA SAYANG


19 Februari 2009
Pagi ini,habis selesai sahaja lecture Neurophysio yang tidak dapat sangat saya memberi tumpuan lantaran tidur lewat malam tadi,saya segera meninggalkan Dewan Kuliah Jemerlang. Langkah diatur menuju library Fakulti Perubatan. Cuma sebelum itu,saya mahu singgah sebentar untuk solat Dhuha di surau PPUM berdekatan wad ICU. Agak hairan melihatkan seorang wanita kira-kira setengah abad umurnya saya meneka-neka,sedang khusyuk membaca Al-Quran. “Mungkin ada ahli keluarganya di ICU,”saya mula berbicara sendiri. Sempat juga kami saling menyapa.



Selesai solat,saya cuba merapati wanita itu yang saya selesa memanggilnya mak cik sahaja. Tidak pernah terjangka,salam perkenalan kami akhirnya membuahkan butir-butir ceritera pengalaman yang amat berharga. Mak cik memberitahu dia sedang menemankan suaminya yang sedang dirawad di wad Intensive Care Unit(ICU). Saya mula bertanya lebih lanjut,mengenai sakit suami mak cik tersebut dan bermulalah sebuah bingkisan buat pedoman semua……



“Dah lama sebenarnya,nak,pak cik sakit kencing manis. Alhamdulillah,sebelum ni penyakitnya terkawal. Segalanya bermula ketika kami sama-sama menunaikan haji baru-baru ni. Pada awalnya segalanya seperti biasa,sehinggalah hari ketiga kami di sana,pak cik terjatuh ketika di bilik air. Oleh sebab badan pak cik agak besar,kakinya mengalami masalah,mungkin terhentak semasa jatuh. Selepas itu pak cik terus dibawa ke klinik maktab. Namun,disebabkan keadaanya agak kritikal,pak cik dibawa ke Hospital Malaysia. Di sana,doktor yang merawat pak cik memberitahu,pak cik perlu dibawa ke Hospital King Aziz (kalau tak silap la namanya,tak sempat catat masa mak cik Jah cerita) kerana peralatan di hospital jemaah Malaysia terhad. Mak cik redha,andai itu yang terbaik.”



“Jadi mak cik bersiap-siap,merancang mengiringi pak cik,bersama seorang sister(ketua jururawat).Peraturan hospital di Arab Saudi agak ketat,mak cik dan sister yang ingin pergi dikehendaki memakai pakaian serba hitam bersama purdah. Namun akhirnya kami dikejutkan dengan larangan untuk turut bersama pergi kerana tiada muslimin bersama kami. Hati mak cik sebak bercampur risau,apa yang mampu mak cik lakukan hanyalah berdoa dan mengiringi perjalanan suami mak cik dengan pandangan mata sahaja.”



Mak cik terus bercerita,hanya sesekali saya menyampuk untuk bertanya dan mengangguk-angguk.Mak cik meneruskan cerita,setelah itu,mak cik disuruh pulang semula ke maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia. Sampai di sana,mak cik seolah-olah mak yang kehilangan anaknya. Segala yang dilakukan serba tak kena dek resah yang membelenggu diri menanti khabar suami tercinta. Mak cik bertanya kepada doktor-doktor di maktab itu,bagaimana keadaan suaminya namun hanya jawapan hampa yang terungkap, ”Saya tidak tahu.” Setelah beberapa ketika barulah mak cik mendapat sinar cahaya apabila Hospital Malaysia memintanya pergi ke Hospital Malaysia sebelum ke Hospital King Aziz pada pukul 3 petang.



“Di sana,mak cik dimarahi oleh seorang jururawat. Pelbagai alasan diberikan untuk membantutkan hasrat mak cik;tak ada kenderaan,tak ada muhrim untuk menemankan dan 1001 alasan lain lagi. Ketika itu perasaan mak cik bercampur baur,marah,risau ,sedih dan bermacam-macam lagi. Selepas itu mak cik menuju ke bilik air dan menangis sepuas-puasnya. Mak cik seorang yang berhati keras. Waima mak cik sedih sekalipun,mak cik tak akan tunjuk dihadapan orang lain. Biasanya mak cik akan menangis seorang diri,basuh muka dan keluar dengan senyuman. Selepas itu,mak cik terus naik ke tingkat atas untuk bertemu Dr Farah. Sampai sahaja dia atas,Dr Farah terus menghalakan jari telunjuknya kepada mak cik sambil berkata, “Mak cik pergi mana?Datuk Kamal(pengarah hospital Malaysia) dah tunggu di Hospital King Aziz dekat sejam dah! Penat kami cari mak cik merata-rata tempat.” Mak cik terdiam,air mata mak cik buat pertama kalinya mengalir di hadapan orang ramai.”



