Sunday, May 16, 2010

Menghirup hikmah di dunia kanak-kanak

Alhamdulillah, akhirnya! Setelah lebih dua bulan tidak mencoretkan sesuatu di sini. Banyak yang hendak dinukilkan, tapi apabila menghadap laptop di tengah malam setelah seharian berhempas pulas di dunia kanak-kanak, lain pula jadinya. Tanpa minta izin kepada pemilik diri, mata terus mengambil peranan badan yang meronta minta berehat seketika. Akhirnya, terpaksa merelakan coretan-coretan itu bermain dalam mimpi sahaja.



BERBALIK KEPADA YANG ASAS

Terlalu banyak yang saya belajar semasa berpencak di ‘alam kanak-kanak’ kali ini tapi bukan sedikit rakan-rakan yang menjadi trauma dengan badi paediatrics. ‘Cover bed’, ‘ward-round’, tutorial, ‘visit’, ‘presentation’ etc… Segalanya perlu sentiasa bersedia… Hingga makan dan tidur menjadi agenda keempat, lima atau mungkin keenam… Waktu petang dan hujung minggu pula hampir semuanya penuh dengan ‘meeting’ dan program. Hinggakan satu ketika, rasa tak tertahan dan hampir sahaja putus asa menguasai diri, mujur iman masih ada untuk mengingatkan,

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”
(Az-Zariyat: 56)


Saat ini juga saya merasakan tak hairanlah jika ada kes doktor memarahi pesakit tatkala emosi tidak stabil lantaran kepenatan yang tak tertahan. Namun, hanya satu yang menjadi benteng, dengan niat apa kita melakukan semua ini. Jika wang, pangkat dan galmor yang dikejar, habuan penat pasti membawa kepada tindakan luar kawal.

Tetapi jika niat dipasakkan, “Dengan jalan inilah, aku mahu mencari redha-Nya, juga membawa sinar harapan buat hamba-hambanya yang lain”, insyaallah, sebaris kata-kata “ERTI HIDUP PADA MEMBERI” itu akan jadi sangat berbekas dalam melahirkan tindakan.

Ya, kuncinya NIAT yang betul dalam tindakan.

NIKMAT TEKANAN

Tatkala ini juga, saya merenung, manusia seringkali beralasan dan berkeluh kesah apabila dihimpit tugasan yang banyak lagi menyesakkan. Rahsia apakah pula yang membuatkan Rasulullah SAW cemerlang sebagai rasul ikutan umat, sebagai pemimpin negara, panglima perang, seorang suami dan bapa?

“Tanggungjawab melebihi masa yang kita ada”- As-Syahid Hassan Al-Banna

Ternyata, bukan dengan duduk bersenang-lenang, kecemerlangan itu dapat digapai dan amanah itu dapat ditunaikan. Semua itu memerlukan PENGORBANAN dan tentunya pengorbanan hanya datang apabila adanya TEKANAN.



Dengan tekanan, masa 5 minit itu akan dirasakan amat berharga. Buktinya, semasa musim peperiksaan, berapa ramai yang sanggup bersengkang mata atau langsung tidak tidur gara-gara buku belum habis dibaca? Makan minum juga mampu ditolak tepi.

Hakikatnya tekanan ibarat pedang, mampu berubah peranan mengikut si pemakainya. Ia mampu mengubah, daripada malas kepada rajin; daripada membuang masa kepada menghargai masa; dan daripada gagal kepada cemerlang! Tapi, hati-hati… Pedang juga mampu membunuh tuannya sendiri. Tak sedikit juga kecundang dek tekanan. Pokoknya, uruslah tekanan itu dengan baik, jangan biar tekanan yang mengurus diri anda!

p/s: Walaupun dengan tekanan-tekanan yang kadang-kadang agak 'memeritkan' untuk mencari hikmahnya semasa posting ini, insyaallah 'cinta' saya masih di sini.
Dr Shanti:"Atikah, continue your aim to become paediatrician."
>>Kata-kata peransang daripada 'my inspiring lecturer' sebelum berakhirnya posting Paediatrics yang memekarkan lagi cita-cita diri ini.

