Monday, May 7, 2012

ISTERI SEORANG PEJUANG

Hari ini seharian saya keseorangan lagi. Kerja-kerja rumah sudah dibereskan pada waktu pagi hingga tengah hari tadi. Petang pula mencari ruang membaca isu-isu terkini. Pada waktu malam seperti ini jika keluarga lain, mungkin si suami dan isteri sedang menikmati makan malam atau sudah pun sama-sama berehat sambil menonton televisyen. Namun itu bukan rutin bagi isteri seorang pejuang. Suami yang pulang tidak tentu masa bukanlah sebab untuk menjadi gundah gulana bahkan itulah nikmat yang perlu disyukuri! Sungguh...

Jadual suami yang sangat padat terutama masa-masa kritikal dengan pilihanraya yang semakin hampir, mengajar saya erti mujahadah. Hari bekerja dan hujung minggu sentiasa penuh dengan tugasan di pejabat, pengisian tamrin, kuliah di masjid, muktamar, konvensyen, mesyuarat dan pelbagai lagi. Walaupun sebelum ini 5 bulan lebih kami PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan saya berjihad di medan ilmu di Universiti Malaya KL manakala suami berdakwah di lapangan ummah di Ipoh, Perak, masa saya di rumah kini setelah tamat pengajian bukanlah masa “bermanja-manja”. Honeymoon kami pula adalah kenangan bersama ke tempat-tempat program tarbiyyah, mengemas teratak Baitul Haraki kami dan yang terbaru ke BERSIH 3.0.

Kenangan semasa BERSIH 3.0 tempoh hari. Terima kasih buat suami tercinta yang setia bersama, walaupun hanya mampu berlari-lari anak ketika terkena tear gas kerana membawa bersama mujahid kecil kita:)

Ini bukan rungutan, bukan juga luahan hati yang memberontak. Bahkan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk pengorbanan yang dibuat, terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan kisah-kisah hebat keluarga tokoh-tokoh pejuang Islam. Tapi inilah catatan permulaan kepada perjalanan baitul haraki yang sedang kami bina, moga ada keberkatan dengan setiap mujahadah walaupun mungkin terlalu kecil nilainya.

SAIDATINA KHADIJAH R.A. MODEL ISTERI TERBAIK

Sesungguhnya diri ini insan biasa. Kadang-kadang terselit juga rasa sebak dan cemburu melihat mereka yang lain mampu sentiasa menghabiskan masa bersama-sama. Namun, cepat-cepat perasaan itu ditepis. “Perjuangan tidak dihampar karpet merah!”, itu kata-kata keramat yang bukan asing lagi. Saya juga cepat-cepat menginsafi diri, betapa diri ini mahu menjadi seperti serikandi unggul role-model sepanjang zaman, Saidatina Khadijah RA, pendamping setia kepada perjalanan perjuangan Rasulullah SAW.

Masakan tidak, beliau bukan calang-calang manusia. Berasal daripada keturunan terpilih yang dihormati, kompetensinya dalam bidang perniagaan juga tak perlu dipertikaikan. Di sebalik sosok tubuh yang hebat, wanita ini sentiasa setia bersama suami tercinta. Liku-liku kesusahan perjuangan di awal penyebaran Islam terlalu dasyat tetapi semua ditempuh hingga ke titisan darah terakhir. Bahkan di akhir hayatnya Saidatina Khadijah berpesan agar digunakan tulang-belulangnya sebagai jambatan untuk perjuangan Islam. Subhanallah! Sampai begitu sekali manifestasi jihad Saidatina Khadijah dalam menyokong perjuangan suami tercinta.

BUKU “PERSEMBAHAN CINTA ISTERI HASAN AL- BANNA” 

Tertulis di muka surat pertama buku comel ini, Nur Atikah binti Razali: 6/8/2011. Puas saya mencarinya sebelum ini, hatta di pesta buku, jawapan yang diterima, “Maaf dik, buku tu habis stok.” Alhamdulillah setelah berbulan-bulan menanti, berjaya juga saya memilikinya lebih kurang sebulan sebelum bergelar seorang isteri. Melihat tajuknya saja, pasti sesiapa yang mahu menjadi isteri kepada seorang pejuang hebat meronta-ronta mahu membacanya (barangkali termasuk juga seorang pejuang yang mahu beristerikan seorang mujahidah yang setia mendokong perjuangannya).

Imam Hasan al-Banna adalah tokoh besar dalam gerakan dakwah. “Disebalik ketokohan seorang lelaki pasti ada wanita hebat disampingnya.” Benar sungguh kata-kata ini. Walaupun namanya kurang menjadi sebutan umum, ternyata sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Ustazah Lathifah, isteri kepada Imam Hasan al-Banna, tidak kurang hebatnya. Oleh sebab tugasan dakwah yang terlalu menghimpit masa yang ada, Imam Hasan al-Banna jarang-jarang berada di rumah. Namun urusan rumahtangga dan tangungjawab mendidik anak-anak ditampung oleh si isteri yang begitu memahami. Tetamu yang kerap kali bertandang ke rumah atas urusan dakwah juga diraikan sebaik mungkin.