“Dr,mak cik bukan bola. Bila mak cik jumpa nurse,dia kata tak ada orang akan bawa mak cik. Dari awal mak cik nak jumpa Dr tapi dia kata Dr orang baru,tak tahu keadaan di sini. Bila saya datang juga jumpa Dr,Dr marah saya. Saya cuma nak tahu keadaan suami saya Dr,cukuplah. Entah hidup ke,mati ke. Sejak suami saya dibawa pergi,saya tak tahu langsung keadaan dia,isteri mana yang tahan Dr. Kalau mak tak ada boleh lagi ada mak angkat,mak tiri,tapi ni suami Dr. Tak akan ada suami angkat,suami tiri,” luah mak cik sedang semua mata di situ memerhatikan,katanya.



“Akhirnya Dr Farah akur. Dia mohon maaf kepada mak cik kerana bertindak kasar, “ Maafkan saya mak cik.Saya sangat penat hari ni,dari tadi patient datang tak berhenti,saya tak sempat makan pun dari tadi.” Tapi sebenarnya mak cik pun belum menjamah apa-apa sejak pak cik dibawa ke Hospital King Aziz,mak cik kecewa Dr itu menghentam mak cik terus sedangkan tidak mengerti perkara sebenar.



Saya terdiam sejenak. Ini bukanlah kali pertama kes sepertinya,malahan pernah lebih dasyat lagi.Walaupun mungkin hanya segelintir,namun bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga selain perkara berkenaan attitude ini sedikit sebanyak telah merobek etika sebagai seorang pengamal perubatan. Malu untuk dinukilkan tapi semoga ini menjadi pengajaran,terutama buat bakal doktor,nurse dan medical staff lain,bila mana pernah kecoh lantaran seorang doktor menampar seorang pesakit di hospital yang amat hampir dengan saya,****. Persoalannya,mengapa hal ini boleh berlaku. Benar,saya tidak menyangkal kita semua juga manusia,punya perasaan. Namun,bila mana berhadapan pesakit atau ahli keluarganya,cuba letakkan kita dalam situasi tersebut. Hakikatnya apabila berhadapan situasi yang menekan,tika itulah kita perlu koreksi diri kembali,dengan meletakkan keredhaan ALLAH ta`ala sebagai matlamat utama kita. Insyaalah,waima diri terhimpit dek keletihan,kekuatan itu akan datang andai niat ikhlas dipasakkan dalam setiap pekerjaan kita.








“Alhamdulillah,akhirnya dapat juga mak cik bertemu suami mak cik. Walaupun sebak,mak cik tabahkan hati,gagahkan diri berhadapan pak cik. Mak cik cuba ceria di hadapan pak cik,mak cik tak mahu pak cik risau. Rupa-rupanya pihak hospital telah `membersihkan` kaki pak cik. Terdapat bahagian pada bahagian kaki pak cik yang sudah `dikorek` hingga nampak tulang. Tiba-tiba juga mak cik mendapat tahu kaki pak cik akan dipotong(leg amputation). Masa itu,dunia terasa gelap. Apa yang mak cik tahu,ada seorang doktor dari Turki yang beriya-iya mahu memotong kaki pakcik,sedangkan ada seorang doktor Arab memberitahu tidak perlu. Dengar kata doktor Turki itu mahukan kaki pak cik untuk dibuat kajian (saya terkesima sekali lagi.di manakah nilai dan etika seorang doktor yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kebajikan pesakit). Alhamdulillah,dipendekkan cerita,akhirnya di saat-saat akhir,pembedahan untuk memotong kaki pak cik dibatalkan. Memang mak cik sebelum itu merintih siang dan malam memohon agar Allah selamatkan pakcik dan dikurniakan anugerah kesihatan sehingga selesai menunaikan haji. Mak cik benar-benar merasakan kebergantungan kepada ALLAH adalah yang utama. Selagi mampu,mak cik akan terus berikhtiar. Mak cik tak akan tinggalkan pak cik,mak cik akan sentiasa menjaga pak cik. Mak cik redha andai itu takdir dari ALLAH…”



Begitulah sedikit perkongsian ceritera seorang isteri yang saya kira amat tabah (ada lagi sambungan setelah pak cik dan mak cik kembali ke Malaysia yang tak kurang pengajaran yang dapat diambil,tapi insyaallah next time sambung).. Semoga setiap tinta yang dititipkan membawa kita berfikir,di mana kita sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Esa,apakah nilai Islam itu benar-benar kita praktikkan sebelum ini waima kepada diri yang kononnya bergelar Muslim sejati?? TEPUK DADA,TANYA IMAN~



Sebelum beredar,saya sempat menziarahi pak cik yang masih belum sedarkan diri setelah menjalani pembedahan potong kaki di wad ICU bersama mak cik dan salah seorang anaknya. Semoga ALLAH memberi kekuatan kepada mereka, AL-FATIHAH….





20 Februari 2009- 2.50 am

1 comment:

  1. teruskan perkongsian,mudah-mudahan Allah jadikannya bermanfaat kepada pembaca insyaAllah,jzkk

    ReplyDelete