Wednesday, March 17, 2010

CRP 2: A picture can tell thousand of words

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat ALLAH) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat ALLAH). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah." (Al-A'raf:179)


















Friday, March 12, 2010

CRP 1: ALKISAH POTRET KEHIDUPAN

Dua minggu berkampung di Manjung, Perak. Ternyata Community Residential Program (CRP) yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar perubatan mengenai kualiti kesihatan penduduk luar bandar; memberi pengalaman berharga, jauh melebihi objektif yang digariskan.

Banyak yang saya belajar tentang warna-warni kehidupan semasa membuat soal selidik di sebuah perkampungan nelayan dan tentunya 3 kisah ini yang paling berbekas…

HINGGA HUJUNG NYAWA



Menapak di rumah seorang atuk dan nenek, hati bagaikan tersentuh melihat kedaifan teratak ini. Walaupun begitu, ramah sahaja nenek melayan saya dan seorang lagi teman. Nenek kurus sahaja orangnya, sedikit bongkok dan berbakat menganyam tikar mengkuang.

Nenek ini, duduknya berdua bersama atuk, beberapa anak mereka tinggal berjauhan di ibu kota. Sedari awal nenek memberitahu, atuk tidak boleh bercakap kesan strok yang dihidapi sejak beberapa tahun lepas. Namun, atuk masih mampu berjalan dan bergerak seperti biasa tetapi atuk lebih selesa berada di rumah.

Jadi secara tidak langsung, kehidupan mereka banyak bergantung kepada nenek. Biasanya nenek akan berbasikal ke kedai berhampiran untuk membeli barang keperluan atau mengharapkan anak saudara mereka yang tinggal beberapa kilometer dari teratak usang itu.

“Nak kata sunyi tu memanglah. Anak-anak pun tinggal jauh. Nak berbual pun tak ada orang,” terluah isi hati nenek tatkala kami bertanya sama ada nenek terasa keseorangan di rumah, yang selalunya menjadi punca tekanan psikologi tanpa disedari terutamanya bagi warga emas.

Namun saya percaya, nenek akan terus setia bersama atuk. Dengan sisa umur yang masih berbaki, nenek dan atuk berjaya membuktikan sesuatu yang jarang dikecapi anak muda sekarang. Walaupun secara kasarnya nenek dan atuk kekurangan dari sudut material, jalinan mereka tetap mekar dan utuh. Mungkin di sinilah tersingkap nilai baraqah yang semakin dilupakan generasi sekarang. Jangan dilupa hukum alam, “Hidup tak selalunya indah, Langit tak selalunya cerah”.

CERAMAH DI TENGAH HARI



Tengah hari itu cuaca amat panas, rasa-rasa muka hampir sahaja bertukar warna, maklumlah di kampung nelayan berdekatan laut ditambah lagi dengan keadaan sekarang yang sudah lama tidak hujan. Melangkah ke sebuah rumah yang menjalankan perusahaan ikan masin, sepasang suami isteri lebih setengah abad melayan kami dengan penuh ramah.

Soal selidik yang sepatutnya hanya setengah jam menjadi hampir dua jam! Masakan tidak, kami dihidang dengan ilmu-ilmu baru oleh pak cik bekas bilal ini.

“Dulu ada juga budak-budak datang soal-soal macam ni. Dema minta pada pak cik pesanan yang boleh dibawa balik ke universiti. Ni lah yang pak cik nak pesan pada kome juga.”

“Satunya bila nak baca Basmillah, bunyinya macam ni, Bismillahirrahmanirrahim. Biasanya orang akan baca BismillahirrahmaNnirrahim. Tengok, mana ada sabdu kat situ tapi ini lah yang selalunya orang baca kat masjid-masjid pun. Kalau kome tak percaya nanti cuba lah dengar. Sama juga masa baca fatihah yang Arrahmanirrahim… bukannya ArrahmaNnirrahim… Salah kita baca fatihah yang rukun ni, tak tahulah solat kita diterima ke tak.”

“Ni lagi satu nak tahu makhraj huruf (tempat keluar huruf) yang betul. Kome tanya la kat rumah-rumah lain ke kat tempat kome ramai tak tahu formulanya. Bunyikan alif tanda atas, bawah dan depan dengan huruf yang dimatikan. Contoh makhraj untuk ‘Ba’, bunyinya Ab, Ib, Ub. Mesti sama tempat bunyinya, kalau tak salah le tu.”

