Saturday, October 24, 2009

[Syafiah]: Nilai Sebuah Kehidupan

Dingin hening pagi itu benar-benar membaluti tubuh. Benar, dia tidak menafikan keenakan empuknya tilam sambil berselimut, namun digagahnya juga untuk bangkit dari lena walau matanya masih tersisa rasa mengantuk lantaran menelaah pelajaran sehingga lewat malam. Bagi Syafiah, usah dipersiakan peluang untuk ‘berbicara’ dengan pencipta.

Usai bersolat tahajud dan solat sunat taubat, Syafiah mentadabbur seketika ‘ayat-ayat cinta’ Penciptanya. Spontan air matanya menitis, tatkala menginjak ayat 212 surah Al-Baqarah,
“Kehidupan dunia dijadikan terasa indah dalam pandangan orang-orang yang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu berada di atas mereka pada hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.”

“Ya Allah, apakah aku tergolong dalam golongan yang lemas dalam indah pesona dunia? Apakah aku yang lemah ini akan bersama tergolong di kalangan orang-orang bertaqwa kelak?” Syafiah bermonolog sendirian. Tangisnya makin kuat. Tiba-tiba dua kisah beberapa hari lalu menjengah di benaknya.

***************

“Eh Ain, saya rasa saya kenal lah uncle Chinese kat katil tu,” Syafiah melontarkan pandangannya kearah sebuah katil di wad surgeri.
“Ingat tak uncle yang saya cerita dua minggu lepas, saya tolong hantarkan ke tempat x-ray, tak lama lepas tu dia jalani pembedahan sebab gastric cancer? ”

“Oh ye,ingat. Tapi kanapa kali ni uncle tu nampak lebih ‘cachexic’ je?”

“Tak tau pulak saya. Sekejap ye,saya nak jumpa uncle ni sekajap”

Syafiah lantas menuju ke arah katil yang dimaksudkan.

“Selamat pagi uncle. Uncle kenal saya lagi tak?”

Uncle yang berumur lewat 50-an itu sekadar mengangguk.

Uncle baru masuk sini ke? Kenapa ye? Uncle tak sihat lagi ke?” bertubi-tubi Syafiah menyoalnya.

“Saya sakit lagi. Hmm, saya serupa mahu mati la sekarang.”

Dahi Syafiah sedikit berkerut, jika tidak salah, baru sahaja uncle ini menjalani pembedahan di perut lantaran kanser yang dihadapinya. Ataupun…….
Bingkas dia mengundur ke hujung katil bertemu anak lelaki uncle ini yang setia menjaganya sejak dulu lagi.

“Hello. Saya mahu tanya sedikit boleh?”
Anak ini mengangguk menandakan persetujuan.

“Ayah you masuk sini kali ini kenapa ye?”

“Semalam dia sesak nafas. Lepas tu terus la bawak sini.Macam ni la keadaan dia. Sejak masuk hospital dulu, makan tak, makin kurus. Sebenarnya memang dulu sudah buat pembedahan. Tapi masa bedah, doktor dapat tahu yang kanser sudah merebak. Usus pun sudah ada kanser. Sebab itu dia makan pun tak boleh serap.”

Syafiah tergamam seketika. Dia menyangkakan uncle itu akan sembuh setelah menjalani gastrectomy. Teringat pula kata-kata uncle itu tika Syafiah menyapanya sebelum berangkat pulang sebelum ini,” Saya orang tua tak ada guna. Sakit ini saya sudah dekat mati.”
Uncle, mana boleh cakap macam itu. Kan uncle dah buat pembedahan. Insyaallah lepas ni uncle jadi sihat balik. Uncle jaga diri baik-baik ya.”

Anak uncle ini menyambung lagi, mengejutkan Syafiah dan membiarkan lamunannya tergantung tanpa tali, “Sekarang ayah saya cakap dia mahu mati. Saya sudah tanya doktor yang in-charge untuk bagi ubat supaya cepat mati tapi dia kata tak boleh”

Eh, biar betul budak ni, takkan rela nak bagi ayah sendiri mati, tak sayang ke?

“Kenapa macam tu? Em, you tak bagi semangat ke pada uncle?”

“Sudah puas saya bagi dia semangat. Tapi dia kata ini permintaan terakhir dia, dia rasa terseksa sekarang. Saya pun sedih dia lama-lama macam ini, kalau dia sudah mati, dia tak sakit, dia gembira, saya juga gembira. Sekarang kanser sudah merebak memang tak ada harapan lagi.”

Syafiah menghampiri semula uncle itu.

Uncle, kenapa tak mahu makan? Makan sikit pun tak apa. Baru sihat,” Syafiah cuba memujuk.

“Tak mahu. Saya mahu mati. Saya banyak sakit, tak boleh makan. Kanser sudah merebak, saya tak boleh baik saya mahu mati.”

Syafiah mati akal. Bagaimana kiranya mahu meyakinkan uncle ini. Jika muslim, Insyaallah dia boleh memotivasikan pesakit dengan meyakinkan mereka bahawa sakit ini adalah ujian dari Allah, hidup mati semua telah ditetapkan oleh Allah. Jika non-muslim?

Tiba-tiba dia ternampak gelang pada tangan kanan uncle itu,” Uncle, ini gelang apa?”

“Ini gelang dari tokong. Saya ambil supaya boleh baik tapi sekarang pun tak baik-baik. Saya sudah mahu mati.”

Sekali lagi! Syafiah buntu. Nampaknya uncle ini sudah tidak percaya konsep ketuhanan kerana punahnya sebuah harapan.

“Awak tolong saya ya.”
“Tolong apa uncle?”
“Tolong bagi ubat kasi saya cepat mati.”

**************
“ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR”

Azan subuh mengejutkan Syafiah, menandakan Subuh sudah menjengah.

Pertemuan dengan uncle itu sukar dipadam dari kotak memorinya. Pertemuan yang tidak disangka-sangka itu membuatkannya ligat berfikir beberapa hari selepas itu. Baginya ini masa terbaik untuk dirinya mendekati uncle itu, lebih sebagai hanya seorang pesakit.

Dia mahu mengenalkan hakikat ketuhanan sebenar, bermula dengan redha atas ujian yang menimpa. Memberitahu bahawa segalanya tidak tamat di sini, bahkan akan ada alam lain yang bakal menjemput, bermakna ujian ini bukanlah pengakhiran sebuah harapan.

Namun, segalanya tinggal harapan, kali ini bagi Syafiah. Keesokan harinya, uncle tersebut bertambah tenat sehingga terpaksa memakai nebuliser. Dan beberapa hari setelah itu, Syafiah sudah tidak melihat kelibat uncle tersebut. Dia tidak tahu, hatinya pula berat bertanya kepada nurse yang bertugas.

Terselit penyesalan yang tidak berpenghujung lantaran telah mensia-siakan peluang, yang mungkin bukan sekadar harapan, bahkan mungkin mampu menyelamatkan seorang hamba dari karat kejahilan kepada jiwa bersih yang mengakui Tauhid Allah. Sekali lagi hatinya basah dengan tangis penyesalan. Sungguh, peristiwa ini telah mengajarnya sesuatu yang berharga.


* Nukilan di atas didedikasikan buat seorang ‘adik’ pejuang yang akan menjalani pembedahan jantung, insyaallah dijadualkan pada tahun hadapan. Moga terus tabah menghadapi ujian, jangan sesekali berputus asa kepada rahmat ALLAH, insyaallah ada hikmah yang tidak ternilai disebaliknya.

No comments:

Post a Comment