Monday, June 22, 2009

Melentur Buluh Biarlah Daripada REBUNGnya

"Siapa boleh bagi tahu akak tentang Islam Hadhari?" saya cuba melontarkan persoalan.

Senyap, tiada jawapan...

"Aik, takkan tak pernah dengar, dah besar-besar kan semua, mesti ada terbaca kat mana-mana."

"Hm... Islam Hadhari tu Islam yang ikut peredaran zaman. Macam moden sikit," Khadijah mula mencuba.

"Eh, tapi bukan ke adik-adik belajar salah satu ciri Islam tu adalah waqi`iyah, sesuai ikut semua peredaran masa. Kalau macam Khadijah cakap tadi, maksudnya Islam tu kena update lah ya?" saya cuba memprovok pula.

"Bukan macam tu akak. Entahlah, saya pun tak faham sangat. Tahu dari TV dan surat khabar je," Izzati pula menambah.

"OK, tak mengapa. Nanti akak terangkan. Sebelum tu akak nak tanya, siapa di kalangan adik-adik pernah dengar tentang Sisters in Islam atau SIS?"

"Apa akak? Tak pernah dengar pun," Emira mencelah.

"Ha, saya pernah dengar tapi ni macam politik sikit lah. Yang saya dengar baru-baru ni PAS nak sekat SIS. SIS ni macam satu persatuan yang anggotanya perempuan, tak ada lelaki," Khadijah cuba menjawab buat kali kedua.

"Pelik..." bisik saya sendirian.


Selepas tiadanya respon-respon yang saya jangkakan mungkin `hangat` dengan isu-isu ini, bermulalah sesi penerangan ringkas kepada adik-adik yang saya kenal sewaktu menjadi fasilitator kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 sebuah sekolah agama yang bukan sembarangan sekolah saya kira (namun tak perlulah saya sertakan namanya).

Sebagai penutup kalimah, saya sempat berpesan, " Walaupun adik-adik masih pelajar, jangan ketepikan isu-isu semasa yang berlaku. Walaupun tak banyak, akak harap sangat adik-adik ambil tahu sedikit dengan perkembangan dunia luar. Jangan terkongkong dengan lingkungan adik-adik sahaja. Insyaallah adik-adik akan menjadi pelajar cemerlang dunia dan akhirat."

Banyak yang saya dapat belajar walaupun ini baru kali kedua saya menyertai program bersama adik-adik seperti ini. Bagi saya, mereka yang berpeluang mendapat tarbiyyah atau didikan agama secara langsung dan mendalam amat beruntung. Namun apabila meninggalkan alam persekolahan, berapa ramai yang betul-betul istiqamah dan mampu menyumbang pula kepada Islam dalam bidang masing-masing.

Mengapa?

Pada pandangan saya, hal ini mungkin kerana sistem pendidikan yang lebih bersifat teoretikal dan kurang dari aspek praktikaliti. Tidak kisah dalam bidang atau pengkhususan apa pun, latihan yang menjurus kepada praktikal amat penting bagi memastikan kesinambungan cemerlang pada masa hadapan.

Bagi saya, tidak salah andai kata masa depan seorang kanak-kanak dicorakkan sejak dari kecil lagi. Bermula dengan asas agama yang kukuh, seorang kanak-kanak dapat dicorakkan mengikut kecenderungan masing-masing dan tenaga pakar pula disediakan secara holistik.

Misalnya, lihat sahaja jiran kita Singapura melalui National University of Singapore, merintis projek bagi melahirkan genius dalam bidang-bidang kritikal melalui pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi secara praktikal. Para pelajar sekolah rendah dan menengah yang terpilih ditempatkan di sekolah ini supaya dapat pendedahan awal secara praktikal supaya lebih mampu berdaya saing pada masa akan datang.

Secara idealistik, saya melihat modus operandinya dengan asas didikan agama yang kukuh sebelum kanak-kanak ini didedahkan dengan perkara-perkara lain. Hal ini kerana jika diselidiki sejarah pendidikan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang pakar dalam banyak bidang adalah seorang hafiz serta mendalami ilmu seperti tasawuf, fekah, usuluddin dan tafsir, sejak kecil lagi. Kemudian baru mereka mendalami pula bidang-bidang lain seperti sains, matematik, astronomi, falsafah, perubatan dan lain-lain.

Hasilnya, lahirlah Ibnu Sina yang terkenal dengan Qanun fit-Tib serta bukan sahaja pakar dalam ilmu perubatan bahkan juga dalam bidang matematik, sains, geografi dan astronomi. Ibnu Rusyd yang hafiz ketika umur 12 tahun pula terkenal dalam ilmu falsafah dan turut menyumbang dalam bidang kehakiman, perubatan dan psikologi. Ibnu Khaldun pula mendapat pendidikan awal daripada bapanya di masjid Al-Qubt, Tunis dan kemudiannya menjadi tokoh terkenal dalam bidang sosiologi.

Sesuatu yang penting untuk renungan bersama, dengan kebejatan masalah pelajar-pelajar di Malaysia dan kemunduran dalam persaingan di lapangan ilmu, tidak mustahil puncanya bermula di sini.

Sebagai cetusan, saya lebih cenderung supaya pengkhususan dalam pendidikan dikhususkan sejak awal (mungkin seawal umur 10 tahun, setahun mungkin diperlukan bagi mengenalpasti kecenderungan kanak-kanak ini) supaya lebih fokus dan tidak terlalu mencapah sehingga hilang fokus yang mungkin mengakibatkan pembaziran sama ada dari segi tenaga pakar sejak awal mahupun dari segi material. Namun begitu bidang-bidang sampingan lain juga perlu disertakan tetapi tidak melampau sehingga menyebabkan hilang fokus.

Konklusinya, saya melihat aspek yang perlu diberi perhatian adalah, yang pertama, asas agama yang kukuh sejak kecil beserta penghayatan dan bukan bersifat exam oriented. Yang kedua, pengkhususan sejak awal dalam bidang mengikut kecenderungan masing-masing untuk melahirkan tenaga pakar yang lebih kehadapan dan berdaya saing.

No comments:

Post a Comment