“Ha, ni pak cik dah ajar, sebar-sebarkan le kat kawan-kawan tu. Ilmu ni tak boleh simpan seorang-seorang.”

BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL



Mulanya hampir tidak percaya saya disebalik pokok-pokok kelapa sawit itu terdapat sebuah lagi teratak usang. Mata saya liar memerhatikan keadaan rumah yang sangat-sangat menyedihkan. Bekalan elektrik hanyalah generator, bekalan air disambung daripada jiran di hadapan dan tandas juga menumpang rumah hadapan!

Namun, keletah enam orang kanak-kanak penghuni rumah ini menjadi seri menutup kedhaifan mereka sekeluarga. Tatkala melangkah masuk ke dalam, hati saya lekas terusik apabila melihat seorang kanak-kanak sekitar umur 4 tahun berselera menikmati hidangan nasi yang hanya berlaukkan kicap.

Perbualan saya dan seorang teman bersama pak cik yang merupakan ketua keluarga di rumah ini semakin rancak apabila berkisar mengenai pemakanan.

“Hah, walaupun keluarga pak cik ni tidaklah berkemampuan sangat, tapi pak cik amat menjaga bab makanan ni. Nasi sudah mesti, tapi lauk-lauk yang lain tu biasanya ikan yang pak cik tangkap di laut.”

“Sayur pun kami makan yang tanam sendiri, tak makan sayur beli ni, terutama sawi. Jangan kome tak tahu berjenis-jenis racun disemburnya pada sayur tu. Cili pun sama. Jadi ulam-ulam pahit inilah yang pak cik makan setiap hari”

“Kalau nak tahu lagi, kami tak makan Ajinomoto ni. Benda-benda tambahan macam inilah sebenarnya yang sebabkan penyakit. Sebab tu kalau nak tengok, nenek moyang kita dulu mana ada sakit-sakit ni, sekarang ni usah cakap, kalau ke klinik tanya, kebanyakannya mesti kencing manis dan darah tinggi.”

Benar, fakta yang tidak dapat disangkal. Jika dulu majoritinya penyakit berjangkit, kini penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, strok dan sakit jantung menjadi igauan ngeri.

Mungkin keluarga ini kekurangan dari segi materialnya untuk membeli bahan makanan yang ‘bersalut’ racun serangga, penuh dengan MSG apatah lagi makanan segera yang ‘berisiko tinggi’ seperti KFC dan McDonald, tetapi sekurang-kurangnya mereka sedikit terselamat daripada trio penyakit semakin popular di Malaysia; kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Kita pula bagaimana? Tidak sanggup pula membayangkan itulah yang menjadi santapan sehari-hari?

Sebelum berangkat pulang, pak cik dengan murah hatinya menghadiahkan kami ranting kayu tongkat ali yang pak cik dapatkan sendiri. Menurut pak cik, walaupun rasanya amat pahit apabila diminum air rebusan ranting tersebut, insyaallah khasiatnya jauh lebih baik daripada yang telah diproses seperti yang ada di pasaran.

Dan harga sebenar ranting tongkat ali ini di pasaran mencecah lebih RM100 dengan kuantiti satu beg plastic yang kami bawa! (p/s: sempat juga pak cik membetulkan salah tanggapan bahawa tongkat ali hanya untuk lelaki dan kacip Fatimah untuk wanita. Hakikatnya kedua-duanya baik diamalkan untuk lelaki dan perempuan).

~Kredit buat teman bersoal-selidik merangkap driver berhemah, roommate di UniKL dan ketua kampung, Cik Hakimah (insyaallah doctor to be) yang tekun bersama-sama bekerja sehari suntuk, jasamu dikenang~

Thursday, February 18, 2010

FEMINISME and MEDICINE



Berakhirnya posting obstectric and gynaecology (perbidanan dan sakit puan) baru-baru ini benar-benar membuka minda saya tentang banyak perkara, daripada amanah yang hakikatnya tergalas di bahu hinggalah kepada pencerahan mengenai perjuangan wanita.