Teringat saya sebuah hadith Rasulullah SAW, ”Bila seorang perempuan telah mengerjakan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadhan dan memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka kelak dikatakan kepadanya: masuklah dari pintu syurga mana saja yang engkau inginkan.”

JALAN DAKWAH BAITUL HARAKI KAMI

Satu pagi saya tiba-tiba mengidam roti canai, kebetulan cuti umum, jadi suami mengajak bersarapan saja di sebuah restoran berdekatan. Tanpa dijangka, waktu yang diluangkan pagi itu menjadi sungguh berharga. Masakan tidak, roti canai menjadi pembuka bicara untuk sesi muhasabah dan brain-storming masa depan baitul haraki kami.

Alhamdulillah resolusi kepada sesi hampir dua jam ini kami sepakat sama-sama beriltizam untuk istiqamah di jalan dakwah ini dan saling mendokong aspirasi perjuangan masing-masing. Saya meredhai dan sangat menyokong misi besar suami saya yang mahu komited dalam medan politik dengan jalan tarbawi. Saya pula insyaallah bercita-cita menjadi doktor pakar yang kompeten dengan lapangan dakwah ummah yang lebih fokus kepada bidang kesihatan, wanita dan keluarga (boleh saya bawa bersama mujahid mujahidah kecil kami ke tempat program nanti ^_^).

Ini aspirasi perjuangan kami yang sesungguhnya hanya menuju satu matlamat abadi, mencapai redha ALLAH SWT. Saya amat percaya, sunnatullah menentukan kejayaan tidak tercipta dalam satu hari, bahkan memerlukan usaha gigih berterusan, dan garis permulaannya adalah dengan sebuah IMPIAN.

Ketika menyelak sebuah buku haraki tulisan seorang pimpinan muslimat gerakan di Indonesia, beliau menukilkan “Pertama, ketika seorang isteri harus memutuskan untuk meninggalkan rumah kerana panggilan dakwah di luar rumah, maka keputusan ke luar rumah itu adalah pilihan hasil keputusan suami dan isteri. Semua akibat atas keluarnya isteri kerana urusan dakwah akan ditanggung dan diuruskan secara bersama. Kedua, ketika seorang perempuan keluar rumah, hendaknya dia tidak melupakan tugas utamanya sebagai isteri dan ibu. Di manapun kedudukan sosial politiknya, dia adalah seorang perempuan yang harus menjaga kehormatan diri dan martabat keperempuanannya.”

Semoga berhasil sinergi baitul haraki kami dalam membuahkan redha Ilahi…

9 comments:

  1. assalamualaikum wbt..atikah lama tidak dengar khabar berita...mabruk krn bakal mendapat cahaya mata tidak lama lagi..moga tabah dlm mengharugi liku2 hidup sbg mujahidah..syukur ape pun suami masih dekat lagi dlm malaysia..masih lagi boleh merasai kasih sayang dan bersama2 suami tercinta..jaga diri dan mujahid kecil itu..moga kita ketemu suatu hari nanti..insyaAllah

    -syahida nafisah,mesir-

    ReplyDelete
    Replies
    1. syahida: ameen.. insyaallah, doakan ya... betul, alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih berpeluang untuk dekat sedangkan ada yang lain terpisah berbulan-bulan lamanya =)

      Delete
  2. kagum kat kamu n suami ..;) keep it up !
    sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu sekeluarga

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak nazura: ameen, tq my dear. doakan istiqamah dan diberikan kekuatan, walaupun sekarang masih lagi bertatih.. insyaallah kite doakan yang terbaik untuk kak nazura jugak =)

      Delete
  3. salam ,doktor .sy sgt terinspirasi oleh kisah perjuangan bait haraki dr .sy juga bakal HO dan bakal mendirikan rumah tangga hujung tahun ini ,dgn seorg dr yang sama -sama ingin berjuang di medan dakwah utk menegakkan kalimah Alalh .sudi kiranya doktor memberi sedikit kata-kata nasihat utk kami yang bakal bernikah ini ,dalam membahagikan masa antara kerjaya ,dakwah dan keluarga .Jazakillah khairan katsira~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam... Alhamdulillah, tahniah ukhti! =) Cuma mungkin tak layak lagi untuk beri nasihat, tapi lebih kepada perkongsian... Bagi saya, yang penting niat awal sebelum melangkah ke alam ini. Dgn niat ikhlas kerana Allah,insyaallah Allah akan permudahkan. "Amanah melebihi masa yang kita ada": insyaallah kata2 Imam Hassan al-Banna ni juga boleh dijadikan sebagai inspirasi untuk lebih kuat berdepan amanah yang semakin bertambah.. Semoga dipermudahkan urusan~ =)

      Delete
  4. subhanaAllah..moga insan yg bernama atikah ini juga mampu mjdi sprti kak atikah razali...moga terus thabat mnjdi isteri seorg pejuang agama Allah dan melahirkan mujahid/mujahidah islam yg berjaya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ameen.. Terima kasih dik =) Semoga adik atikah juga terus istiqamah sebagai pejuang agama Allah...

      Delete
    2. sama2..insyaAllah ameeen ^_^

      Delete