MATLAMAT

“OK, can you tell me why you want to become a doctor?” lontar Prof Jamy ketika kelas posting ini yang pertama. Soalan yang sangat biasa untuk freshie first year ketika minggu orientasi tetapi agak pelik untuk kami yang sudah masuk tahun ketiga bergelumang dengan dunia yang serba mencabar ini.

“Yes, Atikah?”

Saya terkesima seketika. Tidak terjangka kiranya menjadi manusia terpilih dalam kelas itu untuk menjawab soalan yang biasa tetapi masa dan tempatnya luar biasa untuk kami pada keadaan sekarang. Now, for whatever reason, we still need to face the real journey of being a medical student and insyaallah, as a doctor!

“Hm… for me, I take it as amanah, Prof,” walaupun mulanya agak ragu-ragu apakah reaksi mereka, alhamdulillah, akhirnya terluncur juga ayat itu dari mulut saya.

“Oh, ok, what sort of amanah did you talking about?”

“Amanah as a muslim, as a daughter and as a sister.”

Beberapa pelajar lain turut ditanya. Ada yang menjawab kerana minat, kerana memang berfikir di sinilah jalan hidupnya dan tidak kurang juga kerana harapan ibu bapa malah ada yang terus termanggu tanpa sepatah jawapan.

Beberapa hari selepas itu, saya mula merenung kembali tuntutan kepada jawapan saya itu. Kalau AMANAH itu yang menjadi sandaran, bermakna perlu dilakukan sehabis baik.

Idealnya, penat, malas, tak minat wajib ditolak ke tepi. Namun, menyedari diri ini hanyalah insan biasa yang adakalanya turut tersungkur menyembah gelodak jiwa, saya mula merenung tamsilannya.

Pada awalnya tiada apa-apa tarikan bahagian obstectric and gynaecology (O&G) ini kepada saya. Hati lebih cenderung kepada surgery yang kritikal dan peadiatrik yang dapat bersama kanak-kanak comel.

Tapi, betullah kata orang. Tak kenal maka tak cinta. Kini ‘cinta’ saya berputik lagi di O&G. Tetapi kali ini mekarnya bersama AMANAH yang kian dirasakan.

Ah, masakan tidak, di sini sahaja rata-rata pakarnya adalah golongan Adam, tidak kurang juga MO (medical officer) yang bertugas. Khabarnya di PPUM juga begitu. Tidak tahulah mengapa, bidang yang sepatutnya perlu dimonopoli golongan hawa menjadi sebaliknya. Mungkin realiti bekerja tidak jejak di minda sedar saya.

Tentu sahaja O&G tersangat sibuk. Teringat kata-kata konsultan di sini, Dr Viji, ketika ditanya jadualnya bagi mengatur wardround bersama medical student,“I don’t know what I’m going to do tomorrow and even this evening. I have no specific time to eat, to sleep. You know, women can deliver their baby at any time.” Nah! Tak hairanlah ramai doktor wanita yang sudah berkeluarga lebih berkira-kira melanjutkan pelajaran di bidang kepakaran lain. Saya? Wallahu’alam, mungkin di situlah letaknya erti pengorbanan, dan mungkin kuncinya pada persefahaman.

“AKU INGIN MENYAMPAIKAN DAKWAH INI HINGGA KE JANIN DI DALAM PERUT IBUNYA”- Asy-syaheed Hassan Al-Banna.



Pernah dengar kata-kata ini,”Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencoraknya”?

Semasa di labour room, biasanya jika tiada kes kecemasan, bayi akan diberikan susu ibu sejurus selepas lahir. Ini kerana, selain mewujudkan ikatan antara ibu dan anak, dipercayai jika bayi diberikan susu ibu dalam masa setengah jam pertama selepas lahir, maka akan mudahlah untuk bayi tadi menerima susu tersebut pada masa akan datang.

Sudah sedia maklum 1001 khasiat susu ibu berbanding susu formula. Antaranya membina sistem imun badan si anak untuk mengelak daripada penyakit dan juga sebagai sumber nutrien lengkap terbaik yang paling sesuai bagi bayi.
Mengapa mesti setengah jam pertama? Pasti ada hikmah tersirat di sebalik hasil kajian sains ini.

Maka, tidak hairanlah Islam mengajar supaya mengazankan bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan sejurus selepas lahir. Nampak mudah dan remeh, tapi saya percaya pasti ada kesan jika kalimah pertama yang kedengaran waktu si kecil mula mengenal kehidupan adalah kalimah yang mengagungkan kebesaran Tuhan yang Maha Esa, motivasi beribadah dan menuju kejayaan.

Oleh sebab keluasan tempat yang terhad, maka di sini bapa tidak dibenarkan ada bersama ketika proses kelahiran bayi. Maka, boleh dikatakan setakat ini tidak pernah pula saya melihat bayi diazankan atau diqamatkan.

Mungkin nampak pelik di sini, tetapi saya teruskan juga mencari-cari jantina bayi dan berbisik di telinga untuk mengazankan atau mengqamatkan. Mungkin agak terlewat waktunya kerana itupun setelah ditempatkan di bilik khas bayi, setelah mendengar pelbagai kata-kata, “Wah,tembamnya baby ni”, “Eh, kecilnya dia”.

WOMEN’S HEALTH CENTER



Idea ini apabila pensyarah saya, Dr Rosy, mengeluh memberitahu realiti betapa taraf kesihatan untuk ibu-ibu mengandung sebelum dan selepas bersalin di negara ini, masih jauh ketinggalan berbanding Barat.

Selain peruntukan yang terhad berbanding jabatan-jabatan lain, prasarana juga agak ketinggalan. Buktinya saya melihat sendiri, hanya apabila Cervical dilatation mencecah 8-9 cm baru dibawa ke labour room, atas alasan tempat bersalin yang terhad. Setidak-tidaknya ini scenario di hospital yang mendapat jolokan ‘Baby producing hospital’ yang statistik kelahiran mencecah 7000-8000 setahun.

Buktinya, kadar kematian wanita semasa bersalin dan akibat komplikasinya, masih berbeza dengan di negara ini. Komplikasi bersalin seperti post-partum hemorrhage (pendarahan selepas bersalin) yang masih menjadi igauan di negara ini telah dapat diminimumkan di negara-negara maju.

Jika masih ragu-ragu, lihat sahaja IJN (Institut Jantung Negara) yang diwujudkan khas bagi pesakit-pesakit jantung dengan kepakaran serta rawatan terkini. Maka, tidak mustahil jika diwujudkan pula Women’s Health Center khas bagi wanita.

Jika isu wanita gah diperjuangkan di pentas perundangan, politik, sosial, malah di peringkat kampus, mengapa tidak diberi perhatian pula dalam aspek kesihatan. Jangan dipandang enteng, Obstectric misalnya perlu ‘bermain’ dengan dua nyawa dan Gynaecology pula sebahagiannya menjadi permulaan pembentukan generasi pewaris ummah dan negara.

BERPIJAK DI BUMI NYATA

Merenung kembali impian dan harapan, kadang-kadang terasa masakan lautan luas terhampar mampu diduga dengan kail yang panjang sejengkal.

Jika, ya, Alhamdulillah. Jika tidak, Alhamdulillah juga, pasti ada hikmah tersirat.

Bukankah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh juga bermula dengan impian menjadi sebaik-baik raja seperti yang dinukilkan Rasulullah SAW?

Saturday, January 9, 2010

KASIH membawa ke syurga~

Alhamdulillah, sudah 3 minggu saya ‘bergelumang’ dengan realiti di klinik kesihatan selepas tamat berpencak dua posting di hospital, surgery dan medicine. Tentunya pengalaman di Klinik Kesihatan Bukit Kuda terutama semasa variety posting amat berguna, daripada blood taking yang sangat exciting (walaupun ada juga yang akhirnya minta tolong nurse setelah 2 kali cucuk tak dapat), berjumpa kanak-kanak yang comel untuk diukur dan ditimbang, bertemu ibu-ibu mengandung yang berdebar menanti cahaya mata, ber ‘main’ dengan urin yang agak memualkan, sehinggalah bekerja seperti melengkapkan puzzle di farmasi!


Namun, ada ‘sesuatu’ yang menyentuh hati saya… Ketika posting di Mother,Child Health (MCH) di Antenatal Clinic, saya berpeluang bertemu ibu-ibu mengandung, daripada seawal beberapa minggu sehingga kandungan berusia 38 minggu; yang hanya menunggu hari untuk seorang insan mula mengenal reality kehidupan setelah ‘terkurung’ kegelapan dalam rahim seorang ibu.

Sebelum ini ramai yang menyatakan betapa ‘sukarnya’ menjadi seorang ibu; yang perlu MENGANDUNG selama 40 minggu, MELAHIRKAN yang dikatakan rasa sakit yang kedua dasyatnya selepas sakit sakaratul maut, MENYUSUKAN dan MEMBESARKAN dengan berdepan pelbagai kerenah daripada seorang bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Di sini, saya belajar realiti seorang ibu yang MENGANDUNG. Bukan sekadar perlu kuat membawa perut yang makin hari makin memboyot, bahkan seorang nurse mengkhabarkan…

“Selepas kandungan berusia 20 minggu perlu datang buat follow-up untuk check di klinik setiap bulan…”



“Selepas kandungan berusia 36 minggu perlu datang buat follow-up untuk check setiap minggu sampai bersalin…”

“Kandungan mesti berusia lebih 20 minggu kalau nak suntik dengan ATT (anti-tetanus toxoid)…”

“Kalau ada kriteria ni kena buat MGTT; antaranya ada family history of gestational diabetes (kencing manis masa mengandung), obese mother, history of abortion, history of stillbirth (gugur) dan ada proteinuria (protein dalam air kencing) masa test urine dipstick…”


*Untuk prosedur MGTT (modified glucose tolerance test), ibu-ibu akan diminta puasa bermula jam 10 malam pada hari sebelum appointment di klinik. Pagi keesokan harinya, di klinik, darah kira-kira 2-3 ml akan diambil buat pertama kali untuk diuji kandungan glukosa, kemudian perlu minum air glukosa yang disediakan (75 mg glukosa dalam 200 ml air kosong… bayangkan, manisnya!!!). Dua jam kemudian, darah akan diambil sekali lagi untuk melihat paras glukosa.

“Bilangan bayi bergerak juga perlu ada rekod. Mesti lebih 10 kali dalam masa 12 jam, biasanya dari 9 pagi sampai 9 malam. Tulis waktu bayi bergerak untuk kali yang kesepuluh…”

*Ramai juga ibu-ibu yang mengabaikan sahaja ‘arahan’ ini mungkin kerana sibuk bekerja. Cuma, perlu bersedia menadah telinga mendengar ‘syarahan percuma’dari nurse yang bertugas.

Ini belum termasuk kes-kes jika tekanan darah si ibu tinggi, paras hemoglobin di bawah 11.0 g/dL, bayi kurang bergerak dan bermacam-macam lagi kondisi yang jika tidak diberi perhatian, boleh membawa mudarat kepada si ibu dan bayi terutama semasa proses kelahiran.

Datang ke klinik juga pastinya ibu-ibu yang berkerja perlu meminta pelepasan keluar sebentar semasa waktu kerja, bergegas ke klinik tatkala waktu rehat atau setelah habis bekerja. Di klinik pula, pastinya ‘masa menunggu’ menjadi amat menguji kesabaran (situasi yang menjadi isu penting dalam aspek pengurusan kesihatan di seluruh dunia).

Maka…

Jika kamu seorang IBU, tahniah kerana berjaya melalui proses yang amat menguji kesabaran dan ketahanan…

Jika kamu seorang AYAH, hargailah isteri yang menghadiahkan cahaya mata tak ternilai harganya…

Jika kamu seorang ANAK, jadilah anak penyejuk mata pendamai hati…

Jika kamu bakal bergelar IBU, persiapkan dirimu untuk memahami “erti hidup pada memberi”…

Jika kamu bakal bergelar AYAH, carilah yang akan mampu menjadi “seorang IBU” buat zuriatmu…



p/s: sempat juga saya menitipkan sms buat ibu setelah terpana, sebaik pulang dari Klinik Bukit Kuda, “Payah juga rupanya mengandung ni, tadi masuk klinik praktikal baru along tau. Kena follow-up selalu, kena injection, ambil darah. Terima kasih ibu.”
“ Tau pun. Kadang-kadang pergi klinik kena naik motor sendiri, naik bas. Ada yang hujan lagi…” balas sms dari ibu tercinta yang gemar bercerita kepada kami adik-beradik pengalaman ‘dulu-dulu’.
Hmm… nampaknya banyak lagi kisah kehidupan tersurat yang belum saya selongkari…

Sunday, December 27, 2009

kehidupan yang BUKAN REALITI

“Sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu, dan Dia tidak akan meminta hartamu”
(Surah Muhammad: 36)


Apakah benar kehidupan ini hanya fantasi? Apa pula buktinya dunia ini satu realiti?

“Tentulah, saya dapat lihat, dengar, rasa dan sentuh benda yang ada di sekeliling!”

Tapi, adakah itu suatu kepastian? Benar, berdasarkan neuroscientific research, kita dapat melihat dengan mata, dapat mendengar dengan telinga, dapat merasa dengan lidah, dapat menyentuh dengan tangan dan segala reseptor-reseptor yang dapat mengesan semua deria tadi akan melalui satu sistem yang dinamakan sistem saraf untuk menghantar segala maklumat dalam bentuk impuls elektrik ke pusatnya iaitu OTAK. Kemudian akan otak akan terjemah atau tafsir untuk diri kita faham dan membuat keputusan untuk bertindak kepada ransangan atau tidak.

Cuma, jika stuktur otak itu sendiri dibelah dan dilihat stuktur anatominya, adakah kita boleh melihat impuls ini berjalan??

Sebagai contoh, kita melihat sebatang pen, dan berdasarkan sains yang kita belajar hari ini kita percaya imej pen tersebut akan pergi ke otak dalam bentuk impuls melalui saraf dan otak akan menterjemah, “Ya, inilah sebatang pen, berwarna biru, dengan penutup berwarna merah.” Tetapi kalau kita cuba scan atau buka otak ketika itu, adakah kita dapat lihat imej pen biru itu berjalan-jalan dalam otak untuk diproses? Tentu sekali jawapannya , “TIDAK!!”

Atas fungsi otak yang satu inilah, bila mana seseorang itu otaknya tidak berfungsi lagi atau disebut juga sebagai ‘brain death’, keluarga pesakit tersebut akan diberitahu oleh doktor yang dia sebenarnya sudah tiada harapan lagi dan segala alat bantuan disekelilingnya perlu diberhentikan.

Kita lihat pula, seorang yang dilahirkan buta sejak kecil. Bagaimana tafsiran hidupnya? Apakah dia akan merasakan kehidupannya tak lengkap dek penglihatannya yang hilang? Atau dengan merasa, mendengar, menyentuh dirasakan inilah kehidupan sempurana baginya?

Maka, tidakkah ini menunjukkan kehidupan ini hanyalah apa sahaja yang kita fikirkan???

Dalam perubatan, konsep virtual di mana bahan dalam bentuk 2D diterjemahkan ke dalam bentuk 3D oleh otak ini popular di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, misalnya dalam latihan kepakaran bidang surgeri (pembedahan). Doktor yang sedang dilatih akan memasuki satu bilik kosong dan kemudian dipakaikan alat-alat khas di mata, telinga, tangan dan kaki. Kemudian semuanya akan diprogramkan dan doktor tersebut akan merasakan mereka sedang berhadapan seorang pesakit dan menjalankan pembedahan SEBENAR!!

Ingat lagi filem sekuel popular, MATRIX ? Filem ini berjaya menterjemahkan asimilasi virtual. Watak di dalamnya mengembara ke alam maya setelah alat khas dipasang di bahagian otak mereka. Walaupun hanya pengembaraan maya, ditonjolkan kesannya diinterpretasi ke ‘alam nyata’ sehingga digambarkan akan benar-benar mati jika kehilangan nyawa dalam alam virtual itu. Filem ini benar-benar menggambarkan fungsi otak yang mentafsir situasi sebagai realiti waima jasad langsung tidak bergerak.

Benarkah apa yang anda hadapi hari ini adalah realiti? Jika otak anda mentafsir objek di hadapan bulat, adakah orang lain melihat atau faham sama seperti yang anda percaya selama ini? Atau itu hanya dugaan tafsiran otak anda sendiri?

Jadi, jika semua ini hanya fantasi, apakah REALITI??

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”
(Surah Ar-Rum: 64)